Pandang Pertama Realme X2 Pro – Pembunuh Peranti Mercu Paling Ganas
OnePlus One boleh dikatakan adalah pembunuh peranti mercu pertama. Ketika ia dilancarkan pada tahun 2014, harga jualannya adalah hampir 50% lebih murah berbanding dengan peranti mercu pesaing. Kini, OnePlus telah berubah dan menjadi peranti premium. Tetapi, adiknya tidak. Realme, iaitu sub-jenama Oppo yang mana juga sama dengan OnePlus berada di bawah naungan BBK Electronic telah memperkenalkan Realme X2 Pro.
Realme X2 Pro adalah pembunuh peranti mercu baharu. Mari kita lupakan Pocophone F1 atau Mi 9T Pro dan lihat peranti Realme ini. Spesifikasi yang dipadatkan pada peranti ini adalah tidak masuk akal dengan nisbah harga-ke-prestasi. Saya berkesempatan menguji peranti ini dan dalam artikel ini adalah pendapat saya.
Apa Spesifikasinya?
Cip pemprosesan yang digunakan adalah Qualcomm Snapdragon 855+, memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman sehingga 256GB. Skrin pula adalah 6.5″ Super AMOLED dengan sokongan kadar segar semula 90Hz, resolusi FHD+, kecerahan sehingga 1000 nit dan menyokong gamut warna DCI-P3. Kamera utama adalah 64MP + 13MP + 8MP + 2MP, manakala kamera swafoto pula adalah 16MP. Bateri berkapasiti 4000mAh dwi-sel dengan sokongan pengecasan pantas SuperVOOC 50W.
Lihat sahaja spesifikasi ini, tidakkah ianya gila? Jika anda merasakan ia adalah spesifikasi yang normal bagi sebuah peranti mercu, anda salah. Ini kerana harga jualannya yang sangat murah. Sudahlah murah, ada perlindungan Gorilla Glass 5, rangka peranti aluminium dan rekaan yang hampir kelihatan premium. Realme terkenal dengan peranti kelas pertengahan premium mereka dan dijual pada harga yang murah. Kini, mereka beralih ke pasaran peranti mercu pula dan ia adalah satu langkah bijak dan berani saya katakan yang Realme telah berjaya.
Macam Mana Dengan Pengalaman Penggunaan?
Saya akan mulakan dengan skrin. 90Hz sangat lancar, seperti OnePlus 7T. Dengan skrin kadar segar semula tinggi ini, ia menjadikan pengalaman penggunaan peranti ini lebih hebat. Setiap tatalan adalah lancar dan pantas. Warna yang dipaparkan pada skrin peranti ini adalah hebat, penuh butiran, lebih realistik dan mengagumkan. Sedikit kecewa, peranti ini masih lagi bertakuk. Disebabkan skrinnya adalah Super AMOLED, jadi warna hitamnya cukup gelap dan pengalaman menonton video-video dengan sokongan HDR memang mengasyikkan.
Peranti ini turut mempunyai OSIE Vision, jadi ia akan memberikan pengguna TikTok satu pengalaman yang lebih hebat. OSIE Vision ini akan menjejak mata pengguna dan kandungan akan terpapar lebih jelas mengikut di mana lokasi mata. Buat masa ini hanya aplikasi seperti TikTok sahaja yang menyokongnya. Beralih ke prestasi, peranti ini sememangnya adalah peranti mercu yang hebat. Disebabkan saya hanya berpeluang menggunakan peranti ini beberapa jam sahaja, saya hanya sempat menbuat ujian penanda aras.
Skor yang diperoleh dari AnTuTu adalah 448278, manakala di Geekbench 5 pula adalah 666 satu teras dan 2200 multi-teras. Skor ini adalah tinggi dan setanding dengan peranti mercu lain. Lebih mengejutkan, skor ini adalah lebih tinggi dari skor yang diperoleh oleh Pixel 4. Berdasarkan pengalaman mengulas pelbagai peranti yang tiba di makmal Amanz ini, skor sebegini tidak akan ada masalah untuk bermain permua dengan grafik tinggi seperti PUBG Mobile, Call of Duty Mobile atau juga Asphalt 9. Malah ia juga akan menjadi peranti yang sesuai untuk tujuan multi-tugasan, kerana ia adalah sebuah peranti yang lancar dan pantas.
SuperVOOC 50W Yang Tidak Masuk Akal!
Walaupun Google telah menyarankan semua pengeluar untuk menggunakan USB Power Delivery sebagai sistem pengecasan pantas universal, masih banyak yang berdegil. Contohnya Realme X2 Pro ini. Sistem pengecasannya adalah SuperVOOC 50W dan mampu mengecas peranti dari 0% sehingga 100% dalam masa hanya 30 minit. Tidak cukup dengan pengecasan yang pantas ini, animasi ketika peranti dicas juga adalah masa nyata dan pengguna boleh lihat peratusannya bergerak dengan pantas.
Bateri yang digunakan adalah 4000mAh dwi-sel. Jadi kuasa mengecas terkawal dan bateri tidak akan mudah rosak. Disebabkan teknologi sehebat ini dan sistem pengecasan seperti inilah, ramai yang masih menggunakan sistem tersendiri dan bukannya USB-PD. Perkara ini akan membuatkan pengguna gembira dan menjimatkan masa mereka.
Pro Ke Kamera 64MP?
Ya, Realme X2 Pro juga adalah salah satu peranti yang menggunakan lensa daripada Samsung – 64MP. Ia digabungkan dengan lensa 13MP telefoto, 8MP sudut ultra lebar (5x zum optikal hibrid & 20x zum hibrid) dan 2MP lensa bokeh. Dalam percubaan yang ringkas, kameranya lihat agak baik dan juga sedikit mengecewakan. Ia boleh dikatakan adalah standard kamera dari Oppo atau Realme dan tidak sehebat pesaing lain seperti OnePlus 7T, Samsung Galaxy S10e, iPhone 11 atau juga Mi 9T Pro. Sebaik sahaja kamera dibuka, mod kecantikan sudah pun diaktifkan pada tahap yang boleh saya katakan melampau. Jadi, pengguna perlu mematikannya terlebih dahulu jika inginkan hasil gambar yang lebih realistik.
Hasil gambar manusia dengan kamera belakang agak baik. Namun kesan lembut itu masih ada. Warnanya pula adalah lebih kurang seperti OnePlus 7T, tetapi ia seakan ditambah satu lapis penuras HDR. Gambar telefoto dan sudut ultra lebar pula adalah baik-baik sahaja tetapi belum sampai tahap yang memuaskan. Untuk mod malam, Realme X2 Pro perlu belajar lebih lagi dari OnePlus atau Huawei. Ia seakan tidak berfungsi dan masih banyak lagi kesan hingar. Tetapi, jika tangan stabil atau peranti berada pada tripod – hasilnya mungkin akan lebih baik.
Kamera swafoto pula adalah 16MP. Begitu juga dengan kamera utama, mod kecantikan sudah diaktifkan dan berada di tahap yang tidak saya gemar. Bukan itu sahaja, gambar swafoto juga adalah terlampau mudah terdedah kepada cahaya yang banyak dan kamera peranti dilihat tidak mampu membuat pasca-proses yang baik. Tetapi, jika situasi cahaya yang baik – hasil kamera swafoto adalah cukup baik dan pasti akan menggembirakan pengguna. Begitu juga mod bokeh pada peranti ini yang dilihat adalah lebih kemas, warna yang baik dan juga cantik.
Rekaan Peranti Yang Tidak Pro
Spesifikasi peranti sudah hebat, prestasi juga baik dan pengecasan pantas yang gila pantas. Tidak lupa juga hasil kamera yang hebat. Tetapi sayangnya, kesemua ini dimuatkan dalam peranti yang mempunyai rekaan peranti lama. Rekaan Realme X2 Pro ini mengingatkan saya kepada peranti seperti Xiaomi Mi 5 dan Galaxy S7. Belakang peranti adalah kaca melengkung yang apabila dipegang terasa murahnya. Sususan kamera pula sudah baik, terdapat lingkaran berwarna pada lensa utama, tetapi logo Realme di bahagian belakang ini adalah tidak kemas dan menjengkelkan.
Bingkai peranti adalah sedikit bersegi dan cara kaca belakang diletakkan seakan mudah ditanggalkan. Di bahagian bawah terdapat kekisi pembesar suara seakan peranti LG, port USB-C dan syukur ke hadrat ilahi, port bicu audio masih dikekalkan. Bahagian atas hanya terdapat mikrofon, sisi kanan adalah butang kuasa dan slot kad SIM. Akhir sekali bahagian kiri adalah terletaknya butang aras suara. Pada bahagian skrin, takuk kecil boleh kita lihat dengan kekisi pembesar suara di atasnya. Saiz bingkai pula adalah nipis sahaja dan secara keseluruhan kelihatan kemas.
Warna unit yang dapat saya pegang ini adalah Lunar White. Ia menangkap banyak kotoran cap jari. Ia juga mempunyai kemasan yang sangat licin. Walaupun rekaan yang bersegi dan melengkung, ia tidak mempunyai cengkaman yang baik. Jika risau, gunakan sahaja kerangka silicon yang disediakan.
Perkara Lain Yang Menarik
Pembesar suara adalah stereo dan dioptimasikan dengan Dolby Atmos. Walaupun masih Android Pie, Color OS 6.1 yang digunakan mempunyai sokongan mod gelap secara keseluruhan sistem. Untuk sekuriti pula, ia menggunakan sistem pengimbas cap jari bawah skrin dan ianya amat pantas. Berani saya katakan, ia adalah sepantas peranti OnePlus 7T. Walaupun set yang saya uji ini adalah Color OS 6.1 versi China, sudah terdapat Google Play Services terbina. Jadi hanya pasangkan APK Google Play Store dan beberapa APK penyelarian akaun Google untuk GMS berfungsi sepenuhnya.
Variasi pula ditawarkan sehingga 12GB RAM dengan storan dalaman 256GB berasaskan UFS 3.0. Tetapi perlu diingatkan yang UFS 3.0 ini hanya terhad untuk storan 128GB dan 256GB sahaja. Terdapat juga pilihan RAM serendah 6GB dan 8GB. Lebih pelik, tahun 2019 ini Realme masih menawarkan variasi 6/64GB yang storannya adalah berasaskan UFS 2.1 sahaja. Sudaah tidak menyokong slot kad mikroSD. Mungkin Realme ingin tawarkan variasi yang rendah kerana harganya yang murah.
Kesimpulan
Realme X2 Pro adalah pembunuh peranti mercu paling ganas. Selamat tinggal Xiaomi dan selamat tinggal OnePlus. Pencabar baru telah tiba dan Realme telah merampas takhta Flagship Killer anda dengan tawaran yang lebih menarik. Spesifikasi peranti mercu yang hebat, kamera yang memuaskan, skrin 90Hz yang lancar dan pantas dan akhir sekali padat dengan ciri dan fungsi yang menarik. Harga pula adalah hanya bermula dari RMB 2499 (~RM1479) sehingga RMB 3199 (~RM1894).
Harga jualan import dilihat masih tidak konsisten, ada penjual menjual 6/64GB pada harga RM1700, ada yang menjual RM1800. Di Malaysia, ia baru sahaja lepasi SIRIM dan mungkin akan tiba ke pasaran Malaysia tidak lama lagi. Jika ia hadir ke pasaran Malaysia, harapnya harga tidak akan mencapai sehingga lebih RM2K. Apakah pendapat anda mengenai peranti ini? Tergugat atau tidak untuk membelinya?
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment