Hi! Welcome Back and Stay Tune! Kenapa Aku Dijajah Apple Selepas Merdeka Daripada Windows - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Kenapa Aku Dijajah Apple Selepas Merdeka Daripada Windows


Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dari British ke-64. Ia adalah tarikh yang perlu disambut dengan gembira saban tahun kerana selepas 31 Ogos 1957 kita tidak lagi dijajah oleh Mat Salleh yang percaya rakyat tempatan Semenanjung Emas ini adalah pemalas dan kerap mengamuk di kampung-kampung. Selepas habis dijarah hasil bumi ini, mereka akhirnya pergi selepas tanah tumpahnya sos Worchestrshire, belut dalam agar-agar dan teh mengalami masalah mengekalkan empayar pasca Perang Dunia Kedua.

Selalu semasa Hari Merdeka aku habiskan menonton perarakan. Ok ini satu pembohongan keran yang aku tengok hanyalah di bahagian hujung bila askar mempamerkan kereta kebal, rudal pelancar misil, artileri dan pesawat pejuang melakukan balik kuang di udara seperti Rahib Esa ketika menentang Maharaja Zhao. Semua in menarik tambah-tambah lagi selepas perarakan diikuti pula oleh Mini Parlimen satu ketika dahulu yang membuktikan kanak-kanak lebih beradab berlakon menjadi YB daripada YB sebenar ketika sesi Dewan Negara.

Mari kita sedikit santai hari ini di Amanz. Kalau pada hari biasa artikel yang lebih serius dari blog kami terbitkan aku rasa untuk satu hari dalam setahun dibenarkan menulis dengan kelonggaran kerana ramai berkata pada aku “bila nak tulis semula BlogSerius dan FOA aku rindu penulis santai dahulu”. Oleh itu di hari Merdeka ini izinkan gari, pasung kayu di leher, dan besi berantai yang memasung gaya penulisan lama dicabut seketika seperti iblis di senja 1 Syawal.

Aku ingin bercakap tentang kemerdekaan dan dijajah dari sudut ekosistem. Bagi yang mengikuti aku sejak 12 tahun yang lalu (ya lima orang kamu kesemuanya) pasti tahu aku dahulunya pengguna tegar Windows. Pernah ditulis beberapa artikel kenapa Windows lebih seronok berbanding macOS. Antaranya ialah sokongan permainan video yang lebih baik, lebih murah cari program cetak rompak (tak baik berbohong) dan paling penting sekali sebagai orang yang baru bekerja ialah ianya murah.

Bila pengguna Apple berkata macOS lebih baik aku tak mahu dengar. Jari dimasukkan ke lubang telinga seperti jari dimasukkan ke hidung tersumbat. Hakikatnya tahun ini aku berusia 42 tahun dan perkara-perkara yang dahulunya menarik pada Windows kini tidak lagi penting bagi aku.

Gaming? Mana ada masa untuk gaming di PC. Seharian sejak memulakan kerjaya di Amanz aku menghabiskan 10-12 jam sehari di depan komputer. Tidak masuk akal untuk meneruskan masa santai duduk lagi selama beberapa jam pada hujung minggu di depan PC.

Gaming di PC juga sudah menjadi terlalu mahal untuk aku. Permainan video semasa muda dahulu sebenarnya 99% adalah cetak ropak dibeli dari kedai CD-ROM di Selayang Mall. Bila permainan murah ada banyak duit untuk beli perkakasan seperti GPU paling terkini dan RAM yang lebih pantas setiap dua tahun. Kini dengan tanggungjawab membayar bil utiliti, yuran persekolahan anak, nafkah zahir buat isteri, wang saku untuk ibu bapa dan kos makan pakai memang tak akan mampu membeli GPU terbaik yang harganya setanding yuran persekolahan anak selama suku tahun.

Dahulu juga aku tak peduli berhadapan dengan masalah PC. Menjadi tukang baiki PC ialah kerjaya sampingan aku di kolej. Duit yang dikumpul digunakan untuk menaiktaraf PC dan memesan McD dua minggu sekali. Tetapi kini aku perlukan komputer yang berfungsi sebaik sahaja dibuka, tidak ada masalah virus, tak ada isu pemanasan (sejak berpindah ke M1) dan tak pernah lagi membuatkan aku kehilangan beberapa jam masa bekerja/menulis setahun semata-mata untuk melakukan troubleshooting.

Semasa belum bekerja dahulu memang selalu mendengar pepatah masa itu emas. Bila sudah bekerja dan kepantasan menulis berita secara harfiahnya bernilai seakan emas aku kini tidak lagi ada masa untuk berhadapan dengan masalah PC.

Tahun 2021 ialah tahun ketiga aku merdeka daripada Windows dan membiarkan Apple menjajah ekosistem aku di rumah serta tempat kerja. Setakat ini tidak ada lagi masalah Windows yang dahulunya anggap sebagai lumrah menggunakan komputer berlaku pada kesemua Mac yang aku miliki.

Memang diakui kos untuk menerjah masuk ke ekosistem ini mahal. Anda membayar sehingga 30% lebih mahal untuk spesifikasi yang sama. Tetapi aku sekarang tergolong dalam kumpulan T20 bukan pelajar kolej yang membaiki PC kawan di kolej. Aku cukup mampu untuk memiliki kesemua peranti di bawah ekosistem Apple dan menyedari membayar lebih untuk kesenangan ialah perkara yang boleh aku lakukan sebagai orang yang agak berada.

Kemampuan memulakan kerja di Mac Mini di pejabat kemudian meneruskannya di MacBook Air di rumah dengan semua fail tersusun sama seperti Mac Mini bak kata slogan iklan Mastercard adalah ‘priceless’. Bayaran premium untuk memasuki kelab ekosistem Apple adalah berbaloi dengan dividen dibayar dalam masa yang singkap untuk orang-orang tua seperti aku.

Tahun ini hidup aku berubah lagi selepas berpindah pula ke MacBook Air M1. Ia mungkin antara gajet yang paling mengubah hidup aku. Kombinasi sistem operasi yang tidak memeningkan kepala, pemproses yang amat berkuasa, dan ketahanan bateri yang tidak masuk akal. Akibatnya proses perubahan ke bekerja dar rumah tidak terlalu traumatik. Tiada lagi isu paha rasa seperti disalai selepas 8 jam memangku komputer riba Intel yang panas. Terhapus juga isu bateri hanya 8 jam sahaja kerana kini 16 jam pun tiada masalah.

Saban hari hanya perlu cabut MacBook Air dari pengecas pukul 5 pagi, mulakan kerja jam 7 pagi, berhenti kerja jam 10 malam dan sambung semula pengecas di tepi katil. Ulangi semula esok seperti filem Groundhog Day.

Setakat ini aku hanya menyentuh kemudahan menggunakan macOS sahaja. Belum sentuh penggunaan iPad, iPhone dan Apple Watch. Apabila kesemuanya bergabung, ekosistem Apple berfungsi seperti robot Super Sentai Jepun. Kekuatannya berganda daripada hanya memiliki satu peranti.

Jawab telefon dari MacBook? Tiada masalah. Tambatan ke hotspot iPhone secara automatik tanpa telefon perlu dibuka? Tiada masalah. Memindahkan fail besar dari iPhone ke MacBook tanpa kabel? Lagi tiada masalah. Banyak lagi kelebihan yang boleh aku tulis tetapi kita dah sampai ke penghujung artikel.

Jadi menjawab soalan kenapa aku dijajah Apple selepas Merdeka daripada Windows? Jawapan ialah kemerdekaan ialah idea yang romantik tetapi membiarkan diri dijajah kerana kehidupan menjadi lebih selesa adalah pilihan yang lebih mudah. Selamat Hari Merdeka 2021 kepada semua. Semoga anda mempunyai jati diri yang lebih baik dari aku membiarkan diri dijajah oleh ekosistem yang dahulunya aku benci.



✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz

🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻‍♀️ Enjoy Surfing!



No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.