Raya dan puasa balas dendam? Jangan…
Seawal sebulan lalu sudah kedengaran ramai orang Melayu menyimpan hasrat untuk sambut Ramadan besar-besaran kali ini. Apatah lagi Aidilfitri.
Memang dituntut agama menyambut Ramadan dengan kesyukuran serta gembira dan mengisi bulan penuh barakah dengan amalan baik dan ibadah. Betul, memang itu orang Melayu mahukan.
Cuma kali ini di samping itu, kedengaran juga orang Melayu mahu sambut secara “extravaganza”. Kalau Ramadan disambut begitu begitu, tentulah Syawal disambut lagi “extra” daripada “extravaganza”.
Maksudnya, ramai mahu menyambut dengan meriah-semeriahnya. Untuk mencakupi apa yang tidak dapat dilalui tahun sebelumnya. Tahun lalu kita tahu Ramadan disambut dengan cara yang tidak pernah disambut. Manakala Adilfitri muram dan sunyi. Tidak pernah terjadi.
Sebabnya kita tahu. Covid-19. PKP ketat ketika itu terpaksa dikuatkuasakan supaya wabak tidak menular. Kita semua terseksa diancam wabak penyakit dan ekonomi.
Oleh itu kali ini ramai yang mahu “ambil” apa yang tak dapat tahun lalu dan “campur” dengan apa yang boleh tahun ini supaya terjadi satu sambutan “mega”. Seolah-olah balas dendam apa yang terlepas tahun lalu.
Ada yang bercadang ambil cuti panjang untuk raya. Macam-macam rancangan dan rencana sudah diatur. Semuanya diatur kerana berpendapat kali ini mereka akan diizin berbuat demikian setelah dilarang tahun lalu.
Yang membuat hasrat itu timbul ialah kerana Bazar Ramadan dibenar dibuka. Kerajaan juga izinkan Bazar Aidilfitri diadakan. Jumlah kes Covid-19 pun sudah menurun. Ada ketika Putrajaya dan Perlis – sebagai contoh – tidak ada satu kes dicatat. Kosong dalam sehari. Alhamdulillah.
Malah, kita juga tidak diingatkan lagi untuk selalu cuci tangan dan jaga kebersihan melalui pesanan SMS Majlis Kelamatan Negara. Tidak seperti tahun lalu apabila kejap-kejap SMS masuk memberi peringatan.
Sehari sebelum saya tulis ini seorang kawan lama memberitahu beliau baru pulang dari sebuah “mall” di ibu kota.
“Terkejut aku tengok ramai ibu bapa Melayu tidak pedulikan SOP selain terpaksa ‘scan’ MySejahtera di pintu masuk dan check suhu. Mak oi, dibiarkan anak-anak tidak pakai ‘mask’ berlari lari ke sana sini, dekat-dekat dengan orang lain dan ada yang main sampai baring-baring di lantai. Pihak pengurusan ‘mall’ nampak macam buat tak tau je,” kata kawan saya.
Jelas itu suasana “happy”. “Mood” raya. Ramai percaya keadaan sudah “OK”. Lantas puasa dan raya kali ini juga akan “OK”. Tahun ini mahu balik kampung. Walaupun kerajaan belum memutuskannya. Pun begitu, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob sudah minta Kementerian Kesihatan buat keputusan dan umum lebih awal sama ada boleh rentas negeri untuk beraya.
Kata Ismail, pengumuman lebih awal akan memudahkan orang ramai buat persiapan dan kurangkan kesesakan pembelian tiket pengangkutan awam.
Betul lah itu tetapi bukankah kementerian hanya boleh membuat keputusan sepenting itu berdasarkan perkembangan terkini?
Kementerian Kesihatan tidak punya geluk jampi Pak Belalang untuk tilik apa yang akan terjadi menjelang Aidilfitri. Bukan begitu?
Tidak salah nak “happy-happy”. Cuma kena berhati-hati. Bukan tujuan saya berkhutbah. Sekadar mengingatkan meskipun jumlah kes Covid-19 menurun tetapi bukan bererti ia sudah tidak ada.
Realitinya Covid-19 masih ada dan terus mengancam. Mengikut statistik kerajaan, sejak akhir-akhir ini, jumlah mula meningkat.
Covid-19 seolah-olah melawan balik usaha yang kita lakukan untuk membasminya. Menurut pakar sains, ada dua atau tiga variasi Covid-19 yang boleh merebak cepat.
Benar sudah ada vaksin. Dua dos diperlukan. Tetapi masih ramai yang satu dos pun belum dapat. Ada juga “frontliner” yang dikatakan belum menerima suntikan.
Bazar Ramadan dan Aidilfitri bagus untuk menolong peniaga yang sengsara sekian lama. Begitu juga pembukaan pelbagai sektor ekonomi. Namun kerjasama semua pihak perlu kerana risiko tetap tinggi. Ada pegawai penguat kuasa mengaku beliau dan pasukannya amat risau kerana bukan senang mengawal keadaan khusus di Bazar Ramadan.
Di beberapa negara Eropah, gelombang baharu terjadi walaupun sebelum ini keadaan dikatakan “hampir pulih”. Kini langkah keras dikuatkuasakan semula.
Di India, beberapa bandar dan wilayah diperintah “lockdown” semula. Minggu lalu saja 250,000 kes baharu dilaporkan. Pada hal India menghasilkan vaksin dengan jumlah yang cukup besar untuk digunakan merata dunia.
Kata BBC, “India has let its guard down”. Dalam erti lain mereka telah cuai dan lalai setelah mempercayai perang Covid-19 sudah dimenangi.
Kita juga seakan mula lalai dan cuai hanya kerana adanya tanda-tanda keadaan memberangsangkan dalam perang memerangi wabak itu.
Menurut laporan Bernama 10 April lalu, Jabatan Kesihatan Terengganu berkata penduduk gemar mengeteh di kedai-kedai kopi selepas solat di masjid dan surau tanpa patuh SOP, mengakibatkan “sekelip mata daerah Besut bertukar status jadi zon merah”.
Menurut FMT pula, pakar kesihatan mengingatkan iktibar dari peningkatan kes di Sarawak sejurus selepas perayaan Tahun Baru Cina pada Februari.
Pakar kesihatan berpendapat risiko orang ramai mengambil sikap sambil lewa ketika perhimpunan perayaan masih membimbangkan.
Berdasarkan perangkaan rasmi, sebelum Tahun Baru Cina, Sarawak melaporkan kira-kira 160 kes sehari. Namun dua minggu kemudian, melonjak kepada 353 kes pada 25 Februari, iaitu selepas sambutan perayaan berkenaan pada 12 dan 13 Februari.
Berkicau bekas menteri semasa pemerintahan BN, Zaid Ibrahim di Twitter: “Kita tidak akan mampu mengatasi Covid-19 pada bila-bila masa dekad ini. Kenapa? Putrajaya melihatnya sebagai ‘political’, kerajaan negeri lihatnya sebagai hal agama, dan Sarawak buat apa yang mereka nak secara sendiri. Tidak ada usaha bersepadu untuk menganggapnya sebagai satu isu kesihatan awam”. Setuju atau tidak terpulang.
Selamat beribadah sepanjang Ramadan yang mulia. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment