Mufti: Fitnah semasa kempen seret penyokong tanggung dosa bersama
KUALA KANGSAR, 9 Jun — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata pemimpin politik yang suka mencerca peribadi dan maruah pemimpin lawan serta melemparkan pelbagai fitnah, juga akan menyeret penyokongnya untuk sama-sama menanggung dosa.
Harussani berkata tindakan sedemikian mungkin menyebabkan penyokong mereka terpengaruh yang kemudiannya menyebarkan fitnah itu pula kepada orang lain.
"Tak perlu kutuk, dapat dosa, sepatutnya matanglah dalam politik, jelaskan apa yang akan kita buat jika kita menang pilihan raya," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan pemimpin tertentu yang menggunakan platform ceramah politik di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dengan melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas kepada pemimpin lain.
Pada Selasa, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bertaubat apabila menggunakan nama 'Allah' dalam membuat pelbagai dakwaan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).
Timbalan Perdana Menteri ketika berucap pada Program Penerapan Nilai-nilai Murni di Masjid Al-Ansar, Kampung Senggang, dekat sini pada Majlis Khairiah turut meminta semua parti politik yang bertanding pada PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar berkempen secara berhemah dan menghormati kemuliaan bulan Ramadan.
Zahid berkata Ramadan merupakan bulan mulia umat Islam dan semua pihak tidak seharus mencemarinya dengan pelbagai dakwaan tidak berasas dan berbaur fitnah.
"Kembali kepada adab, tertib, walaupun kita berbeza pendapat...berpolitiklah dengan hati yang bersih," kata Ahmad Zahid.
Mohammad Nizar yang dipetik dalam media sosial yang berkata "Allah mahu orang Kuala Kangsar 'mengajar' (memberikan kekalahan kepada) BN menerusi PRK Kuala Kangsar".
Isnin lepas, sewaktu berucap pada sesi ceramah di Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar, Mohammad Nizar berkata dirinya tertanya-tanya mengapa daripada 222 kerusi Parlimen di negara ini, Allah memilih supaya pilihan raya kecil diadakan di Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar.
"Bila saya fikir-fikir dengan mendalam, di sinilah buminya semasa saya diberikan amanah untuk menjadi menteri besar Perak, daripada Mac 2008 hingga Februari 2009," katanya dipetik berkata menerusi laporan sebuah portal berita.
Beliau seterusnya mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya kini Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah "merampas" kerajaan Pakatan pimpinannya.
Sementara itu Penasihat Eksekutif Ilmuan Malaysia (iLMU) yang juga Exco Pemuda UMNO Datuk Dr Fathul Bari Mat Jaya berkata bulan Ramadan sepatutnya digunakan sebaik mungkin untuk mendapatkan pahala yang berganda.
"Sebagaimana yang telah diisyaratkan oleh seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang bernama Jabir bin Abdullah r.a., "Apabila engkau berpuasa hendaklah telinga kamu ikut berpuasa, lisan kamu ikut berpuasa, dan mata kamu ikut berpuasa," katanya.
PRK Parlimen Kuala Kangsar akan diadakan pada 18 Jun ini berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.
Ia bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara BN, PAS, Amanah dan Bebas pada pengundian PRK itu pada 18 Jun ini. — Bernama
from Malay Mail Online | All http://ift.tt/1ZzLDzD
Post a Comment