Agama, Politik Tak Boleh Dipisahkan: Abdul Hadi
(Sinar Harian) – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui Piagam Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas yang akan dimeterai pada 14 September ini berkisar kepada soal politik.
Menurutnya, politik mempengaruhi masyarakat dari pelbagai sudut kerana ia bertindak dalam pengurusan negara.
“Memang kita tak boleh berpisah daripada politik. Politik mengurus negara, mempengaruhi masyarakat, ekonomi dan segala-galanya mesti ada politik. Kalau tak ada politik tak ada yang menaunginya.
“Kena baca sepenuhnya, jangan baca sebahagian sahaja,” katanya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa piagam berkenaan hanya satu perjanjian politik semata-mata.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut menyertakan contoh daripada tokoh pemikir Islam, Imam Al-Ghazali bahawa agama itu asas dan politik yang mengawasi.
“Kalau tiada agama runtuh, (kalau) tiada pengawas sia-sia. Jadi politik tidak berpisah dengan agama dan kegiatan agama,” katanya.
Terdahulu, Wan Azizah menyifatkan Piagam UMNO-Pas hanya satu perjanjian politik semata-mata untuk kepentingan parti politik berkenaan, manakala apa yang dilaksanakan hanya memenuhi aspirasi politik, bukan mencerminkan aspirasi rakyat.
Dalam perkembangan sebelum ini, UMNO dan Pas akan memuktamadkan kerjasama antara kedua-dua parti melalui pemeteraian piagam dan memorandum persefahaman (MoU) yang akan dimeterai pada 14 September depan.
Piagam dan MoU itu akan ditandatangani sendiri presiden kedua-dua parti dan majlis itu akan dihadiri semua pemimpin UMNO serta Pas dari seluruh negara.
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment