Perkhidmatan feri ke Langkawi dari Kuala Perlis beroperasi semula hari ini
ALOR SETAR: Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Utara dengan kerjasama pengusaha feri akan membuka semula perkhidmatan feri ke Langkawi bagi laluan Kuala Perlis mulai Ahad.
Menurut kenyataan JLM, langkah itu selaras dengan keputusan kerajaan yang menamatkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Kedah sekali gus membolehkan pergerakan rentas antara negeri yang bukan berstatus PKPB.
Perkhidmatan feri bagi laluan Pulau Langkawi-Kuala Perlis-Pulau Langkawi hari ini akan beroperasi dengan kekerapan 1 perjalanan setiap hala iaitu pada 10.30 pagi bagi perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis dan pada 5 petang bagi perjalanan dari Kuala Perlis ke Pulau Langkawi.
“Kekerapan perjalanan feri di laluan ini akan ditambah kepada 2 perjalanan pergi dan balik mulai Isnin 23 Nov 2020 iaitu pada 10.30 pagi dan 5.30 petang bagi laluan Pulau Langkawi ke Kuala Perlis dan 10 pagi serta 5 petang dari Kuala Perlis ke Pulau Langkawi,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, mulai Isnin ini, perjalanan feri dari Kuala Kedah ke Pulau Langkawi akan beroperasi pada 10 pagi dan 5 petang, begitu juga dengan perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah.
Jabatan itu memaklumkan pelaksanaan norma baru dan prosedur operasi standard (SOP) yang terpakai serta diperketatkan di terminal dan jeti penumpang masih dikekalkan, dan pengusaha feri perlu terus menguat kuasa norma baru dan SOP yang ditetapkan bagi mengawal penyebaran Covid-19.
“JLM juga menyeru agar pengguna terminal/jeti dan penumpang feri agar terus mematuhi segala perintah dan arahan kerajaan serta tetap menerapkan norma-norma baru dalam setiap kegiatan harian agar rantaian wabak ini dapat diputuskan sepenuhnya,” katanya.
Sebelum ini, berikutan PKPB mulai 9 Nov lepas, JLM bersama pengusaha feri telah mengurangkan kekerapan perjalanan bagi laluan Pulau Langkawi-Kuala Perlis-Pulau Langkawi kepada 1 perjalanan sehala sahaja manakala perkhidmatan bagi laluan Pulau Langkawi-Kuala Kedah-Pulau Langkawi dihentikan sementara. - FMT
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment