Hi! Welcome Back and Stay Tune! 8 Makanan Unik Orang Sarawak - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

8 Makanan Unik Orang Sarawak

  
RUGI rasanya bagi yang bercuti di Sarawak tanpa ‘bertandang’ ke tamu yang menjadi destinasi kebanggaan masyarakat tempatan.
Di tamu, anda berpeluang melihat sendiri pelbagai rupa dan bentuk makanan istimewa yang menjadi sajian ruji atau santapan kegemaran bagi segenap masyarakat di Bumi Kenyalang sejak dahulu kala.
Selain dabai, ulat sagu, durian hutan dan sayur midin yang telah mendapat liputan luas media, terdapat lapan jenis lagi makanan Sarawak yang harus anda kenali.

1) Buah Engkala


Berasal daripada keluarga yang sama dengan avokado ini, buah engkala atau tebulus ini cukup sinonim dengan kehidupan masyarakat tempatan di Bumi Kenyalang.
Buah engkala muda berwarna hijau pudar manakala buah yang telah masak pula bertukar menjadi merah jambu.
Salah satu cara penyediaan popular buah engkala adalah dengan merendamnya sehingga sedikit lembut selama 7 hingga 10 minit. Isinya yang lemak manis seperti krim mentega sedap dicicah kicap atau sedikit garam.

2) Buah Ucung
Buah ucung adalah gelarannya dalam bahasa Iban.
Namun, buah liar yang hanya muncul semusim dengan buah rambai ini juga terkenal dengan pelbagai gelaran lain termasuk tampoi belimbing, belimbing api atau belimbing merah.
Hanya boleh ditemui di Sabah dan Sarawak, isi buah dengan nama saintifik ‘Baccaurea angulata’ ini seakan-akan buah tampoi. Manis, sedikit masam dan enak dimakan apabila disejuk beku.


 
3) Kacangma
Bagi masyarakat Cina (Hakka) Sarawak, daun herba Motherwort yang telah dikeringkan ini merupakan bahan utama dalam masakan ayam kacangma.
Mengikut resipi tradisional sajian unik orang Sarawak ini, selain herba kacangma, arak beras (air tapai/tuak) dan halia adalah dua bahan penting dalam masakan ini bagi memanfaatkan golongan ibu yang baru lepas bersalin.
Kini, hidangan ayam kacangma versi tanpa arak juga menjadi kesukaan masyarakat bumiputera di Sarawak dan boleh dinikmati oleh seisi keluarga.


4) Tepung Mulong
Jika ke Sarawak, jangan terlepas peluang untuk merasai sendiri makanan tradisional masyarakat Melanau ini; iaitu linut atau ambuyat.
Campuran air panas dan tepung mulong adalah rahsia di sebalik pembentukan ambuyat yang berwarna jernih keputihan dan bertekstur seperti gam.
Perlu ‘disepit’ menggunakan penyepit buluh, makanan ruji terkemuka orang Melanau ini sedikit melekit dan tawar.
Biasa dijamah ketika panas, rasa ambuyat akan lebih terserlah dinikmati bersama sambal belacan pedas, ikan bilis atau makanan sampingan lain seperti terung Iban atau sayur paku.


5) Buah Pedada
Berbentuk kubah atau gasing, buah pedada yang masam dan sedikit kelat ini enak disantap sebagai ulam bersama belacan.
Sesetengah masyarakat bumiputera Sarawak juga menggunakan buah yang biasanya tumbuh liar di tepi-tepi sungai ini bagi melengkapkan pembuatan sambal.


6) Daun Sabung
Sebagai antara sayur kegemaran masyarakat Iban, daun sabung adalah sayur hutan yang mudah ditemui di pasar tamu di serata Sarawak.
Diperoleh daripada pokok sabung yang biasanya tumbuh liar di tapak penanaman pokok getah tua atau hutan berbukit-bukit, daun sabung muda enak digoreng bersama tumisan sambal belacan atau dimasak gulai.
Namun, masyarakat Iban lebih gemar menikmatinya dalam bentuk sup bersama campuran ikan bilis atau ikan sungai lain.



7) Umbut Palah
Makanan kegemaran orang Ulu, Iban dan Melayu Sarawak ini sering menjadi sajian kesukaan orang tua-tua berikutan rasanya yang sedikit pahit serta kelat.
Umbut palah mudah diperoleh daripada pokok nipah yang tumbuh meliar di kawasan berpaya di Bakong.
Tekstur yang lembut paling sesuai dimasak dengan didihan air bersama tumisan bawang, belacan dan ikan bilis.



8) Ikan Lumek Salai
Tidak hairan jika ada yang terliur apabila ternampak masakan ikan lumek salai dengan sambal tumis bercili api.
Enak diratah begitu saja dan dinikmati bersama sagu, ikan lumek salai ini turut dikenali sebagai ikan senglong dalam kalangan masyarakat Melanau.
Sebagai salah satu produk hasil lauk terkemuka orang Melanau, ikan lumek segar lebih enak dimasak sup, distim atau digoreng tepung.
Menariknya, ikan yang berahang besar, bergigi tajam dan berwajah ‘alien’ ini juga memiliki tulang selembut ikan sardin dalam tin.

Sumber : therakyatpost.com


 
   




 


No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.