Etnik Rohingya: Apa Isunya?
Iskandar Samad, Astro Awani
ISU perlarian etnik Rohingya sedang hangat dibincangkan oleh media dan rakyat Malaysia.
Saya yakin kerajaan dapat menangani kehadiran etnik ini di negara kita kerana mereka tidak memiliki MyKad hanya kad UNHCR.
Mereka juga senang dikenali kerana rupa wajah dan cara hidup mereka yang jauh berbeza dari rakyat Malaysia. Selain dari itu mereka suka tinggal di dalam kelompok mereka sendiri.
Dianggarkan terdapat lebih kurang 150,000 warga Rohingya di Malaysia dan saya yakin tidak ada masalah bagi kerajaan untuk mengesan mereka.
Yang lebih membimbangkan adalah laporan Ketua Audit Negara bahawa di antara 2016 dan 2018 seramai 76,258 warga Negara China yang masuk ke Malaysia tetapi tidak ada rekod yang mereka telah meninggalkan negara kita. Bilangan ini adalah 95.6 peratus dari bilangan warga negara itu yang memasuki negara pada tempoh tersebut.
Pada saya isu kemasukan mereka ini lebih membimbangkan.
Justeru itu terdapat mereka yang mendakwa isu etnik Rohingya ini sengaja ditimbulkan untuk menutup isu penjualan MyKad yang akan dibicarakan tahun ini.
Tetapi apakah penyelesaian masalah etnik Rohingya ini? Pada saya penyelesaian masalah etnik ini bukan dengan menempatkan mereka di negara ketiga seperti Bangladesh, Malaysia atau negara-negara Barat.
Penyelesaiannya terletak di Myanmar. Keselamatan mereka di Myanmar perlu dijamin. Mereka perlu diberikan hak sebagai warganegara di Myanmar. Sekiranya kerajaan Myanmar tidak dapat menjamin keselamatan mereka maka Bangsa-Bangsa Bersatu ( PBB ) atau negara-negara Islam perlu melakukan sesuatu.
Zon Selamat ( Safe Zone ) perlu diwujudkan di Myanmar di mana etnik Rohingya ini dapat hidup bebas dari penindasan dan kezaliman.
Pada peperangan saudara di Syria, Turki telah menduduki sebahagian dari utara Syria sejak 2016 untuk dijadikan Zon Selamat bagi para pelarian berlindung.
Apabila berlaku rampasan kuasa di Cyprus pada tahun 1974, tentera Turki telah menduduki utara Cyprus bagi melindungi penduduk Turki di sana.
Walaupun tentera pengaman PBB telah gagal di Bosnia tetapi apa alternatif yang ada?
Dunia telah banyak berlembut dengan Myanmar dan usaha-usaha diplomasi tidak menampakkan sebarang kejayaan. Masanya adalah untuk satu tindakan yang drastik.
Sehingga itu berlaku kita perlu melayan etnik ini seperti pelarian Palestin atau Syria. Kita tidak seharusnya mengambil sikap “double standard”. Jangan kita bersikap hipokrit lantang memperjuangkan nasib mereka di Palestin dan Syria tetapi memandang sepi atau membenci etnik Rohingya yang juga mengalami nasib yang sama.
Walau bagaimanapun kerajaan perlu tegas di dalam menguruskan mereka di negara kita. Jika kita gagal menguatkuasakan undang-undang maka jangan salahkan mereka jika ada di antara mereka yang mengambil kesempatan.
Ketika saya adalah Ahli Dewan Negeri Chempaka, Selangor terdapat satu taman, Taman Pandan Mewah, yang dibanjiri oleh etnik Rohinya. Saya melihat penguatkuasaan oleh pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen dan PBT tidak tegas yang mengakibatkan banyak masalah. Contohnya mereka bebas berniaga tanpa kawalan walaupun tidak ada dokumen perlajalanan atau pendaftaran dengan agensi kerajaan kecuali kad UNHCR. Masalah sampah dan kacau ganggu tidak terkawal. Mereka seolah-olah menguasai pangsapuri-pangsapuri kos rendah di sana. Ini menimbulkan kebimbangan dan kemarahan penduduk tempatan. Adakah salah kita atau salah mereka?
Saya pernah bercadang untuk mengadakan kursus untuk mereka supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan cara hidup penduduk tempatan tetapi tidak sempat. Kursus ini pada saya amat penting.
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment