Hi! Welcome Back and Stay Tune! Skrin 146-inci Samsung The Wall Seakan Panggung GSC Di Rumah Sendiri - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Skrin 146-inci Samsung The Wall Seakan Panggung GSC Di Rumah Sendiri


Dua perkara utama aku pelajari sepanjang pandemik terperangkap di rumah sepanjang PKP ialah mempunyai kerusi yang bagus untuk bekerja adalah penting untuk keselesaan masa panjang. Perkara kedua yang dipelajari pula ialah TV sebesar 55″ yang digunakan selama ini tidak lagi memenuhi keperluan peribadi untuk menonton filem di rumah.

Adalah agak aneh mengatakan skrin 55″ tidak lagi memadai kerana aku membesar dalam rumah dengan TV Sony Trinitron sebesar 21″ selama berdekad lamanya. Ini kerana keperluan semasa membesar menonton Space Cop Gavan, Kesatria Baja Hitam dan G.I Joe selepas balik sekolah agama berbeza dengan keperluan semasa dimana menstrim filem ialah pilihan lebih murah berbanding menontonnya di panggung wayang.

Antara perkara pertama yang aku lakukan apabila kelonggaran PKP diberikan ialah menaiktaraf TV ke skrin 65″ supaya bukan sahaja menonton filem lebih terasa nikmatnya tetapi resolusi 4K PlayStation 5 boleh dimanfaatkan sepenuhnya.

Tetapi wujud segelintir pengguna yang merasakan 65″ bahkan 100″ sekalipun tidak memuaskan keperluan untuk mempunyai panggung seakan Tanjung Golden Village (TGV) atau Golden Screen Cinema (GSC) di rumah mereka. Bagi golongan 1% ini, Samsung The Wall telah mula ditawarkan di Malaysia sejak pertengahan September 2022.

Apakah Dia Samsung The Wall?

The Wall mula ditawarkan kepada pengguna industri dan komersial sejak 2018. Ia dipasarkan untuk digunakan di pusat pameran, pejabat, dan tujuan pengiklanan. Yang menjadi The Wall berbeza dengan penawaran TV dan skrin kegunaan komersial Samsung ialah ia modular. Pelanggan boleh mengkustomasi saiz, dan nisbah skrin mengikut keperluan ruang. Bongkah modular The Wall kemudian dipasang seperti permainan Lego dalam apa juga saiz serta bentuk.

Tetapi dengan skrin OLED gergasi, Samsung mula menerima pertanyaan dari pelanggan sama ada The Wall boleh dibeli untuk kegunaan di rumah. Oleh sebab inilah The Wall IWB dan The Wall IAB dilancarkan Samsung tahun ini dengan beberapa penambahbaikan dilakukan selepas menerima input dari pelanggan mereka.

Aku diberikan peluang mencuba sendiri The Wall IWB dengan skrin 146″? di Bangkok bulan lalu dan apa yang aku boleh katakan ialah ia merealisasikan impian mereka yang ingin mempunyai panggung wayang skrin Micro LED peribadi di rumah sendiri.

TV ke Papan Iklan?

Ini soalan yang aku sempat tanyakan kepada wakil Samsung di Bangkok. Adakah The Wall ini sebuah TV atau papan iklan untuk kegunaan komersial? Jawapannya ialah ia dua dalam satu. Walaupun pada asalnya memang dibangunkan untuk kegunaan komersial (ini sebab mengapa anda tidak boleh membeli The Wall dari stor atas talian Samsung atau Seng Heng), mereka menawarkan The Wall kepada pelanggan yang merupakan “individu dengan nilai peribadi tinggi”. Dalam beberapa kes pelanggan yang menggunakan The Wall untuk kegunaan komersial kemudian membelinya untuk digunakan di rumah.

Apa yang disedari oleh Samsung ialah TV pintar di pasaran sekarang mempunyai had saiz kerana.

  • Tidak mudah dibawa ke destinasi kerana saiz yang terlalu besar.
  • Sukar dibawa masuk ke dalam rumah sekali lagi kerana saiz yang besar.
  • Had saiz kerana lif di kebanyakan bangunan hanya cukup besar untuk TV sehingga 86″ sahaja.

The Wall tidak mempunyai masalah ini kerana seperti yang kami katakan di atas ia adalah panel modular. Sebagai contoh The Wall IAB yang boleh mencapai saiz 146″ terdiri daripada empat panel modular memanjang. Ia boleh dibawa ke destinasi pemasangan di dalam sebuah van dan bukannya lori 2 tan. Risiko panel pecah juga berkurangan. Empat panel modular lebih kecil tidak mudah dilentur atau memerlukan kotak gergasi untuk diangkat. Apabila disambung, garisan sambungan antara panel tidak ketara dilihat dengan mata kasar. Aku hanya menyedari garisan putih samar antara sambungan apabila berada sekitar 5 inci dari skrin.

The Wall IAB dan The Wall IWB juga kini mempunyai sistem pemproses serta audio terbina tidak seperti The Wall generasi pertama. Selepas disangkut ke dinding (tiada tapak boleh menampung besar The Wall pada waktu ini) ia beroperasi sama seperti kesemua televisyen Samsung Tizen di pasaran sekarang.

Tizen OS

Sistem operasi Tizen OS digunakan pada semua The Wall. Ini bermakna pengalaman penggunaannya sama sahaja dengan televisyen pintar Samsung lain di pasaran sekarang. Pelbagai aplikasi utama seperti YouTube, Netflix dan Prime Video boleh dimuat turun bersama sokongan Apple AirPlay 2 serta Samsung DeX.

Ciri tambahan lain ialah Ambient Mode yang wujud pada televisyen The Frame yang mengubah skrin menjadi seakan lukisan dinding apabila tidak digunakan. Televisyen dikawal dengan alat kawalan standard sekali sama seperti televisyen pintar dan monitor pintar keluaran Samsung. Tetapan TV juga sama dengan pengguna boleh mengubah mod gambar, paparan HDR, sambungan aksesori, talaan audio, talaan visual dan banyak lagi.

Panggung Wayang Di Rumah?

Skrin Micro LED 146″ yang kami uji menyokong resolusi 4K 120Hz dan juga paparan HDR10+ dengan keterangan puncak 1400 nits. Format Dolby Vision masih tidak disokong oleh Samsung kerana mereka ingin mempopularkan format sumber terbuka HDR10+ yang merupakan usaha sama mereka dengan Amazon. Terdapat cip pemprosesan Micro AI pada setiap unit untuk memastikan kandungan bukan natif 4K masih dapat dipaparkan dengan baik. Pemprosesan warna pula adalah sehingga 20-bit untuk mengelakkan isu color banding yang kerap dilihat pada panel TV lebih murah.

Menonton filem Spider Man Far Away From Home pada The Wall ialah pengalaman yang cukup mengasyikkan. Ia mungkin tidak sebesar skrin IMAX atau panggung wayang sebenar tetapi masih lagi imersif. Bilik tayangan yang digunakan adalah sekitar dua kali ganda saiz ruang menonton TV biasa di Malaysia. Pergerakan pantas Spider Man kelihatan jelas dan aksi dapat ditonton tanpa isu ghosting yang ketara.

Seterusnya saya menguji pula filem Pacific Rim yang sekadar HD sahaja di Netflix. Dengan saiz skrin 146″, saya pada awalnya ragu filem ini boleh ditonton tanpa ada isu noise yang ketara dan visual pecah. Tetapi tanggapan ini meleset kerana filem masih kelihatan mantap di skrin. Visual masih tidak sebaik 4K natif kerana cip yang melakukan upscaling terbaik di dunia sekalipun belum mampu memberikan imej yang sebaik resolusi 4K sebenar.

Filem ini mempunyai banyak babak neon di waktu malam dengan Kaiju menentang robot Jaeger. Bahagian neon terang membakar retina dan bahagian gelap pula hitam legap tanpa sebarang isu light bleeding yang saya alami pada TV LED di rumah.

Ujian akhir ialah menonton video Amanz menggunakan YouTube. Adakah kandungan semi-profesional bukan tahap studio Hollywood juga akan kelihatan cantik pada skrin ini? Jawapannya ialah ya kerana video kami memang diterbitkan dalam resolusi 4K. Kandungan YouTube klasik dengan resolusi SD walau bagaimanapun tidak semua bernasib baik.

Ada had sejauh mana kecerdasan buatan Samsung boleh meningkatkan kualiti video yang ditonton. Kandungan dengan kualiti VCD masih kelihatan pecah dengan warna yang tidak menyerlah. Kandungan 1080P secara majoritinya tidak menyakitkan mata pada skrin gergasi ini asalkan anda duduk sekitar 8-10 kaki dari skrin.

Dengan The Wall, impian mempunyai panggung wayang peribadi di rumah boleh menjadi realiti. Berita buruk bag aku ialah selepas sudah mencuba The Wall, TV lain yang tidak menggunakan panel Micro LED gergasi terasa kecil. Tetapi berita baiknya pula ialah Samsung tidak memberitahu berapakah harga jualan The Wall di Malaysia. Biasanya apabila ini berlaku ia jatuh ke dalam kategori “kalau perlu tanya harga maknanya anda tak mampu”.

Jika anda adalah pembaca yang jatuh dalam kelompok individu dengan nilai peribadi tinggi” dan ingin membeli The Wall. Anda boleh menghubungi Samsung Business Display Malaysia untuk mendapatkan kuotasi harga secara peribadi. Kemudian selepas The Wall usai dipasang jangan lupa menjemput aku datang ke rumah untuk menikmati keindahan skrin TV gergasi sekali lagi kerana ia adalah pengalaman yang jarang sekali berlaku walaupun aku bergelumang dalam dunia teknologi.



✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz

🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻‍♀️ Enjoy Surfing!



No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.