Hi! Welcome Back and Stay Tune! PKP ibarat gunting dalam lipatan untuk tukang gunting rambut? - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

PKP ibarat gunting dalam lipatan untuk tukang gunting rambut?


 

Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia, TN Winda Tahir berkata, kerajaan tidak patut mengarahkan kedai gunting rambut ditutup terus, sebaliknya mengambil pendekatan lebih berhemah tanpa menjejaskan kesihatan awam.

PETALING JAYA: Jangan jadikan perintah kawalan pergerakan (PKP) gunting dalam lipatan untuk kami – itu rayuan pengusaha kedai gunting rambut yang terkejut dengan keputusan kerajaan melarang mereka beroperasi semasa PKP 2.0.

Pengusaha yang akur dengan keperluan PKP untuk melandaikan lekuk Covid-19, namun terkejut dengan keputusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) mengarahkan penutupan kedai gunting rambut, sekali gus menutup periuk nasi mereka.

Hanif Harun, 30, yang baru empat bulan membuka kedainya di Tanjung Karang, Selangor, kini menghadapi masa depan tidak menentu.

“Bagi saya yang baru memulakan operasi, memang untung itu tidak nampak lagi. Dari segi gaji, memang saya sendiri tidak merasa gaji lagi, untung pun tidak rasa lagi.

“Kita baru sahaja nak pasarkan perniagaan kepada penduduk setempat, tiba-tiba jadi lagi macam ini,” katanya kepada FMT.

Beliau bukan sahaja bimbang nasib sendiri, tetapi juga enam pekerjanya.

“Dari segi perniagaan memang terjejas, bukan sahaja saya terjejas, tetapi juga pekerja. Kakitangan saya hanya diberikan gaji dan lebih mengharapkan komisen.

“Tetapi, jika tidak beroperasi, bagaimana pekerja hendak mendapatkan komisen? Jadi, saya terpaksa gunakan wang sendiri untuk diberikan kepada mereka.”

Katanya, beliau boleh “bertahan” jika PKP hanya dua minggu, namun terpaksa mengambil tindakan drastik sekiranya dilanjutkan.

“Setakat ini, memang boleh bertahan sampai hujung bulan ini sahaja. Jika diteruskan memang ‘koyak’ juga. Setiap bulan saya perlukan RM8,000 untuk tanggung operasi.

Hanif Harun (dua dari kanan) bersama kakitangannya di kedai gunting rambut yang baru dibukanya empat bulan lalu.

“Memang saya harap selepas 14 hari ini, akan ada toleransi daripada kerajaan.”

PKP 2.0 dikuatkuasakan mulai Rabu lalu di enam negeri, termasuk Selangor yang saban hari mencatatkan jumlah kes tertinggi. Semalam, negeri itu mencatatkan 1,036 kes positif.

PKP membabitkan sekatan perjalanan ketat, manakala pelbagai perniagaan tidak dibenarkan beroperasi sehingga 26 Jan ini, sebelum keputusan dibuat untuk melanjutkan PKP atau sebaliknya.

Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia, TN Winda Tahir menyifatkan keputusan Putrajaya melarang kedai gunting rambut beroperasi amat mengecewakan dan menekan ahlinya.

Beliau akur dengan keperluan langkah tegas untuk membendung Covid-19, namun tidak menyangka kedai gunting rambut akan dilarang beroperasi sama sekali.

“Rata-rata kami menyangka sektor ini dibenarkan beroperasi semasa pelaksanaan PKP 2.0 ini. Justeru, ramai pengusaha kecewa, ramai yang tidak bersedia menerima keputusan ini.

“Mereka belum pulih daripada kesan pelaksanaan PKP terdahulu.”

Katanya, kerajaan tidak patut mengarahkan kedai gunting rambut ditutup terus, sebaliknya mengambil pendekatan lebih berhemah tanpa menjejaskan kesihatan awam.

“Sebenarnya sektor ini tidak perlu dilarang, mungkin boleh hadkan masa operasi atau melalui temu janji sahaja. Ekonomi masih dapat berjalan dan masyarakat juga boleh mendapatkan khidmat kami. Setakat ini, dapat dilihat pengusaha kedai gunting rambut patuh kepada SOP dengan baik.”

Beliau berkata, walaupun SOP PKP 2.0 tidak membenarkan kedai gunting rambut dibuka, pengusahanya tetap perlu menanggung kos sewa premis dan perbelanjaan berkaitan.

Katanya, meskipun pengusaha kedai gunting rambut Bumiputera menghadapi begitu banyak dugaan dan kesempitan kewangan, mereka belum menerima apa-apa bantuan khusus dari Putrajaya.

Winda bimbang ahlinya yang terdesak akan menerima tempahan menggunting rambut di rumah pelanggan, seperti semasa PKP julang kali diadakan tahun lalu, yang mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan virus itu.

Semalam, Majlis Keselamatan Negara mengumumkan kedai dobi layan diri yang dilarang beroperasi sebelum ini, boleh dibuka di kawasan PKP.

Namun, belum ada berita gembira seumpama itu dari kerajaan untuk pengusaha kedai gunting rambut. - FMT



✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH

🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻‍♀️ Enjoy Surfing!




No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.