Hi! Welcome Back and Stay Tune! PAS harus matang urus isu arak - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

PAS harus matang urus isu arak


 

Pemimpin, tidak kira muslim atau ‘non-muslim’ di negara ini bertanggungjawab mengawal penggunaan, pembuatan dan perniagaan semua jenis benda yang boleh memabukkan atau menyebabkan hilang akal seperti arak atau dadah.

Ini kerana sesiapa sahaja yang mabuk dan hilang akal kerana dadah dan arak adalah satu ancaman terhadap keselamatan, kesihatan dan kerukunan hidup rakyat.

Ketetapan ini mesti dilaksanakan dengan tegas dan ikhlas tanpa perlu bermuka-muka dalam kalangan pemimpin. Mengeluarkan kenyataan tentang sejarah pengharaman arak di sisi Islam seperti dilakukan Presiden PAS, Hadi Awang adalah contoh.

Bila tercetus isu arak dan penjenamaan wiski Timah barulah beliau mengeluarkan kenyataan akhbar yang berjela-jela perihal sejarah Islam mengharamkan arak. Itu tidak ikhlas. Sudah terhantuk baru nak terngadah.

Sepatutnya bila membuat keputusan menyertai kerajaan, Hadi dan pemikir PAS sudah bersedia dengan ‘blueprint’ menguruskan isu ini. Sindiran dan kiasan tidak perlu. Yang wajib ialah PAS mesti sedar isu ini adalah tanggungjawabnya.

Perihal sensitiviti kaum dan agama harus difikir dan dilembagakan protokol atau prosedur operasi standard (SOP). Barulah PAS boleh dihormati oleh rakyat majmuk keturunan dan agamanya di Malaysia.

PAS sepatutnya meneraju wacana kontroversi arak kerana ia adalah kerajaan. Tekuni cara bekas Menteri Agama, Zulkifli Mohamad yang lengkap dengan penerbitan fatwanya ketika jadi Mufti Wilayah Persekutuan dan Menteri Kabinet.

Untuk merungkai isu arak dan penjenamaannya, PAS seharusnya segera ketengah gelanggang politik dengan fatwanya dan tidak seperti ahli-ahli politik Umno dan Bersatu yang disantuninya sekarang.

PAS patut ada semua perangkaan mengenai bisnes arak ini dan statistik sumbangannya pada KDNK negara supaya tidak semberono menghalal atau mengharamkan industri itu.

Unit Penyelidikan PAS seharusnya sentiasa peka akan kelengkapan ini. Suatu masa dahulu unit ini cergas berpartisipasi dalam isu semasa kontroversi seperti isu kebarangkalian penggunaan racun arsenik ketika Anwar Ibrahim dalam penjara.

Malah dalam hubungan ini, PAS pernah berada di barisan hadapan dalam inisiatif menguruskan industri arak dengan SOP kerajaan Kelantan PAS di bawah teraju Allahyarham Tok Guru Nik Aziz Nik Mat .

Minum arak adalah haram bagi orang Islam. Itu hukum Allah. Jadi setiap orang Islam wajib menghindari melakukan dosa. Kerajaan wajib ikut syariat Islam menghukum pendosa Islam.

Perihal haram arak adalah perintah Allah. Maka sebagai parti Islam dalam kerajaan Malaysia, tidakkah menjadi tanggungjawab PAS memastikan perintah itu dipatuhi secara total?

Kerajaan yang waras juga wajib menasihati bukan Islam jangan minum dan mabuk di tempat awam. Jika tidak mereka juga akan berdosa mengancam kesihatan dan keselamatan rakyat amnya.

Justeru kerajaan wajib mengawal cara, masa dan tempat serta keadaan apa ‘non-muslim’ boleh minum arak. Itu wajib bagi kerajaan, jika tidak kerajaan turut berdosa menyebabkan berlaku mudarat dalam kalangan rakyat.

Paksi dosa dan bahaya arak alah mabuk dan hilang akal. Pemabuk mengancam keselamatan masyarakat, keluarga dan diri sendiri. Maka yang bertanggungjawab wajib mengawal cara, masa dan tempat konsumsinya jatuh di bahu kerajaan.

Kerajaan wajib wujudkan SOP terang dan tegas demi melaksanakan tanggungjawab ini. Orang Islam patut akur. Rakyat ‘non-muslim’ pun wajib berdisiplin ketika menikmatinya.

Sempadan keistimewaan peminum arak bukan Islam ini termasuklah tidak boleh minum di tempat awam dan mabuk arak ketika memandu. Hukuman sekeras-kerasnya perlu dikenakan bagi pemabuk berkenaan.

Bekerja di kilang arak wajib diharamkan dalam kalangan orang Islam. Pengusaha dan peniaga arak wajib faham dan insaf matlamat peraturan ini. Cara dan tempat jualan dan sebarang promosi mesti tidak menyinggung sensitiviti mana-mana agama atau kaum.

Protokol permohonan lesen membuat dan berniaga arak mesti dikawal oleh kementerian berkenaan secara adil dan menyeluruh.

Kempen penerangan mengenai latar belakang polisi ini harus digerakkan tanpa musim. Jika berlaku apa jenis mudarat atau musibah awam, pemimpin kerajaan dan agensi penguatkuasalah berdosa dan mesti dihukum.

Walaupun menjadi sekutu utama kerajaan Perikatan Nasional terdahulu dan sekarang ini, kepada Ismail Sabri Yaakob, PAS belum menyerlah dalam mengangkat isu seperti SOP arak mahupun isu judi walaupun ia dua perkara asas yang ditegah sama sekali dalam Islam.

Sebaliknya, presiden dan partinya lebih cenderung mengeluarkan kenyataan retorik mengenai kesesuaian nama arak keluaran Malaysia. Presiden kaitkan Timah kepada puteri kesayangan Rasulullah, timbalannya kata tidak.

Mana pergi politik matang dan sejahtera PAS yang dilaung sebelum ini - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.



✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH

🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻‍♀️ Enjoy Surfing!




No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.