Mourinho, bekas pemain Leicester kritik pemecatan Ranieri
JOSE Mourinho mengkritik tentang Claudio Ranieri. – Foto Sky Sports
LONDON: Pemecatan mengejut pengurus Leicester City, Claudio Ranieri, awal pagi tadi – kurang setahun dia mengemudi The Foxes menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) dianggap situasi menyedihkan dan dikritik hebat termasuk dari bos Manchester United, Jose Mourinho.
Menerusi Twitter miliknya, Mourinho menulis: “Juara England dan Pengurus Terbaik Tahunan FIFA dipecat. Itulah bola sepak baharu Claudio. Teruskan senyuman. Tiada siapa boleh memadam sejarah yang kamu cipta.”
Bekas penyerang England dan Leicester City, Gary Lineker dalam pada itu berkata kelab berkenaan mengambil keputusan yang ‘tidak boleh dimaafkan’ apabila memecat Ranieri.
Kedudukan Ranieri bersama kelab itu goyah selepas Leicester ketika ini hanya dibezakan dengan satu mata daripada zon penyingkiran sekali pun tiba ke musim baharu 2016/17 sebagai penyandang juara.
Sebelum pemilik kelab dari Thailand mengesahkan penyingkiran pengurus berusia 65 tahun itu dari Stadium King Power, Lineker menulis satu penghormatan buat pengendali dari Itali itu menerusi Twitter: “Claudio Ranieri? Dipecat? Benar? Tiada lagi Dilly Ding Dilly Game.”
Begitupun, selepas berita pemecatan itu disahkan, Lineker yang juga pengulas bola sepak di BBC berkata: “Selepas apa yang sudah Claudio Ranieri lakukan untuk Leicester City, untuk memecatnya ketika ini benar-benar tidak dapat diterangkan, tidak boleh dimaafkan dan terlalu sedih.”
Bekas rakan sepasukan Lineker di Leicester, Tony Cottee dan Alan Smith turut mempersoalkan masa keputusan itu dibuat yang hadir sehari selepas Leicester tewas 2-1 kepada Sevilla pada aksi pertama peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara.
“Kita melihat beberapa kejutan, keputusan mengejut sejak 10 tahun lalu yang mungkin menghangatkan Liga Perdana. Saya fikir inilah yang paling mengejutkan jika berpandu kepada keputusan menakjubkan musim lalu, bersama pemain-pemain,” kata Smith kepada Sky Sports.
“Saya berfikir jika mereka tersingkir, mereka mungkin akan kekal menggunakan pengurus yang membawa kejayaan paling gemilang kelab selain cerita romantik yang pernah kita lihat sejak 20 ke 30 tahun lalu atau lebih.
“Saya terkejut kerana mereka gagal mengawal gemuruh mereka dan kekal dengan lelaki itu,” kata Smith yang mengakui pemain Leicester juga perlu bertanggungjawab terhadap pemecatan Ranieri.
Bekas pemain England dan Liverpool, Jamie Carragher dalam pada itu melabel keputusan itu sebagai ‘benar-benar jenaka.’
AGENSI
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2miWxgh✍ Sumber : ☕ Siakapkeli
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!






Post a Comment