Isteri Orang Bawa Bayi Dicekup Berkhalwat Dengan Sepupu
ALOR SETAR: Sudahlah bergelar isteri orang, dibawa pula bayi berusia enam bulan bermalam di sebuah rumah tumpangan bersama lelaki yang bukan mahramnya.
Wanita berusia 29 tahun itu antara yang dicekup dalam operasi mencegah khalwat yang diadakan di sekitar bandaraya ini malam tadi.
Hasil soal siasat anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) dengan wanita itu, dia mendakwa sebilik dengan lelaki yang diperkenalkan sebagai 'sepupunya'.
Wanita yang menetap di Melaka itu turut membawa bersama bayinya yang berusia enam bulan manakala pasangannya dari sini.
Selain pasangan berkenaan, operasi yang dilakukan oleh JAIK turut mencekup seorang lelaki yang juga suami orang dengan pasangannya di sebuah hotel bajet di Jalan Tambang Badak.
Lelaki berusia 38 tahun dicekup ketika sedang berdua-duaan dengan seorang wanita berstatus janda berusia 31 tahun pada pukul 1 pagi.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, dalam serbuan itu pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit menunggu pintu dibuka pasangan berkenaan.
Beliau berkata, pintu kemudian dibuka seorang lelaki yang berpakaian lengkap manakala pasangannya pula sedang bersembunyi dalam bilik air.
Hasil soal siasat mendapati, lelaki itu dipercayai sudah berkahwin dan berasal dari Bedong, Sungai Petani manakala pasangannya pula berasal dari Selangor dan bekerja di negeri Kedah.
Mereka memberi alasan takut disebabkan lelaki itu bimbang perkara itu diketahui isterinya menyebabkan mereka mengambil masa lama untuk membuka pintu bilik berkenaan.
Radzi berkata, dalam serbuan kedua di sebuah bilik bersebelahan hotel itu, seorang lelaki dicekup berkhalwat dengan pasangannya yang menetap di Langkawi.
Beliau berkata, mereka dicekup selepas gagal menunjukkan sebarang dokumen menunjukkan bukti mereka mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.
Lelaki yang bekerja sebagai mekanik itu berasal dari bandar raya Alor Setar manakala pasangannya pula dari Langkawi bekerja sebagai jurujual kasut di pulau peranginan itu.
Ketiga-tiga pasangan berusia antara 19 hingga 38 tahun ditahan kerana disyaki berkhalwat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Kedah 2014 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Turut serta dalam operasi itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar dan Agama negeri, Datuk Dr Ismail Salleh.
Operasi yang bermula jam 12 tengah malam hingga jam 4 pagi itu tertumpu di sekitar bandar raya ini sempena Malam Tahun Baru, malam tadi.
Sumber: Astro Awani
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Sehinggit Media News
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment