PESTA KAUL MELESTARI KEUNIKAN BUDAYA MELANAU
Diterbit oleh : William Chan (Utusan Sarawak)
Tarikh : Khamis 03-Mar-2016
PESTA Kaul yang diraikan sejak 1,000 tahun kini semakin popular di Sarawak. Setiap April saban tahun pantai Kala Dana di Mukah dibanjiri ribuan peminat bukan setakat dari seluruh pelosok negeri Sarawak, malahan pelancong asing juga terimbau untuk mengunjungi bandar yang terkenal dengan hasil makanan laut itu. Perkataan ‘kaul’ dalam bahasa Iban menepati juga maksudnya iaitu berkumpul. Ya, memang saban tahun manusia berkumpul di Kala Dana, Mukah mempamerkan kebudayaan dari aspek tarian, pakaian dan makanan.
Acara yang pada asalnya wadah bagi penganut animisme memuja Ipok (Tuhan) kini berkembang menjadi acara kebudayaan unik yang menonjolkan keunikan budaya Melanau. Keunikan dari aspek pakaian tradisional, tarian dan makanan eksotik itu dinikmati tanpa jemu-jemu oleh semua yang menghadirinya.
Sehinggakan terdengar ada dalam kalangan pengunjung berjanji untuk tidak akan melepas peluang pada Pesta Kaul akan datang. Melestari kebudayaan harus dibanggakan. Budaya mencerminkan identiti sesuatu masyarakat. Apabila budaya dipelihara, ketamadunan sesuatu bangsa itu terserlah citranya. Malahan, masyarakat yang menyanjungi budaya disanjung oleh masyarakat lain. Cara Pesta Kaul diraikan saban tahun di Mukah memang wajar dicontohi.
Walaupun ia wadah mempamerkan kebudayaan Melanau, namun sikap terbuka masyarakat Melanau yang mengundang juga kaum-kaum lain seperti Cina, Bidayuh, Iban dan Orang Ulu untuk turut serta melambangkan betapa tingginya citra budaya masyarakat Melanau. Mengongsi citra budaya dengan pihak lain memanglah suatu langkah terpuji. Bandar Mukah kini berkembang pesat. Antara faktor yang melonjak pembanngunan positif itu ialah penganjuran Pesta Kaul.
Akibatnya taraf sosioekonomi rakyat tempatan semakin cerah. Pembuat sagu, tebaloi, petani, penternak dan nelayan sudah pasti menikmati tempias sambutan kaul. Kita dapat melihat bagaimana penduduk tempatan bersiap sedia untuk menyambut Pesta Kaul akan datang dengan mencongak apa yang bakal mereka jualkan atau pamerkan atau serlahkan pada acara mendatang. Kita berharap acuan Pesta Kaul itu diguna pakai oleh kaum-kaum lain untuk menonjolkan pula keunikan budaya masing-masing.
Masyarakat seperti Bidayuh, Kelabit, Lun Bawang, Kayan, Penan dan seumpamanya sudah tentu memiliki keunikan budaya masing-masing yang sewajarnya dikongsi bersama dengan setiap kaum. Dengan cara demikian akan wujudlah semangat kekitaan yang semakin kental dan keamanan dan kedamaian berupaya dipertahankan.
Menganjur acara seperti Pesta Kaul bukan sesuatu yang mudah. Ia menuntut tenaga kerja yang ramai yang perlu menegak disiplin untuk senada dan sederap bekerja dalam semangat berpasukan. Memahami inti pati perayaan harus ada dan melaksanakannya dengan baik harus diutamakan. Sebarang kelemahan pada cara pengendalian harus diambil iktibar agar sambutan seterusnya semakin baik dan menarik.
Post a Comment