Apabila Modi menyambut Asyura
Baru-baru ini Perdana Menteri India, Narendra Modi menyertai acara Asyura komuniti Dawoodi Bohra di India.
Beliau kelihatan terpesona dengan ritual menyambut Asyura oleh komuniti tersebut, dan memuat naik 6 status Twitter termasuk video beliau menghadiri acara tersebut bersama-sama pemimpin masyarakat Bohra, Syedna Mufaddal Saifuddin.
Beliau turut memuat naik sebuah status berbunyi: “Imam Hussain (SA) sacrificed himself instead of accepting injustice. He was unwavering in his desire for peace and justice. His teachings are as relevant today as they were centuries ago.”
Modi mengatakan, Saidina Husain, cucunda Nabi Muhammad (s.a.w.), adalah seorang tokoh yang memperjuangkan keamanan dan keadilan, dan tidak mengalah untuk menerima sebarang penyalahgunaan kuasa dan kerana itu ajaran beliau sangat relevan hari ini.
Sudah tentu menghairankan sekali; bahawa Modi yang banyak dikaitkan dengan pelanggaran hak asasi manusia bercakap tentang keadilan dan hak.
Cukup satu, penglibatan Modi dalam rusuhan 2002 di Godhra, Gujarat ketika beliau menjadi ketua menteri di situ selalu ditimbulkan. Sejak itu aktivis hak asasi manusia secara meluas percaya bahawa beliau melakukan jenayaha terhadap kemanusiaan, pembunuhan tanpa sebab, tekanan terhadap mangsa dan mengakibatkan trauma, yang kebanyakannya adalah dari kalangan orang Islam.
Mahkamah Agung India tidak menemukan apa-apa bukti untuk mengaitkan Modi tentunya tetapi paling tidak, ketiadaan campur tangan beliau telah menyebabkan ratusan orang Islam dibunuh di tangan perusuh Hindu.
Angka rasmi kerajaan India melaporkan 790 orang Islam terkorban sementara 254 Hindu turut menjadi mangsa. Seramai 2500 orang cedera parah dan sehingga hari ini 223 orang masih dilaporkan hilang.
Sudah tentu kehadiran Modi di majlis memperingati tokoh keadilan, seagung dan sehebat Saidina Hussein adalah satu yang aneh.
Malah terdapat kritikan bahawa jemputan daripada masyarakat Bohra itu sendiri teramat absurd. Sebagai misalan Irfan Engineer, seorang Bohra dan anakanda kepada tokoh reformasi Syiah yang terkenal, Ali Asghar Engineer menganggap kehadiran seorang pejuang Hindutva seperti Modi hanya mencemarkan kesucian nama Saidina Husain.
Tulisan keras Irfan, pengarah Centre for Study of Society and Secularism, berjudul “Theatre of Absurd: Narendra Modi and Dawoodi Bohra Pontiff itu tentu saja munasabah.
Modi bukan sahaja bermasalah untuk komuniti Muslim, tetapi keekstriman beliau terhadap kaum marjinal, golongan melarat dan kaum wanita memang sentiasa dikutuk secara meluas.
Pun, “raksaksa” seteruk dan seburuk Modi masih tergamak untuk menjejakkan kaki ke majlis memperingati Imam Husain.
Asyura di alam Melayu
Seperti mana di India, dan seluruh dunia, diaspora Syiah di Malaysia iaitu komuniti Syiah Imamiyyah dan Dawoodi Bohra, menerima Saidina Ali sebagai pemimpin politik dan spiritual mereka sesudah kewafatan Rasulullah.
Mereka berpandangan peristiwa di Ghadir Khum yang mana Nabi Muhammad saw memilih Saidina Ali sebagai pengganti tidak dapat dipertikaikan lagi. Setelah Saidina Ali, kepimpinan itu berterusan kepada Saidina Hasan dan kemudiannya Saidina Husain, iaitu cucu Rasulullah.
Justeru peristiwa pembunuhan Saidina Husain, keluarga dan sahabat-sahabatnya di padang pasir Karbala dianggap satu tragedi yang menyayat hati. Mereka percaya ia bukan sahaja satu insiden pembunuhan. Tetapi ia juga adalah satu “aggression” politik yang terancang daripada musuh kem ahlul bait (keluarga Rasulullah) untuk menghapuskan ajaran Islam yang sejati.
Islam sejati menurut mereka berpihak kepada kaum tertindas, orang miskin, kaum murbawan, wanita, dan menjaga hak-hak manusia lainnya. Oleh kerana itu, peristiwa ashura disambut dengan penuh simbolik, satu bentuk perkabungan sekaligus satu penyataan politik mempertahankan hak dan menentang penindasan serta penganiayaan.
Mereka percaya, dengan mengenang kejadian ini, ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah, dan ahli keluarganya (dalam konteks ini Husain) akan diteruskan.
Acara mengingati kesyahidan Saidina Husain bukanlah sesuatu yang asing dalam budaya Melayu. Sebelum kemerdekaan, penganut Dawoodi Bohra tempatan memperkenalkan ‘bohria’ satu persembahan perkabungan ketika era penjajahan Inggeris.
Hari ini “bohria” telah kehilangan fungsi asalnya. Sementara komuniti Syiah yang lain, membaca Hikayat Muhammad Hanafiyyah, Hikayat Hasan dan Husin, dan Nazam Ratap Fatimah ketika Muharam. Mereka juga menarikan dabus.
Namun demikian, seperti mana perkembangan sastera tanahair, sastera klasik Islam ini ditinggalkan kerana pengaruh sastera moden. Terdapat banyak bukti perkabungan Muharam di negara ini. Malahan, penganut Syiah direkodkan melakukan perkabungan di khayalak ramai, seperti mana yang pernah dilihat oleh tentera Jepun ketika musim Perang Dunia Kedua di Negeri-Negeri Selat, khususnya di Singapura dan Pulau Pinang pada waktu itu.
Oleh kerana sikap masyarakat terhadap mereka sangat tidak mesra kemudiannya, mereka kini memilih untuk melakukannya secara tertutup dan hanya mengundang ahli komuniti mereka.
Tangisan dan pukulan berdarah
Penting untuk kita fahami, penganut Syiah di Malaysia tidak melakukan qama zani (pukulan berdarah di badan) seperti yang diwar-warkan dan tersebar di internet. Penganut Dawoodi Bohra juga tidak melakukannya.
Sementara itu, kebanyakan penganut Syiah Imamiyyah di Malaysia adalah pengikut Ayatullah Sayyid Ali Khamenei. Mereka memanggil Khamenei sebagai marja’.
Dalam struktur Syiah, marja’ atau rujukan mempunyai autoriti fikah. Seperti mana masyarakat Sunni di Malaysia mengikut fatwa atau doktrin yang dikemukakan oleh Imam Syafie.
Hanya, masyarakat Syiah percaya, mereka perlu merujuk kepada orang alim yang masih hidup dan kontemporari.
Khamenei telah mengharamkan qama zani sejak lama dahulu. Jika ada penganut Syiah di negara ini yang melakukan qama zani, ada kemungkinan mereka bukanlah tergolong dalam 2 kelompok ini, dan mungkin tergolong dalam kumpulan Syiah yang lebih kecil pecahannya.
Satu soalan yang sering bermain di fikiran saya, sebagai seorang Sunni, mengapakah orang Syiah suka menangis?
Saya difahamkan, “acara menangis” ini pertama kali dilakukan oleh Sayyidah Zainab, saudara perempuan Saidina Husain setelah berlakunya peristiwa Karbala. Beliau menangis sepanjang perjalanan dari Karbala ke Syria.
Tangisan beliau selaku cucu Nabi Muhammad sangat mengharukan dan menukar menjadi gelombang kebangkitan atau bantahan yang besar.
Penganut Syiah menganggap tangisan adalah suatu mesej politik. Ini misalnya dilakukan oleh Nabi Yaakub ekoran kehilangan anaknya, Nabi Yusuf.
Sumber di dalam Al-Quran adalah firman Allah, terjemahannya: “Dan Yaakub berpaling dari mereka (anak-anaknya) seraya berkata: “Aduhai duka citaku terhadap Yusuf,’ dan kedua matanya menjadi putih (buta) kerana kesedihan dan dia adalah seorang yang menahan amarahnya (terhadap anak-anaknya) . Mereka berkata: “Demi Allah, sentiasa kamu mengingat Yusuf, sehingga kamu menghidap penyakit yang berat atau termasuk orang yang binasa.” Yaakub menjawab: “Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku, dan aku mengetahui daripada Allah apa yang kamu tiada mengetahuinya.” (Surah Yusuf, 84-86).
Secara rasionalnya, satu kenangan yang menyedihkan seperti Karbala akan ditangisi.
Acara Muharam masyarakat Syiah seperti yang dihadiri oleh Perdana Menteri India, Modi adalah satu acara kebudayaan dan keagamaan sekaligus. Hari ini komuniti Syiah tempatan tidak dapat melakukan perkabungan secara terbuka, apatah lagi menjemput perdana menteri “Malaysia Baharu” untuk hadir sama.
Oleh sebab ramainya orang Melayu menjadi militan dan berjuang di Timur Tengah, saya berpandangan, mereka lebih bimbangkan keselamatan diri, dan keluarga, serta masyarakat mereka dari ancaman musuh dalaman, yakni teroris dan pelampau Wahhabi.
Apabila saya membaca status Twitter Narenda Modi, seorang Hindutva yang dianggap ramai sebagai makhluk hodoh yang dahsyat pun masih tanpa segan silu menjejakkan kaki ke majlis memperingati Imam Husain, saya lantas terfikir, mengapakah kita selaku masyarakat Islam Sunni mahu mengganggu dan menekan komuniti Syiah tempatan?
Ternyata mereka melakukannya secara senyap, tidak terdedah dan merupakan hak mereka yang terlindung dalam Perlembagaan Malaysia.
Mungkin, di dalam, jauh di dalam; kita juga “se-iblis” Modi. Kita juga lebih teruk dan buruk daripada Modi. Para mufti kita malah tidak pun mahu membuka diri untuk memahami yang lain daripada diri.
Seburuk-buruk Modi dia membuka dirinya, walaupun atas alasan dan argumen apa pun, Modi berada di majlis Husain. Dia cuba menilai Husain.
Mungkin, di dalam, jauh di dalam; kita juga “se-iblis” Modi. Oh, kecualikan saya. Kata ganti diri “kita” tentu sahaja salah. Kamu, kalian (mungkin) lebih buruk dan “iblis” daripada Modi. -FMT
✍ Sumber Pautan : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2QHvr1P
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment