Australia Akan Menggunakan Kapal Selam Nuklear Dengan Teknologi A.S dan UK
Minggu ini kerajaan Australia mengumumkan mereka akan membina kapal selam bertenaga nuklear dengan bantuan teknologi yang dibangunkan oleh Amerika Syarikat dan United Kingdom. Ini menjadikan Australia negara ketujuh di dunia selepas A.S, UK, Rusia, China, India dan Perancis menggunakan teknologi yang tidak digunakan secara meluas ini.
Pada asalnya Australia ingin menggantikan kapal selam diesel-elektrik kelas Collins mereka bagi memenuhi keperluan operasi serantau dengan China mula menunjukkan belang mereka di Laut China Selatan. Kapal selam kelas Attack diumumkan dengan kontrak dimenangi oleh firma DCNS untuk membekalkan kapal selam kuasa konvensional.
Tetapi dengan kos projek melonjak naik serta pelbagai isu teknikal, Australia secara mengejut mengumumkan pembangunan kapal selam nuklear mereka sendiri dengan bantuan teknikal dari A.S dan UK. Ia adalah sebahagian daripada persetujuan AUKUS antara tiga negara ini bagi meningkatkan kerjasama kemampuan serangan jarak jauh, peperangan siber, kecerdasan buatan dan pengkomputeran kuantum.AUKUS dilihat sebagai cara A.S dan UK mengawal peluasan kuasa China menerusi sekutu mereka Australia di rantau ini.
Australia memilih menggunakan kapal selam nuklear juga adalah agak mengejutkan kerana Australia adalah antara negara yang menandatangani Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear tahun 1968. Perancis sudahpun mengumumkan kekecewaan kerana kontrak kapal selam kelas Attack yang ditandatangani telah dibatalkan. China pula kesal dengan pengumuman AUKUS kerana dilihat sebagai percubaan mewujudkan semula situasi Perang Dingin yang akan hanya merugikan negara-negara yang terlibat.
Tindakan Australia mungkin aneh tetapi adalah munasabah apabila dilihat pada skala serantau. UK tidak lagi mempunyai armada yang besar untuk menguasai lautan seperti seratus tahun yang lalu. Amerika Syarikat pula memerlukan masa untuk menghantar armada mereka ke rantau ini jika berlakunya sebarang insiden. Australia akan menjadi pasukan hadapan mengekang China.
Kapal selam nuklear boleh beroperasi di bawah permukaan air sehingga 90 sebelum perlu mendapatkan bekalan dan tidak perlu mengisi bahan api sepanjang hayatnya. Kapal selam diesel elektrik Air Independent Propulsion (AIP) yang kelas Collins milik Australia pada waktu ini hanya mampu kekal di bawah permukaan air selama 11 hari dan bahan api perlu ditambah selepas 70 hari.
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment