Hi! Welcome Back and Stay Tune! Ini Kisah Benar, Kalau Berani Dail Nombor 12 Digit Itu! - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Ini Kisah Benar, Kalau Berani Dail Nombor 12 Digit Itu!

Ini kisah benar. Bukan cerita yang direka. Ya, benar yang sebenar-benarnya. Kisah ini berlaku semasa aku berusia 16 tahun.

Seram
Gambar hiasan.

Ketika itu aku tinggal di Alor Setar, Kedah. Aku ada kawan baik, sama baya. Seorang dipanggil Ijo dan seorang lagi Mad.

Member aku yang nama Mad ni memang tak boleh blah. Jenis kepala masuk air dan lurus bendul orangnya.

Suatu malam, Mad ajak kami melepak di Taman Rimba. Orang sekitar Alor Setar mesti tau taman tu. Waktu petang, ramai orang beriadah di situ.

Ketika Mad ajak ke situ, jam pukul 12 malam. Saja Mad ajak melepak untuk skodeng pasangan yang asyik bercanda ria di taman itu.

Kebetulan malam itu bosan, tak ada apa yang dibuat. Jadi, aku dengan Ijo setuju dengan idea Mad. Lagipun, Mad ada kereta dan tahu memandu. Kami berdua cuma ikut saja.

Sampai ditaman, Mad memandu sambil berlegar-legar di kawasan taman itu. Puas kami mengintai tapi hampa. Tak ada satu pun pasangan yang boleh diskodeng tengah malam itu.

Kemudian, Mad berhentikan kereta. Kami keluar dan berdiri ditepi sebatang tiang tak jauh dari kereta sambil hisap rokok (jangan tiru perangai buruk ini tau).

Sambil menghembus asap berkepul-kepul tu, Ijo terpandang satu tulisan pada tiang itu.

"Malam ni confirm ada awek datang. Korang tengok kat tiang ni, apa dia tulis?

"Awek kegersangan sila hubungi 011-456******," kata Ijo sambil membaca tulisan pada tiang tu.

Masa Ijo baca nombor tu, aku pun pandang sekali nombor kat tiang tu. Aku hairan kejap, kenapa nombor yang ditulis dengan cat merah tu panjang sangat?

Ada 12 digit nombor. Kalau nombor biasa, tidaklah sepanjang itu.

Aku terfikir seorang diri. Rajin betul awek tu tulis nombor berwarna merah di tiang tu.

Tiba-tiba, Ijo suruh Mad dail nombor tu. Disebabkan bosan tak tau nak buat apa, Mad pun setuju.

Kami masuk semula dalam kereta dan berpakat macam mana nak berikan ayat untuk Mad guna pakai bila dia telefon nombor tu.

Mad dan Ijo duduk di depan, aku pula duduk di bahagian belakang.

Mula-mula Mad call, dua kali nombor itu gagal dihubungi. Masa itu hati aku dah terdetik, memanglah tak dapat sebab nombor tu terlebih dari biasa. Tapi, aku tak cakaplah kat member aku tu.

Beberapa kali mendail, tiba-tiba ada nada dering. Kemudian, terdengar suara seorang gadis menyahut panggilan Mad. Suara gadis itu, perghh! Lembut dan manja sangat.

Mad apa lagi, terus mula bertanya.

Nama siapa? Gadis itu jawab, Menora.

Duduk mana? Gadis itu jawab, Taman Golf.

Tengah buat apa? Gadis itu jawab, tak ada apa, tengah bosan.

Perbualan semakin rancak. Setiap kali ditanya, gadis itu akan menjawab lembut sambil tergelak manja.

Terus Mad tanya, kalau nak jumpa boleh? Apa kata kami datang ambil? Tapi gadis itu menolak. Katanya tak perlu. Dia ada diluar.

Mad pun mula cucuk jarum. Kata Mad, kami ada di Taman Rimba, bosan tak tahu nak buat apa. Boleh jumpa tak di situ?

Sambil tergelak manja, gadis bernama Menora itu jawab, boleh!

"Tunggu saya datang. Kejap lagi sampai," macam tulah jawapannya.

Mad apa lagi, gembira sakanlah. Mesti dia ingat Menora ni gadis cantik dan ayu, apatah lagi suaranya manja.

Sekali lagi aku rasa hairan. Takkan gadis itu sanggup datang seorang diri ke taman ini waktu tengah malam buta.

Selalunya perempuan mesti lagi suka kalau lelaki yang datang ambil, kan? Pelik, tapi aku diamkan saja.

Lebih kurang 15 minit menunggu di dalam kereta, kami tak nampak kelibat sesiapa pun lagi. Mad capai telefon dan dail semula nombor 12 digit tadi. Laju gadis itu menjawab panggilan Mad.

Dia cakap, dia sudah sampai di taman itu. Puas aku dan Ijo menjenguk dari dalam kereta. Jenguk depan, tepi dan belakang kereta, tapi tak nampak bayang sesiapa pun.

Lalu Mad pun tanya la gadis tu, mana awak?

Jawab gadis itu, "Saya dah lama sampai, ada atas bumbung kereta awak!"

Bila gadis itu jawab pertanyaan Mad, aku dan Ijo mula ketakutan. Pheww! Gilalah. Dahi mula berpeluh. Aku tengok jam, dah dekat pukul 2 pagi.

Aku dan Ijo dah rasa lain macam, tapi Mad ni macam aku cakap tadi, lurus bendul orangnya.

Bila gadis itu kata ada atas bumbung kereta, dengan selambanya Mad jengukkan kepalanya keluar melalui tingkap kereta dan melihat ke arah bumbung.

Sambil dia jenguk kepala tu, Mad spontan berkata, "Eh, ya ke? Dah sampai? Mana?"

Lebih kurang lima saatlah Mad jengukkan kepalanya melihat ke atas bumbung keretanya. Lepas tu Mad masuk semula dalam kereta. Masa tu wajah Mad dah tak senyum lagi. Pucat lesi!

Masa tu, aku dan Ijo pun tak terkata apa. Kami bertiga masing-masing terpaku, diam membisu macam patung dalam kereta.

Tiba-tiba.. BAMM! BAMM! BAMM!

Kereta Mad bagai diketuk sesuatu yang kuat berulang-kali. Kami semua terkejut. Ijo menjerit ketakutan, hilang sifat jantannya.

Kami dah panik. Ditambah dengan ketakutan melampau hingga Mad menggigil nak hidupkan keretanya.

Aku pula cuma terpaku, tersentak, terasa lembik seluruh urat badan. Kali ini, bukan dahi yang berpeluh, tapi seluruh badan!

Kerana terlalu panik, habis palang plastik oren ditepi jalan Mad langgar dan redah. Taman Rimba berbunyi seakan orang sedang buat adegan drift.

Punya laju Mad pandu hingga dia tak tahu ke mana arah tuju. Selepas agak jauh dari taman itu, aku pegang bahu Mad dari belakang.

Aku kata, "Mad, dah.. slow sikit. Kita cari tempat minum dulu. Subuh baru kita balik tidur." Mad hanya mengangguk perlahan tanda setuju.

Kami berhenti di sebuah restoran. Kami duduk, pesan air. Sambil menunggu minuman sampai, aku dan Ijo tertunggu-tunggu bila Mad nak buka cerita apa yang dia nampak sebenarnya diatas bumbung kereta tadi.

Kami tak berani nak tanya selagi Mad sendiri belum buka mulut, tapi lain pula jadinya.

Mad yang mula-mula diam mula berubah perangai. Dia terkejut, cakap seorang diri tak tentu hala. Lepas tu pergi tandas sambil berlari-lari. Bukan hanya kami, pelanggan lain yang tengok pun rasa pelik.

"Arghh, sudah! Ini mesti dah terkena ni. Dia seorang je yang nampak tadi," itu yang aku cakap bila tengok perangai Mad dah bertukar lain.

Terus kami bawa Mad keluar dari situ. Kang dia buat perangai lagi teruk. Ijo cadangkan kami pergi ke rumah abang iparnya yang juga seorang guru silat dan ada kebolehan berkaitan benda-benda mistik.

Masa ni, Ijo yang pandu kereta. Aku duduk di depan sebelah Ijo, Mad di kerusi belakang. Perjalanan selama 15 minit ke rumah abang ipar Ijo terasa sangat jauh.

Mad di belakang sudah mula merapu bercakap bahasa Siam seorang diri. Aku dan Ijo dah mula seram sejuk, meremang semua bulu roma. Mujurlah kami berjaya sampai tanpa sebarang kejadian yang tak diingini.

Sebaik sahaja Mad dibawa masuk ke dalam rumah, aku terperanjat bila Mad mula buka pencak silat dengan bahasa Siam sekali.

Abang Din, abang ipar Ijo bila tengok keadaan itu mula bertindak serupa, buka pencak silatnya pula.

Ternyata ilmu Allah SWT lebih berkuasa daripada segala-galanya. Dengan laungan ALLAHU AKHBAR, Mad terjelepok jatuh dalam keadaan lemah dan longlai.

Bila Mad sedar semula, barulah kami lega. Tandanya Abang Din berjaya menghalau benda yang mengganggu Mad.

Kata Abang Din, apa yang kami alami malam itu adalah perbuatan manusia yang mahu menguji ilmunya berkesan atau tidak. terkedu kami mendengar. Hanya sengaja menguji? Entahlah.

Yang pasti, selepas pulih, barulah Mad ceritakan apa yang dilihatnya malam itu.

Menurut Mad, semasa dia keluarkan kepala untuk melihat apa yang ada diatas bumbung keretanya, dia nampak seorang gadis.

Tapi, kedudukan gadis itu dalam keadaan terbalik seperti 9 ke 6, ibarat orang yang diikat kakinya ke atas.

Rambutnya yang hitam pula memenuhi bumbung kereta. Mata gadis itu putih, tiada mata hitam. Wajahnya pucat lesi.

Cerita Mad lagi, dia perasan mulut gadis itu terkumat-kamit membaca sesuatu lalu menghembus ke arah muka Mad. Mungkin itulah punca Mad jadi 'gila' selepas itu.

Mujurlah kami cepat dan ada Abang Din. Kalu tidak, tak tahu apa yang akan jadi keada Mad.

Mungkin juga kami terima dugaan ini sebab niat tak elok, kononnya nak mengacau awek di Taman Rimba itu, akhirnya kami sendiri yang terkena.

Selepas kejadian itu, beberapa kali aku pergi ke sana dan lihat nombor 12 digit itu masih ada pada tiang di situ. Tapi, memang aku tak berani nak dail.

Cuma, tak tahulah sekarang ni ada lagi atau tiada sebab peristiwa ni dah lebih lima tahun kami alami.

Kalau korang berani, cubalah pergi ke sana. Manalah tahu jumpa nombor 12 digit tu.

Bolehlah bertemu dengan Menora, gadis terbalik bermata putih itu!

Kalau berani la..

Catatan editor: Kiriman Afifuddin Faiz Shamsuri, Shah Alam, Selangor

#Majalah Mastika Julai 2016

BACA INI JUGA: Kelibat Pocong Gemparkan Penduduk Klang?!

-SENTIASAPANAS.COM



Kredit kepada SentiasaPanas

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.