Pasar tani di Putrajaya jadi perintis urus niaga tanpa tunai
PUTRAJAYA: Semua peniaga pasar tani dan awam di Putrajaya wajib menggunakan aplikasi e-dompet sebagai syarat pembaharuan lesen perniagaan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosol Wahid.
Katanya, Perbadanan Putrajaya (PPj) bersetuju melaksanakan syarat itu dalam masa terdekat sebagai usaha mempersiapkan penggiat sektor peruncitan bagi model perniagaan baharu berkonsepkan pendigitalan.
Bercakap selepas melancarkan Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di tapak Pasar Tani Presint 2 di Putrajaya pada Selasa, beliau berkata, langkah itu sebahagian daripada fasa pertama ReDI yang akan diperluaskan ke seluruh negara mulai bulan depan.
ReDI adalah sinergi strategik pelbagai agensi kerajaan dan swasta membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bank Negara dan Suruhanjaya Syarikat (SSM), selain agensi lain seperti FAMA, Maybank dan Touch N Go.
Mengulas lanjut, Rosol berkata, KPDNHEP menyasarkan 100 pasar tani dan awam menggunakan kemudahan e-dompet dalam setiap urus niaga dengan pelanggan menjelang akhir tahun ini.
Katanya, ini sejajar matlamat utama ReDI memastikan semua 12,844 peniaga di 306 pasar tani dan pasar awam di seluruh negara menyediakan kemudahan e-wallet pada masa depan.
“Saya yakin ia akan memberi motivasi kepada peniaga mikro, kecil dan sederhana lain untuk turut serta dalam memberi pilihan kepada pengguna untuk membayar secara tanpa tunai.” - FMT
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment