Zalimkah dia?
Baru-baru ini ada orang bertanya kepada saya, zalim sangatkah dia sehingga kita semua membencinya?
Orang yang bertanya itu nampaknya percaya bahawa dengan melontarkan soalan sedemikian dia dapat menukar kebencian menjadi kasihan, dan dari kasihan barangkali dapat meningkat jadi kasih. Soalan itu dirasakan soalan pandai. Ini kerana ia semacam memerangkap kita semua yang sedang di puncak rasa menyampah kepadanya oleh kezaliman.
Jadi orang bertanya itu percaya, dia tidaklah zalim mana.
Untuk mengetahui dia ini zalim atau tidak saya rasa kita boleh menyemak tingkatan zalim atau tidak itu dengan panduan daripada Ja’far al-Sadiq. Siapakah orang ini? Dalam sebuah buku ilmiah karangan Ahmad Zuhdi Ismail, pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, yang berjudul “Imam Ja’far al-Sadiq: Pemikirannya Tentang Konsep Ketuhanan” terbitan Penerbit Universiti Malaya (2006) dijelaskan yang beliau keturunan Rasulullah. Beliau mengajar ilmu agama lebih 34 tahun di mana terdapat beribu-ribu muridnya.
Dalam hayatnya, Ja’far menentang korupsi dan perubahan agama ketika era Bani Umaiyyah. Menurut Zuhdi, saya petik:
“Walaupun bentuk pengajaran Imam Ja’far menyentuh pelbagai sudut, tetapi ia disatukan dan didirikan kepada satu matlamat, iaitu menghidupkan kembali kefahaman masyarakat terhadap Islam yang murni sebagaimana yang dipegang oleh Rasulullah SAW dan sahabat Rasulullah SAW khususnya Ali bin Abi Talib. Imam Ja’far sentiasa berusaha untuk mengembalikan semula Islam ke zaman awalnya dan usaha-usahanya yang serius untuk membebaskan diri daripada belenggu kekuasaan yang menyimpang daripada landasan al-Quran dan al-Sunnah Rasulullah SAW.
“Usaha-usaha tersebut telah menimbulkan bermacam-macam reaksi dalam kalangan pemerintah-pemerintah dan masyarakat sekelilingnya. Di antara mereka ada yang tidak senang dengan ajaran-ajaran beliau, malahan ada yang mengecamnya dengan hebat sehingga ada yang sanggup membunuhnya.”
Menurut laman “Irsyad Al-Hadith Siri Ke-338: Imam Ja’far Al-Sadiq” oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (terbitan 27 Januari 2019), antara murid Ja’far adalah Abu Hanifah, pendiri mazhab Hanafi. Terdapat banyak pujian ulama mengenai Ja’far, misalnya, saya kutip:
“Imam Abu Hanifah berkata: ‘Tidak ada orang yang lebih faqih daripada Ja’far bin Muhammad’; dan Ibnu Taimiyyah memuji beliau dengan katanya: ‘Sesungguhnya Ja’far bin Muhammad termasuk imam, berdasarkan kesepakatan Ahli Sunnah’.”
Justeru menurut saya, tidak teragak-agaklah kita untuk menjadikan seorang ulama keturunan langsung Nabi Muhammad sebagai pedoman dalam menentukan “fiil” orang zalim ini.
Ada satu riwayat Jaafar Sadiq yang dikutip dari buku “Tuhaf al-Uqul”, berbunyi lebih kurang begini:
“Hindari berkawan atau bergabung dengan tiga jenis manusia: yang tidak setia (khianat), yang menindas, dan yang suka mengata. Kawan yang mengkhianati untuk kamu, satu hari kelak akan mengkhianati kamu pula. Kawan yang menindas demi kamu, lambat laun akan menindas kamu pula. Manakala kawan yang mengata-ngata orang di hadapan kamu, pasti mengata kamu pula di hadapan orang lain pada masa mendatang.”
Poin saya mudah sahaja. Jika berkawan dengan pengkhianat, penindas, dan penista itu dilarang; tentu sahaja berkahwin, bersekutu, duduk serumah sekelambu, belajar atau bergaul dengan mereka itu turut ditegah.
Poin itu lebih dimudahkan begini, jika berkawan dengan pengkhianat, penindas, dan penista itu dilarang; maka lebih-lebih lagi pasti berbai’ah atau bertaat, bermajikan, berlutut, dan berpemerintah dengan jenis pengkhianat, penindas, dan penista itu tidak dianjurkan.
Semua sifat di atas iaitu khianat, menindas, dan mencemuh orang itu sifat orang yang zalim. Dalam erti kata lain zalim itu ialah khianat, menindas, dan mengutuk.
Orang zalim memang khianat. Orang zalim mengkhianati misalnya amanah yang diberikan orang lain kepadanya. Orang zalim mengkhianati tanggungjawab yang diserahkan. Orang zalim mengkhianati janji yang dipersetujui dengan orang ramai. Orang zalim pokok pangkalnya sanggup mengkhianati diri, anggota keluarga sendiri, dan jika dia pemimpin, dia akan mengkhianati yang dipimpin.
Bahawasanya ada pengikut dia yang percaya dia tidak khianat bukan dalil untuk membuktikan dia bukan pengkhianat.
Orang zalim juga tentu sahaja menindas. Kita misalnya mengatakan Israel itu zalim kerana menjajah, menduduki, dan menindas orang Palestin. Akan tetapi barang diingat penindasan itu bukan sahaja bila seorang penjahat membawa kereta kebal dan mesingan untuk menghunjam mereka yang ditakluk, penindasan juga berlaku saat seorang zalim itu meraup apa yang tidak ia punya dengan tidak memberikan hak orang dengan setara. Jika yang melakukannya adalah pemimpin maka dia pemimpin zalim.
Misalnya pemerintah yang berada di atas undang-undang sedang rakyat dimamah segala hukum dan peraturan, itu kita katakan pemerintah atau majikan yang zalim. Ini kerana menindas itu begitu luas. Orang yang menindas itu biasanya menginjak, melenyek, dan melanyak orang terbanyak di bawah.
Orang zalim juga mengata, mencemuh, memfitnah, dan menista. Kadang kita tertanya-tanya perangai orang zalim ini, sudahlah dia berada di atas nun sana, dek tiada kerja selain menggentel bergedel, dia sempat memerli dan menyindir yang terbanyak di bawah ini. Pakej zalim ini datang sekali dengan khianat dan tindas; justeru meremehkan orang juga komponennya.
Ini kerana demi mempertahankan kelakuan jahat mereka itu, apa yang boleh dilakukan ialah dengan memutar-belitkan kebenaran.
Kita melihat Israel misalnya cukup bijak dan kreatif berkelakuan begini. Demikianlah juga mana-mana pemerintah zalim ini berkelakuan. Dalam kata lain ia dinamai propaganda. Kadang-kala kerja memutar fakta ini dilakukan pula oleh agamawan. Mereka berbuat dalil dan kisah untuk mengesahkan perangai mereka itu dengan mencipta-cipta fatwa dan ijtihad.
Jadi kembali kepada persoalan, apakah zalim sangatkah orang bertanya itu sehingga kita meluat sangat dengannya? Kita, tidak dapat tidak, perlu kembali kepada tiga parameter yang diatur di atas. Jika dia berkawan dengan orang khianat maka dia zalim. Jika dia berkawan dengan penindas maka dia zalim. Jika dia berkawan dengan orang yang suka memutar belit dan berbohong maka dia juga tidak bukan zalim.
Apatah lagi jika dia sendiri itu pengkhianat maka sah-sahlah dia itu penzalim. Atau dia sendiri itu penindas dan perampok sudah tentu tidak lain tidak bukan dialah juga penzalim. Yang mana jika dia itu pengkhianat dan penindas tentu saja dia kaki temberang dan buat cerita yang melengkapkan kezalimannya selaku penzalim.
Baru-baru ini ada orang bertanya kepada saya, zalim sangatkah dia sehingga kita semua membencinya? Jawapan saya, ya zalim. Kalau kita betul-betul ukur dia itu dengan agama (bukan dengan agamawan). Maka memang kita perlu memisahkan diri daripada orang zalim. Malah kalau ada orang menunjuk rasa membantah penzalim, dia itu sudah melakukan satu tugas dari pelbagai tugas agama. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment