Tiba masa potong elaun menteri, pegawai tertinggi, kata penganalisis
PETALING JAYA: Sudah tiba masanya kerajaan menilai semula kewajaran elaun yang diberi kepada menteri dan pegawai tertinggi sektor awam dalam keadaan ekonomi negara hari ini.
Penganalisis dari Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berkata, mana-mana elaun yang sudah tidak relevan wajar dipotong lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi negara yang tidak mengizinkan pembaziran.
“Selain pemansuhan elaun kritikal, kerajaan sepatutnya memikirkan bagaimana nak potong elaun menteri yang terlalu banyak. Sudah tiba masanya kerajaan menilai sama ada gaji dan elaun mereka sesuai atau tidak dalam keadaan ekonomi sekarang ini.
“Jadilah kerajaan yang mendengar suara rakyat yang sekarang ini mahu elaun menteri dipotong. Banyak lagi elaun lain yang boleh dikaji, yang tiada keperluan,” katanya kepada FMT ketika dihubungi baru-baru ini.
Rabu lepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengesahkan pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) kepada bakal penjawat awam baru yang dilantik bermula 1 Jan 2020.
Kenyataan itu menerima reaksi pelbagai pihak, termasuk Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang membantah pemansuhan itu.
Malah di media sosial, rata-rata pengguna menuntut kerajaan memotong elaun menteri, bukannya elaun kakitangan awam terlibat.
Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, elaun pegawai tertinggi kerajaan seperti kategori Jusa dan Turus juga perlu dinilai dan mana-mana elaun yang sudah tidak wajar perlu dimansuhkan.
“Bukan sahaja golongan berpendapatan di bawah gred 54 diberi perhatian, tetapi perlu dilihat dalam kalangan pegawai Turus dan Jusa ini.
“Gaji ketua pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga harus dinilai semula yang dilihat terlalu besar,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan tidak seharusnya hanya mengharapkan rakyat berkorban untuk negara.
“Bukan kerajaan sahaja meminta pengorbanan daripada rakyat, tapi rakyat juga ingin wakil rakyat berkorban daripada segi elaun diterima yang dilihat tidak munasabah. Sama-sama berkorban.
“Apabila berada di tampuk kuasa mereka seharusnya menjadi lebih sedar dan insaf dengan jurang kedudukan rakyat dan kedudukan mereka yang luas,” katanya. - FMT
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment