Polis akan teliti tuntutan saman keluarga Adib, kata KPN
KUALA LUMPUR: Polis sedia meneliti tuntutan saman yang akan difailkan keluarga Muhamad Adib Mohd Kassim bagi menuntut ganti rugi berhubung insiden yang menyebabkan kematian anggota bomba itu.
Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, memberitahu hari ini, bahawa pihaknya akan tunggu dan lihat dahulu apakah yang terkandung dalam saman itu.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk menerima tindakan sivil daripada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan hasil siasatan polis berhubung kematian Adib.
Hari ini, media melaporkan keluarga Adib mahu mengambil tindakan saman sivil terhadap polis bagi menuntut ganti rugi berhubung insiden yang menyebabkan kematian anggota bomba itu.
Keluarga Adib juga dilaporkan mahu menuntut ganti rugi kerana kecewa dan tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan Abdul Hamid sebelum ini.
Isnin lalu, Abdul Hamid dalam satu kenyataan, menyangkal dakwaan tidak menghormati dan mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan keputusan Mahkamah Koroner berhubung kes kematian Adib.
Abdul Hamid menegaskan sehingga kini, tiada saksi yang benar-benar dapat menyatakan telah melihat Adib dipukul semasa rusuhan dan kesemua keterangan yang diperoleh adalah bersifat dengar cakap serta berupa pendapat.
Beliau berkata sehingga kini, kes Adib tidak pernah ditutup masih diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mengalami kecederaan parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.
Pada 27 Sept tahun lepas, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih 2 atau 3 individu tidak diketahui. - FMT
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment