Faridah Osman dilantik Setiausaha Politik, tidak jadi calon Balingian
KUCHING: Namanya sudah diumumkan sebagai bakal calon kerusi Balingian di hadapan satu majlis dihadiri sayap Pemuda dan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), 24 Januari lalu.
Tetapi hari ini, beliau mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Politik di hadapan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem di sini, sebentar tadi.
Sekali gus memadamkan harapan dan spekualasi media selama ini bahawa beliau merupakan calon berpotensi bagi kerusi Balingian.
Faridah Osman, 55, sepatutnya menjadi salah seorang calon wanita dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Parti tulang belakang Barisan Nasional (B) itu dijangka mengemukakan dua calon wanita dalam pilihan raya ke-11 pada 30 April.
Kini, Faridah ialah setiausaha Biro Pendidikan dan Kebajikan Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita PBB Sarawak. Beliau juga pernah menjadi setiausaha wanita dan ketua pergerakan wanita, PBB Bahagian Balingian, serta AJK Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita PBB Sarawak.
Berasal dari Kampung Pulat, Balingian dan telah aktif dalam parti lebih 20 tahun, Faridah pernah belajar di SRK Datuk Awang Udin, Mukah dari 1972-77, sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah St.Mary, Kuching (1978-82) dan Sekolah Menengah St. Thomas, Kuching, dari 1983-84.
Beliau bergiat aktif dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk persatuan Melanau, Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim), selain aktif falam Pergerakan Wanita, PBB.
Dengan pelantikan itu, sejarah tercipta, kerana untuk pertama kali, seorang wanita dari Balingian dilantik menjadi Setiausaha Politik.
Difahamkan ketika ini, terdapat sekitar 25 orang Setiausaha Politik.
Faridah yang memiliki Sarjana Komunikasi Korporat dari Universiti Putera Malaysia pernah bertugas di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sarawak, Bahagian Kuching.
Berminat dalam muzik, membaca buku, sukan, dan tarian, Faridah merupakan calon yang disebut-sebut untuk bertanding di kerusi Balingian dalam pilihan raya, 30 April.
Penyandang Yussibnosh Balo dijangka akan berpindah ke Tellian, sebuah daripada 11 kerusi baharu yang diwujudkan selepas proses persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Yussibnosh yang bertanding atas tiket PBB menang dengan majoriti 6911 undi dalam pilihan raya kecil pada 29 Mac 2013 apabila meraih 8,194 undi, mengalahkan Abdul Jalil Bujang, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang hanya mendapat 1,283 undi. Peratusan yang turun mengundi ialah 72.33 peratus.
Dalam pada itu, faktor di sebalik mengapa Faridah tidak jadi dicalonkan, menjadi tanya-tanya sekitar 8,600 pengundi di kerusi Balingian.
Namun, sumber yang rapat dengan PBB Balingian berkata, mungkin perkembangan terbaharu itu, ada kaitan dengan lobi-melobi agresif yang dilakukan oleh dua puak dalam PBB Balingian.
Dengan itu, membuka satu lagi teka-teki sama ada Abdul Yakub Arbi atau Sulaiman Sahari, kedua-duanya dari PBB Balingian, bakal menjadi calon- SarawakVoice.com.
Post a Comment