Jadual perjalanan pulang dari kampung 1-3 Mei
PETALING JAYA: Pihak berkuasa merancang jadual perjalanan untuk memudahkan orang ramai yang terkandas di kampung halaman pulang ke kediaman masing-masing mulai 1 hingga 3 Mei ini ketika perintah kawalan pergerakan memasuki fasa ke-4.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, 1 Mei ditetapkan untuk Perak, Johor dan Kelantan, diikuti 2 Mei bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang.
Katanya, 3 Mei untuk Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.
Beliau berkata, orang ramai yang terkandas di kampung halaman boleh membuat permohonan pulang ke kediaman atau tempat kerja mulai 26 hingga 29 April ini melalui aplikasi Gerak Malaysia yang boleh dimuat turun daripada aplikasi telefon pintar.
Katanya, pemohon perlu memasukkan butiran peribadi dan memberi kebenaran kepada aplikasi itu untuk mengakses lokasi GPS bagi mengesahkan kedudukan mereka.
“Mereka yang telah memohon hendaklah mengemas kini permohonan pada tarikh dibenarkan berlepas agar kod QR dapat dijana secara automatik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Dengan permit pergerakan yang dijana melalui kod QR di dalam aplikasi telefon pintar, orang ramai hanya perlu menunjukkan kod QR tersebut ketika melalui sekatan jalan raya untuk diimbas pihak berkuasa.”
Katanya, perjalanan perlu dilakukan pada hari ditetapkan mengikut permit yang diluluskan dan maklumat lanjut berhubung jadual perjalanan serta garis panduan lain akan diumumkan polis pada 29 April ini.
Beliau mengingatkan orang ramai tidak menyalahgunakan kemudahan permit pergerakan itu dan hanya membuat permohonan bagi tujuan perjalanan yang benar-benar perlu seperti ditetapkan di bawah PKP. - FMT
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment