Ambulans terbabas dalam perjalanan ambil pesakit Covid-19
IPOH: Dua petugas kesihatan berdepan detik cemas apabila ambulans dinaiki terbabas lalu memasuki laluan bertentangan dan terjunam ke dalam longkang di Jalan Tambun, malam tadi ketika dalam perjalanan untuk mengambil pesakit Covid-19.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak Azizan Hassan berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan ambulans Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan dipandu Sa’azuldin Asid, 55, yang membawa pembantu perubatan Ahmad Mustakhim Badarudin, 40, pada kira-kira 8 malam.
“Pemandu dipercayai hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelah kanan kemudian terbabas masuk ke laluan bertentangan sejauh 60 meter sebelum masuk ke longkang tepi jalan ketika cuaca hujan.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati, mereka sedang dalam tugas dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk pergi ke Kampung Melayu, Batu 8 mengambil pesakit Covid-19 untuk dihantar ke Hospital Sungai Siput,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Bagaimanapun, beliau berkata kemalangan tidak melibatkan kenderaan lain serta tidak menyebabkan kerosakan harta awam manakala pembantu perubatan itu yang duduk di tempat penumpang hadapan hanya mengalami sakit pinggang.
Katanya, kemalangan dipercayai berpunca daripada kegagalan mengawal kenderaan sehingga terbabas sendiri dan akibat kejadian itu, ambulans tersebut mengalami kerosakan calar dan kemek pada sebelah kanan.
“Ambulans dari HRPB sampai memberi bantuan untuk rawatan dan kenderaan terlibat telah dinyahkuman dan ditarik balik ke Klinik Tanjung Rambutan,” katanya.
Beliau berkata tempat kejadian merupakan laluan empat lorong dua hala serta terdapat pembahagi di tengah jalan dan kes diklasifikasikan sebagai Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59). - FMT
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment