KUALA LUMPUR - Pelaksanaan gaji minimum seragam sebanyak RM1,050 di seluruh negara mulai 1 Januari depan menyaksikan kerajaan menunaikan janjinya untuk menaikkan gaji golongan pekerja swasta di seluruh negara.
Walaupun ia sekadar kenaikan RM50 di Semenanjung dan RM130 di Sabah dan Sarawak, ia pasti membawa kegembiraan buat pekerja swasta yang sentiasa mengharapkan kenaikan kadar gaji minimum.

Kerajaan hanya dapat memberi kenaikan gaji sebanyak itu berikutan situasi ekonomi semasa negara dengan ia kini bergelut menangani beban hutang besar selepas mengambil alih pentadbiran negara daripada kerajaan terdahulu pada Mei lepas.

Namun, kerajaan memberi jaminan bahawa kadar itu akan dinaikkan kepada RM1,500, seperti yang dijanjikannya sebelum ini, apabila keadaan ekonomi negara bertambah baik pada masa depan.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming berkata kerajaan komited untuk menunaikan janjinya itu dalam masa lima tahun lagi dan akan terus menjalankan kajian semula gaji minimum setiap dua tahun.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan bahawa pelaksanaan gaji minimum seragam itu diputuskan selepas Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) selesai membuat kajian semula terhadap Perintah Gaji Minimum 2016 seperti yang diperuntukkan Seksyen 25, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta732).

“Kita harus waspada bahawa sebarang peningkatan gaji yang drastik bakal menimbulkan masalah lain kepada industri yang juga boleh menggugat daya saing negara.
“Adalah lebih wajar jika gaji minimum dinaikkan secara berkala dalam tahun-tahun akan datang supaya industri terutamanya majikan kecil, tidak menutup perniagaan mereka akibat kos operasi yang tinggi yang bakal menyebabkan pemberhentian pekerja,” kata kenyataan Pejabat Perdana Menteri itu.

Bagi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), pelaksanaan gaji minimum seragam itu adalah ‘kemenangan’ yang dinantikan pihaknya sejak sekian lama.
“Penyelarasan kadar gaji di seluruh Malaysia telah diperjuangkan MTUC sejak dahulu lagi. Kami berterima kasih kepada pihak kerajaan yang melaksanakan kenaikan ini,” kata Presidennya Datuk Abdul Halim Mansor.

Walaupun tuntutan gaji minimum sebanyak RM1,500 tidak dapat dipenuhi, beliau berharap  kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian gaji minimum sekurang-kurangnya RM1, 200 seperti yang dinikmati penjawat awam masa kini.
Dalam pada itu, Abdul Halim berpendapat pelaksanaan gaji minimum itu boleh meningkatkan peluang pengambilan tenaga kerja tempatan.

“Saya tidak percaya pekerja tempatan memilih kerja, malas atau hanya mahu gaji tinggi. Orang kita sebenarnya rajin, cuma mereka perlu diberi peluang yang adil sahaja,” katanya sambil berharap nisbah pekerja tempatan dan asing dapat dikurangkan kepada 10:1 pada masa depan.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan pula berkata pihaknya bersedia menerima penetapan kadar gaji minimum itu walaupun ia akan memberi beban besar kepada majikan-majikan di Sabah dan Sarawak.

Langkah itu, katanya, akan membebankan majikan-majikan yang terpaksa menanggung levi pekerja asing sejak  dikuatkuasakan pada Januari tahun ini.
“Kenaikan gaji itu sebenarnya memberi lebih manfaat  kepada 1.8 juta pekerja asing yang memperoleh pendapatan di bawah RM1,200. Mereka juga pasti menghantar lebih banyak wang ke negara asal dan kurang berbelanja di Malaysia,” katanya.

Selain itu, katanya, MEF menjangka kos bagi tenaga kerja bertambah sebanyak 20 peratus dalam masa dua tahun di Semenanjung dan 30 peratus di Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, Persatuan Majikan-majikan Sabah (SEA) mengakui penetapan kadar gaji minimum itu akan memberi memberi kesan besar kepada mereka.

”SEA berharap kerajaan dapat memberi justifikasi di sebalik keputusan menyeragamkan gaji bagi seluruh negara.
“Ini kerana faktor perkembangan ekonomi adalah berbeza antara negeri-negeri di Semenanjung berbanding di Sabah. Oleh itu, ia perlu ditangani terlebih dahulu sebelum kadar gaji diseragamkan di seluruh Malaysia,” kata Presiden SEA Yap Cheen Boon.

Beliau menarik perhatian kepada kajian Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) pada Julai 2018 bahawa Malaysia akan mencapai sasaran pertumbuhan 2020 pada 2022 iaitu dua tahun lebih lewat berbanding Sabah yang hanya akan mencapai pertumbuhan itu 21 tahun kemudian iaitu pada 2041. - Bernama