Hi! Welcome Back and Stay Tune! Anak Taib dispekulasi calon Balingian, Sulaiman dan Yakub Arbi bersaing sengit - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Anak Taib dispekulasi calon Balingian, Sulaiman dan Yakub Arbi bersaing sengit




  
March 11, 2016


MUKAH: Dengan pengguguran Faridah Osman, 55, sebagai calon kerusi Balingian selepas dilantik Setiausaha Politik, pada Rabu, kini suhu politik di kawasan majoriti Melanau ini  semakin menggelegak dan mengundang banyak teka-teki.


Terkini nama anak perempuan Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud turut terheret sama ke dalam kancah spekulasi menjadi calon. Namun,  persaingan sebenar mengikut beberapa sumber di sini dan di Kuching adalah antara Sulaiman Sahari dengan Abdul Yakub Arbi.


Nama dua pemimpin akar umbi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Balingian itu mula mencanak sebagai calon berpotensi di kawasan 8,600 pengundi itu.
Berdasarkan tinjauan SarawakVoice dalam kalangan pengundi Melanau di daerah Balingian dan Mukah, ramai yang mengharapkan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem akan membuat pilihan yang tepat. “Adenan telah buat kesilapan apabila umumkan nama Faridah terlalu awal, dan kemudian tarik balik atau buat pusingan U. Harap kali ini Ketua Menteri tak buat kesilapan lagi,” kata seorang pengundi Melanau di sini.
“Yang akan menanggung kesan pemilihan itu nanti ialah pengundi di kerusi Balingian,” kata seorang pengundi dari Balingian yang enggan disebut namanya.
Pengundi mahu seorang wakil rakyat yang bukan sahaja memiliki personaliti dan perwatakan yang disenangi rakyat, tetapi calon yang mempunyai imej dan reputasi yang baik di mata masyarakat.
Jika tidak , mengikut mereka, ini bukan sahaja menjejaskan nama baik kerajaan dan PBB, tetapi, pasti akan diperlekeh oleh rakyat.
Sulaiman  ialah Pengerusi Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Mukah, manakala Yakub Arbi Walikota Majlis Daerah Dalat Mukah.

Kedua-dua calon ini ialah anak tempatan yang memiliki pengalaman panjang lebih 25 tahun berkhidmat dalam parti.
Difahamkan, kedua-dua nama mereka kini berada di dalam radar Adenan sebagai presiden PBB dan pengerusi BN Negeri. Biodata mereka telah diteliti oleh Adenan beberapa minggu lalu.
Sulaiman yang kini sedang melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah dalam Pentadbiran Perniagaan di Universiti Teknologi Mara merupakan usahawan dalam sektor industri makanan.
Yakub pula siswazah Ekonomi dari Universiti Deakin di Australia dan usahawan berjaya sebelum dilantik sebagai Walikota Dalat Mukah, menggantikan Ali Suhaili, bekas guru terkenal. Yakub juga merupakan Pengerusi Saberkas Cawangan Balingian.
Kalau pemilihan perlu dilakukan oleh pemimpin tertinggi PBB, sentimen akar umbi dikatakan lebih menyukai Sulaiman berbanding Yakub.
Sulaiman  disifatkan seorang yang merendah diri, gigih, dan  mempunyai sentuhan kerakyatan, selain telah lama berkhidmat dalam parti.
“Sulaiman orang parti yang komited dan setia, dan telah banyak berkorban. Personaliti dan perwatakannya disenangi penduduk. Beliau dikenali ramai kerana sudah lama bergerak di akar umbi.”
“Kalau tidak percaya, pihak yang buat keputusan boleh turun ke akar umbi, buat tinjauan menyeluruh, sama ada Sulaiman atau Yakub yang lebih popular, Jangan menyesal kalau kami tidak mengundi jika calon yang dipilih tidak kami sukai, “ kata orang ramai yang dibuat tinjauan.
Jelas sumber itu lagi, Adenan dijangka akan mengumumkan nama calon tersebut sedikit masa lagi.

Program Sejiwa Senada di Mukah yang dijadualkan pada 18 hingga 20 Mac ini dilihat sebagai platform terbaik untuk  Adenan  menamakan calon kawasan tersebut.
Dijangka beliau akan juga menggunakan platform itu untuk menasihati dua puak yang berkepentingan untuk bekerjasama demi parti dan kemenangan BN di kerusi itu.
Penyandang kerusi Balingian Yussibnosh Balo, kelahiran Kampung Tellian Tengah, dijangka akan berpindah ke kerusi Tellian, sebuah daripada 11 kerusi baharu yang diwujudkan selepas proses persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Yussibnosh  yang bertanding atas tiket PBB menang dengan majoriti 6911 undi dalam pilihan raya kecil pada 29 Mac 2013 selepas pengunduran Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada akhir Februari 2014.
Ajis Majeed dengan isteri , Hayati Suut
Taib pula menggantikan Abdul Ajis Majeed pada 2001 meskipun masih popular dalam kalangan pengundi. Pengunduran Ajis dikatakan kerana keyakinan bahawa Taib sebagai Ketua Menteri mempunyai segala kuasa untuk membawa pembangunan ke kawasan itu.
Penduduk di Mukah berkata ternyata keyakinan Ajis terbukti apabila Mukah di bawah Taib mengalami transformasi yang luar biasa terutama dari segi pembangunan dan prasarana.
Dalam pilihan raya kecil itu, Yussibnosh meraih 8,194 undi, mengalahkan Abdul Jalil Bujang, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang hanya mendapat 1,283 undi.
Peratusan yang turun mengundi ialah 72.33 peratus. – SARAWAKVOICE.COM

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.