Syed Saddiq Diberi 7 Hari Untuk Kemukakan Bukti
Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diberi tempoh tujuh hari untuk mengemukakan bukti kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan mengaitkan bekas pengasas parti itu, Kamarul Azman Habibur Rahman menerima sogokan wang tunai bernilai jutaan ringgit untuk meninggalkan parti tersebut.
Menurut Kamarul Azman, sekiranya Syed Saddiq gagal berbuat demikian dalam tempoh tersebut, beliau tidak akan teragak-agak untuk memfailkan saman terhadapnya.
Kata bekas Setiausaha Kerja PPBM itu, jelas sekali dakwaan Syed Saddiq tidak berasas dan berniat jahat dengan tujuan untuk mencemarkan nama baik beliau.
“Ini telah menimbulkan kesan buruk terhadap keluarga dan saya sendiri sebagai seorang pegawai di pejabat pendidikan daerah. Jika benar Syed Saddiq mempunyai bukti sogokan telah diberikan kepada saya dan individu-individu lain seperti didakwanya, maka beliau perlu menunjukkan bukti tersebut kepada pihak polis atau SPRM.
“Saya tidak faham niat sebenar Syed Saddiq, Adakah beliau sedar kenyataannya merupakan satu tuduhan yang amat berat? Dia sepatutnya melaporkan kepada pihak berwajib bukannya mencari publisiti murahan dan berlagak sebagai jaguh untuk meraih simpati,” katanya ketika ditemui di luar Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
Terdahulu, Kamarul Azman hadir di IPD Dang Wangi kira-kira 2 petang bagi membuat satu laporan polis untuk membersihkan nama beliau daripada tuduhan berkenaan.
Kelmarin, Syed Saddiq dalam satu sidang akhbar didakwa mengaitkan nama beberapa pemimpin termasuk Kamarul Azman dalam isu sogokan wang tunai RM5 juta, selain dakwaan ditawarkan rasuah meninggal parti.
Dalam pada itu, Kamarul Azman berkata, tiada dedak atau tawaran yang berlaku seperti didakwa Syed Saddiq apabila beliau membuat keputusan untuk meninggalkan PPBM.
Malah katanya, beliau juga tidak pernah dihubungi oleh mana-mana individu untuk berbuat demikian (meninggalkan parti).
“Apa yang berlaku adalah apabila kami keluar parti, PPBM sepatutnya mencari punca masalah, bukannya menyalahkan pihak lain. Pengurusan parti sentiasa cuba menafikan kemelut yang sedang dihadapi oleh parti itu.
“Saya cakap sebagai seorang guru dan pegawai pendidikan yang berintegriti, saya tidak pernah dihubungi oleh sesiapa untuk meninggalkan parti, tidak pernah sama sekali,’’ katanya.
Menurutnya, perkara itu tidak masuk akal kerana apabila berada dalam PPBM menentang parti yang memerintah ketika ini, tiba-tiba apabila membuat keputusan untuk keluar parti, dikatakan mendapat tawaran berjuta ringgit daripada parti yang dikritik selama ini.
“Ini memang tidak logik. Kita boleh memikir dengan waras sama ada adakah ini satu realiti atau fitnah. Syed Saddiq sepatutnya kembali kepada alam nyata,” katanya.
✍ Sumber Pautan : ☕ KAKI PALU
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2fSIiAo
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!






Post a Comment