Hi! Welcome Back and Stay Tune! Ulasan P50 Pocket – Peranti Lipat Untuk Si Poket Tebal - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Ulasan P50 Pocket – Peranti Lipat Untuk Si Poket Tebal


Huawei P50 Pocket dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 12 Januari sebagai pesaing sebenar kepada Samsung Galaxy Z Flip3 yang mula ditawarkan di Malaysia pada Ogos tahun lalu. Sejak dari awal pelancaran Huawei P50 Pocket di China beberapa minggu yang lalu, ia sering dibandingkan dengan Galaxy Z Flip3. Memandangkan saya yang mengulas Galaxy Z Flip3 untuk Amanz tempoh hari, maka orang yang paling layak mengulas P50 Pocket juga adalah saya.

Peranti mana yang paling layak dibeli sekiranya anda mencari telefon pintar skrin boleh-lipat kompak hari ini? Apakah kelebihan P50 Pocket berbanding Galaxy Z Flip3 dan apakah pula kekurangannya jika ada. Dalam ulasan penuh ini saya akan cuba menjawab kesemua persoalan ini supaya pembaca dapat melakukan pilihan yang paling bijak.

Spesifikasi

Huawei P50 Pocket
Skrin Dalam – 6.9″ OLED, 1188 x 2790 pixel
(442 ppi), 120Hz adaptif

Luar – 1.04″ OLED, 1340 x 340 pixel (328 ppi)
Pemproses Snapdragon 888 4G (5nm)
Cip 1 X 2.84GHz Kryo 680 Prime
3 X 2.42 GHz Kryo 680 Gold
4 X 1.8 GHz Kryo 680 SIlver
Cip Grafik Adreno 660
RAM 8 Gigabyte
Muatan Dalaman 256GB (NM card 256GB)
Kamera Utama 40+13+32 Megapixel.
f/1.8+f/2.2+f/1.8, OIS, HDR, 4K 30p
Kamera Depan 10.7 Megapixel f/2.2, 4K 30p
Bateri 4000 mAh
Pengecasan berwayar 40W
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air Tiada
Sistem Imbasan Cap jari sisi
Harga Jualan RM5999 (8/256GB)
RM7299 (12/512GB)

Skrin

Dengan Skrin 6.9″ OLED, kelebihan berpihak kepada P50 Pocket kerana ia lebih besar berbanding 6.7″ pada Galaxy Z Flip3. Kelebihan lebih besar P50 Pocket ialah skrin pada awalnya langsung tidak mempunyai sebarang kesan lipatan apabila dibuka. Teknologi lipatan Huawei adalah sebaik Oppo Find N yang juga sempat tiba ke makmal Amanz beberapa minggu lalu. Tanpa kesan lipatan, skrin P50 Pocket nampak lebih kemas dan sukar dibezakan dari skrin P50 Pro yang rata.

Sebuah kamera swafoto dalam lubang yang diletakkan simetri di tengah skrin. Ia tidak begitu mengganggu pengalaman menonton video. Terdapat sokongan kadar segar semula 120Hz adaptif tetapi pengguna juga boleh mengubahnya ke 60Hz atau 120Hz sepanjang masa. Dalam kelebihan wujud juga kekurangan. Pertama sekali panel P50 Pocket tidak mempunyai sebarang sokongan HDR secara rasmi. Tetapi jika kandungan HDR dibuka di YouTube, tiada isu untuk memainkannya. Dari segi keterangan dan penghasilan semula warna, saya merasakan tiada perbezaan ketara dengan Galaxy Z Flip3.

Skrin sekunder sebesar 1.04″ OLED pula berbentuk bulat dengan resolusi 340x 340 pixel. Ia boleh digunakan untuk memaparkan notifikasi, kawalan muzik, melihat ramalan cuaca dan memudahkan pengambilan swafoto. Ciri yang diperkenalkan oleh Motorola RAZR ini menarik tetapi harus saya katakan skrin ini terlalu kecil untuk menjadikannya praktikal.

Notifikasi hanya boleh dibaca tetapi tidak boleh dibalas dari skrin ini seperti pada RAZR. Huawei ingin mengekalkan rekaan dwi-bulatan seperti P50 Pro maka skrin empat segi lebih besar tidak boleh digunakan. Kualiti panel skrin sekunder ini pula saya rasakan kurang baik jika dibandingkan dengan skrin utama. Sekilas pandang nampak seperti skrin jam tangan pintar yang sedikit sebanyak mengurangkan tahap premium P50 Pocket.

Nisbah skrin ialah 21:9 yang membawakan beberapa kebaikan dan kekurangan yang tersendiri. Kelebihan ialah apabila menonton filem-filem moden, keseluruhan skrin digunakan yang memberikan pengalaman menonton yang lebih sinematik.

Kekurangannya pula ialah skrin terlalu tinggi sehingga sukar menggunakannya dengan sebelah tangan. Jika kandungan ditonton menggunakan nisbah 16:9, terdapat palang hitam di kiri dan kanan video. Tetapi saya perlu adil kerana ini ialah isu yang turut dialami pada Galaxy Z Flip3 dan Galaxy Z Fold3.

Kekurangan yang lebih serius ialah pada awalnya tiada kesan lipatan yang ketara dapat dilihat. Namun selepas hanya tiga hari dipakai, tiga kesan lipatan mula kelihatan sehingga lebih ketara berbanding pada Galaxy Z Flip3. Setahu saya Huawei juga tidak menggunakan teknologi UTG untuk memastikan ketahanan jangka panjang skrin. Merisaukan dalam masa kurang seminggu kesan lipatan boleh muncul dan lebih ketara berbanding Galaxy Z Flip3 yang telah digunakan Ogos 2021.

Rekaan

Rekaan tubuh juga berkongsi banyak elemen dengan Galaxy Z Flip 3 cuma lebih nipis dalam kedudukan terlipat. P50 Pocket melipat sepenuhnya tanpa ruang kosong yang ketara berhampiran engsel. Dengan tiadanya ruang rompong seperti Galaxy Z Flip 3, pemilik tidak perlu risau objek memasuki diantara lipat skrin dan mengakibatkan kerosakan.

Bingkai logam berkilat memastikan peranti kelihatan kukuh di dalam tangan. Panel belakang walau bagaimanapun diperbuat daripada bahan plastik yang terasa rompong. Seperti isu saya dengan skrin sekunder, penggunaan panel plastik ini membuatkan P50 Pocket tidak terasa premium dalam tangan. Maka tidak mengejutkan P50 Pocket Premium Edition dengan tubuh logam ditawarkan pada harga lebih tinggi.

Pada sisi kanan terdapat butang laras audio dan kuasa dengan pengimbas cap jari terbina. Kedua-dua butang mempunyai binaan yang kukuh dan sedap apabila ditekan. Di bahagian bawah terdapat bicu port pengecasan USB-C dan kekisi audio. Apabila dipadankan dengan speaker pada gagang telinga menyokong sistem audio stereo. Sebuah talam untuk dwi-SIM nano dan NM Card diletakkan pula pada sisi kanan peranti.

Satu ciri P50 Pro yang tidak dibawa ke P50 Pocket ialah pemancar infra merah. Ia bukanlah ciri yang perlu tetapi masih digunakan tetapi diancam kepupusan seperti bicu audio 3.5 mm.

Apabila dibuka sepenuhnya peranti terasa cukup kukuh. Engsel yang digunakan mampu mengekalkan struktur tubuh dari terlipat secara tidak sengaja. Di dalam tangan, P50 Pocket terasa sama sahaja dengan peranti candbybar.

Yang mengecewakan ialah P50 Pocket tidak mempunyai sebarang piawaian kalis air rasmi seperti Galaxy Z Flip3. Engselnya juga mengeluarkan bunyi yang sedikit aneh ketika digunakan. Ia turut tidak boleh dikekalkan pada sudut 90 darjah seakan Flex Mode Z Flip3. Jika dicuba juga peranti akan melipat dengan sendirinya. Malahan sokongan perisian seakan Flex Mode juga tidak disertakan oleh Huawei melainkan pada aplikasi kamera.

Ini adalah satu lagi kesilapan Huawei kerana Flex Mode pada Galaxy Z Flip3 dan Fold3 menambah ciri unik yang boleh dilakukan oleh pemilik seperti untuk mengambil swafoto dan menyertai sesi telesidang tanpa menggunakan pemegang khas.

Antaramuka Dan Pengalaman Penggunaan

Huawei P50 Pocket masih menggunakan EMUI 12.0.1 pada peranti yang saya ulas tidak seperti P50 Pro. Ketika artikel ditulis saya tidak tahu sama ada HarmonyOS 2.0 akan diberikan. Kemungkinan besar ya kerana strategi Huawei ialah menggunakan HarmonyOS sepenuhnya dalam masa terdekat. Tetapi izinkan saya berkata bahawa sebenarnya tiada perbezaan yang banyak antara EMUI dan HarmonyOS kecuali pada sokongan widget dan ikon yang lebih baik. Video ciri menarik HarmonyOS 2.0 ada Amanz terbitkan di laman YouTube rasmi sebelum ini.

Talam tetapan pantas misalnya lebih mirip iOS 15 dengan kotak besar khusus untuk mengawal media, aksesori bluetooth dan juga WiFi. Kemudian jubin-jubin pintasan pantas lain seperti mod kapal terbang boleh ditambah sekiranya diinginkan oleh pemilik peranti. Apabila ditatal dari bucu atas kiri ke bawah, notifikasi boleh dilihat secara setempat. Tatalan dari bucu atas kanan ke bawah pula kan membuka talam pintasan pantas seakan Control Center pada iOS. Dengan kata lain EMUI (dan HarmonyOS) menggabungkan ciri iOS dan Android dalam satu sistem operasi baharu.

EMUI adalah antara pelancar yang menawarkan pengalaman yang baik walaupun selepas digunakan untuk tempoh yang lama berdasarkan pengalaman saya menggunakan P30 Pro sehingga sekarang. Pada P50 Pocket yang masih bau kedai ini ia berfungsi dengan amat lancar sekali dibantu oleh skrin 120Hz. Pengalaman penggunaan langsung tiada bezanya dengan P50 Pro kecuali skrin peranti ini boleh melipat di tengah-tengah.

Huawei Mobile Services semakin matang dengan aplikasi bertambah berbanding dua tahun lalu. Aplikasi penting di Malaysia seperti MySejahtera, Maybank, CIMB Clicks, Astro GO dan Grab. Masih wujud kerompongan seperti Foodpanda di mana pautan ke versi web diberikan apabila carian dilakukan menerusi App Gallery. Jika tiada aplikasi ditawarkan, Petal Search akan memberikan pautan muat turun dari APKMirror. Bukan penyelesaian yang terbaik tetapi sekurang-kurangnya lebih baik berbanding melalukan sideloading manual. Kesemua aplikasi yang dimuat turun menggunakan Petal Search perlu menjalani proses kemas kini manual. Ini satu kekurangan sejak Huawei dihalang dari menggunakan GMS.

Aplikasi seperti Netflix, Prime Video, dan YouTube boleh digunakan tetapi dengan beberapa isu. Pertama sekali Netflix masih terhad kepada SD dan tiada HDR. YouTube pula adalah dalam bentuk YouTube Vanced yang tidak rasmi. Malang sekali sokongan GMS juga masih diperlukan oleh beberapa aplikasi popular seperti Disney+ Hotstar. Tanpa GMS aplikasi langsung tidak boleh digunakan. Jika anda menggunakan Gmail, berita baiknya ialah ia masih boleh diakses menggunakan aplikasi Mail yang terbina. Jadi sebelum anda membeli saya rasakan anda perlu tahu dengan lebih jelas mengenai situasi perisian Huawei pada awal 2022.

Penanda Aras

Cip Snapdragon 888 4G digunakan. Kami agak musykil mengenai perbezaan cip ini dengan Snapdragon 888 5G. Dalam ujian Geekbench 5 ia mencatatkan 885/2746 markah dan dalam ujian Antutu 3D pula mencatatkan 535,767 markah. Prestasi Snapdragon 888 4G pada P50 Pocket adalah lebih rendah berbanding Snapdragon 888 5G yang digunakan pada Galaxy Z Flip3 yang kami senaraikan di bawah.

  • Snapdragon 888 5G – Geekbench 5 (816/3256) dan Antutu 3D (678,600)
  • Apple A15 Bionic – Geekbench 5 (1716/4678) dan Antutu 3D (789,647)
  • Kirin 9000 – Geekbench 5 (785/3174) dan Antutu 3D (683,878)
  • Exynos 2100 – Geekbench 5 (709/2474) dan Antutu 3D (719864)

Mengapa markah yang dicatatkan lebih rendah adalah misteri kerana ia adalah cip yang sama cuma tanpa perkakasan 5G terbina. Mungkinkah kerana Snapdragon 888 mempunyai masalah pemanasan dan mengurangkan kuasa akan mengelakkan berlaku kerosakan komponen? Ini sekadar telahan saya sahaja.

Prestasi menjalankan aplikasi dan permua tiada bezanya dengan Z Flip3. Anda boleh memainkan permua pada nisbah ultra-lebar yang sedikit aneh. Peranti akan menjadi sedikit hangat selepas sesi permua dan mengambil gambar yang panjang. Tidak memanas sehingga tangan terasa terbakar tetapi boleh menyebabkan ketidakselesaan. Semua permua yang kami cuba seperti COD Mobile, PUBG Mobile dan Genshin Impact boleh dimainkan pada tetapan tinggi tanpa sebarang isu.

Kamera

Tri-kamera 40+13+32 MP digunakan yang menjadikannya peranti skrin boleh-lipat kompak dengan kamera utama terbaik di pasaran. Saiz sensornya lebih besar berbanding 12+12 MP pada Galaxy Z Flip3. Saiz kamera foto juga lebih besar 10.7MP berbanding 10MP pada Galaxy Z Flip3.

Huawei menyertakan lensa sudut lebar, ultra sudut lebar dan ultra spectrum. Tiada lensa Leica disertakan kali dan ini ialah perbezaan paling ketara antara P50 Pocket dan P50 Pro. Peranti juga tidak dilengkapi sistem telefoto periskop yang menjadi ciri menarik peranti mercu Huawei sejak P30. Ini cuba diubati dengan penggunaan sensor ultra spectrum yang digunakan untuk mengambil gambar dengan kesan pendarfluor dalam situasi gelap.

Kualiti gambar yang diambil dapat anda lihat sendiri di bawah. Pada hemat saya P50 Pocket ialah peranti skrin boleh-lipat dengan kemampuan kamera terbaik setakat ini. Dengan mudah mengalahkan Galaxy Z Flip3 dan Galaxy Z Fold3. Warna dalam semua gambar hidup dan terang benderang. Mungkin sedikit kekuningan dari situasi sebenar tetapi tidak menyakitkan mata. Mod potret juga cantik dengan bokeh yang tepat membezakan subjek dan latar belakang. Mod malamnya pula masih lagi terbaik di dalam kelasnya kerana hampir setanding yang dapat saya lihat pada P50 Pro.

Kemampuan kamera swafoto hanya sekadar sederhana dengan warna yang kurang menyerlah. Lihat imej di sebelah kanan di bawah. Bandingkan dengan imej swafoto menggunakan kamera utama di sebelah kiri. Dapat dilihat perbezaan warna dan ketajaman imej. Jadi saya sarankan gambar swafoto diambil menggunakan kamera utama dengan bantuan skrin sekunder di bahagian luar.

Mod pendarfluor adalah menarik sekiranya terdapat bahan yang reaktif dengan cahaya ultra ungu. Tetapi saya rasakan ia sekadar gimik yang tiada kegunaan praktikal di dunia sebenar serta imejnya langsung tidak tajam dan kabur. Langsung tidak mencapai standard fotografi yang sering kita kaitkan dengan peranti mercu Huawei.

Audio

Speaker stereo menawarkan audio yang sekadar sederhana sahaja. Tiada sokongan talaan dari Harman Kardon atau sokongan Dolby Atmos oleh itu bunyi yang dihasilkan speaker adalah mendatar. Dengan satu speaker dihala ke depan dan satu lagi ke sisi, bunyi juga tidak seimbang. Apabila ditambat kepada TWS pula, audio juga kekal rata dan kurang bermaya. Kemampuan audio memang bukan kekuatan peranti keluaran Huawei.

Bateri

Bateri 4000 mAh yang digunakan adalah bersaiz besar bagi sebuah peranti skrin boleh-lipat kerana 700 mAh lebih besar berbanding bateri Galaxy Z Flip3. Secara purata peranti dapat menikmati SOT sehingga 8 jam dengan ketahanan terbaik pula sehingga 19 jam. Ini adalah penggunaan yang tidak menakjubkan bagi sebuah telefon pintar tetapi adalah masih terbaik bagi sebuah telefon pintar skrin-boleh lipat. Bateri masih lagi terbaik di dalam kelasnya dan jika habis sekalipun proses mengecas semula mengambil masa sekitar sejam sahaja kerana menyokong pengecasan SuperCharge 40W. Hanya pengecasan berwayar sahaja digunakan. Tiada sokongan pengecasan Qi atau berbalik.

Pesaing

Huawei P50 Pocket Samsung Galaxy Z Flip3 Apple iPhone 13
Dalam – 6.9″ OLED, 120Hz (442 ppi)
Luar – 1.09″ OLED, 60Hz
Dalam – 6.7″ OLED, 120Hz (426 ppi), HDR10+
Luar – 1.9″ OLED, 60Hz
6.1″ Super Retina XDR OLED, 120Hz (460 ppi), Dolby Vision
Snapdragon 888 4G (5nm)
1 X 2.84 GHz Kryo 680
3 X 2.42 GHz Kryo 680
4 X 1.8 GHz Kryo 680
Snapdragon 888 (5nm)
1 X 2.84 GHz Kryo 680
3 X 2.42 GHz Kryo 680
4 X 1.8 GHz Kryo 680
Apple 15 Bionic (5nm)
2 X 3.2 GHz Avalanche
4 X ? GHz Blizzard
Adreno 660 Adreno 660 Apple GPU
8 GB 8 GB 4 GB
256 GB
(NMCard 256GB)
128/256/512/1000 GB nVMe 128/256/512 GB
Kamera Utama 40+13+32 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/1.8+f),OIS Kamera Utama 12+12 Megapixel (f/1.8+f/2.2), OIS Kamera Utama 12+12 Megapixel (f/1.6+f/2.4), OIS
Kamera Hadapan
10.7-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
10-Megapixel f/2.4
Kamera Hadapan
12-Megapixel f/2.2
Tidak kalis air IPX8 IP68
Tiada bicu audio 3.5mm Tiada bicu audio 3.5mm Tiada bicu audio 3.5mm
Audio Stereo Audio Stereo Audio Stereo
4000 mAh (Berwayar 40W) 3300 mAh (Berwayar 15W,Nirwayar 10W)) 3250 mAh (Berwayar 40W, Nirwayar 15W)
Bermula RM5999 Bermula RM3999 Bermula RM3899

Kesimpulan

Huawei P50 Pocket dan Samsung Galaxy Z Flip3 ialah dua peranti mercu dengan rekaan skrin boleh-lipat kompak di Malaysia. Oleh itu ramai pasti bertanya soalan paling ketara iaitu yang mana lebih layak dibeli? Dari segi skrin saya merasakan Galaxy Z Flip3 mempunyai kelebihan kerana secara rasmi menyokong HDR pada kesemua aplikasi penstriman yang saya uji. Tetapi kelebihan paling ketara ialah lapisan UTG Samsung lebih tahan lasak sedangkan skrin P50 Pocket sudah melihatkan kesan tri-lipatan yang ketara selepas digunakan selema beberapa hari sahaja.

Prestasi pemproses juga menyebelahi Samsung dalam ujian penanda aras yang dilakukan tetapi dalam penggunaan dunia sebenar, P50 Pocket dan Galaxy Z Flip3 adalah peranti yang berdiri sama tinggi melipat sama padat. Satu lagi kekurangan ialah tiadanya sokongan 5G dan GMS yang saya percaya masih diperlukan majoriti pengguna di Malaysia. Peranti juga tidak mempunyai sebarang piawaian kalis air.

Namun begitu P50 Pocket mempunyai kemampuan kamera yang jauh lebih baik berbanding Galaxy Z Flip3 dan Galaxy Z Fold3. Hampir setaraf dengan peranti candybar biasa. Warnanya hidup, imejnya terang, julat dinamik cemerlang dan mod malang yang terbaik pada peranti skrin boleh-lipat setakat ini. Walaupun tiada penjenamaan Leica, kualiti gambar tetap mantap. Ketahanan bateri juga amat baik sekali dengan pengecas pantas 40W diberikan dengan setiap pembelian.

Yang mana satu lebih berbaloi? Ini persoalan yang hanya bakal pembeli jawab kerana kedua-dua peranti yang berentap ini mempunyai kelebihan serta kekurangan sendiri. Yang mana lebih penting hanya anda sahaja boleh menentukannya. Pada harga jualan bermula RM5999 untuk edisi biasa RM7299 untuk Premium Edition, jelas sekali Huawei P50 Pocket ialah peranti untuk mereka yang berpoket tebal sahaja. Bagi yang berminat pratempahan Huawei P50 Pocket boleh dilakukan di Malaysia hari ini 22 Januari dan jualan terbuka bermula 14 Februari kelak.

Pro

  • Skrin akhir 120Hz adaptif.
  • Pemproses kelas mercu berkuasa.
  • Berfungsi dengan lancar dan baik.
  • Isu tiada aplikasi diselesaikan dengan Petal Search.
  • Kemampuan fotografi terbaik pada peranti skrin boleh-lipat
  • Sistem pengecasan yang pantas.

Kontra

  • Tidak kalis air.
  • Skrin mula melekuk selepas digunakan beberapa hari.
  • Tiada sokongan HDR dan resolusi HD Penuh pada Netflix.
  • Pengalaman audio kurang memuaskan.
  • Petal Search masih tidak mampu menawarkan kelancaran kemas kini seperti GMS.


✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz

🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻‍♀️ Enjoy Surfing!



No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.