Bukan permainan politik, ini soal ‘periuk nasi’ 2,000 pekerja SFI, kata kesatuan pekerja
SIPITANG: Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Industri Perkayuan Sabah, Engrit Liaw menegaskan, tindakan pekerja Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) meluahkan perasaan mereka berhubung isu tunggakan gaji di media sosial bukanlah suatu permainan politik.
Sebaliknya, beliau berkata, apa yang diluahkan pekerja SFI hanyalah untuk meminta perhatian kerajaan negeri sekarang kerana ia membabitkan “periuk nasi” kira-kira 2,000 pekerja di syarikat itu.
“Mereka bukan berpolitik, tetapi mereka adalah mangsa politik yang gaji belum dibayar sejak Feb lalu, apa yang mereka mahu makan dan beri anak-anak makan?
“Lebih menyedihkan para pekerja seperti dalam kegelapan kerana mereka tidak tahu apa-apa, kenapa gaji mereka belum masuk, apa masalah yang timbul? Tapi sehingga kini mereka masih diarahkan untuk turun bekerja seperti biasa bagi,” katanya kepada FMT.
Engrit berkata, antara alasan yang diberikan beberapa pihak adalah kerajaan negeri hanya memiliki sedikit saja saham dalam SFI dan mereka tidak dapat berbuat apa-apa tindakan.
“Jika itu alasan diberi kerajaan sekarang, ia amat mengecewakan. Mereka kena lihat di sini, kebanyakan pekerja adalah orang tempatan Sabah yang datang dari pelbagai pelusuk negeri ini.
“Kenapa kerajaan negeri tidak boleh bantu kami? Ketika pemerintahan kerajaan terdahulu, mereka bukan saja turun padang mendengar keluhan kami tetapi membantu menyelesaikan masalah gaji kami,” katanya.
Engrit yang juga pembantu projek di SFI berkata, mereka sebelum ini berdepan dengan kelewatan pembayaran gaji pada Dis 2020 dan Jan lalu.
“Kami ada membuat aduan kepada pihak atasan tetapi mereka beritahu tidak boleh berbuat apa-apa dan hanya menunggu arahan daripada kerajaan negeri.
“Tolonglah, kerajaan dengarlah suara rakyat, bayangkan bagaimana para pekerja SFI hidup tanpa gaji selama lebih dua bulan dan jika berlanjutan sukar untuk ramal apa yang bakal berlaku kepada mereka nanti,” katanya.
Engrit berkata, walaupun operasi kilang SFI di Sipitang telah lama dihentikan sejak penjualan SFI selain kes mahkamah yang masih belum selesai, mereka juga berhak untuk mendapat penjelasan mengenai nasib dan jaminan pekerjaan mereka.
Pada 29 Ogos 2019, bekas ketua menteri, Shafie Apdal pernah memberi jaminan akan terus menampung pembayaran gaji SFI sehingga kes membabitkan syarikat itu selesai di mahkamah.
Katanya, walaupun SFI masih belum beroperasi semula, namun, kerajaan memberi jaminan untuk terus membayar gaji pekerja SFI pada setiap bulan walaupun kerajaan negeri tidak mempunyai hak ke atas syarikat berkenaan kerana hanya memiliki 2% saham.
Shafie yang juga menteri kewangan ketika itu berkata, kerajaan memerlukan RM2 bilion sekiranya mahu mengambil alih SFI dan pihak yang mengambil alih SFI pada masa akan datang perlu membayar semula kepada kerajaan setiap perbelanjaan yang dikeluarkan bagi pembayaran gaji kakitangan SFI sepanjang tempoh berkenaan.
Sebelum ini, SFI dikatakan telah bankrap dan diambil alih oleh SFI Receiver (Grant Thornton Consulting Sdn Bhd & Pelangi Prestasi Sdn Bhd) manakala kerajaan negeri pula hanya mempunyai hak konsesi kepada tanaman kayu di Sipitang. - FMT
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment