Hi! Welcome Back and Stay Tune! JAWAPAN ROSLI DAHLAN TERHADAP ANALISA PERUNDANGAN OLEH HANIFF KHATRI - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

JAWAPAN ROSLI DAHLAN TERHADAP ANALISA PERUNDANGAN OLEH HANIFF KHATRI


Kamarul Yusoff
TUN DR MAHATHIR SELAKU CALON TUNGGAL PENGERUSI BERSATU BELUM MENANG
SEMUA PENJAWAT BERSATU AKAN TERUS LAKSANA TUGAS SEHINGGA PEMILIHAN
MAJLIS PRESIDEN BERSATU BERKUASA SAH UNTUK URUS DAN TADBIR PARTI
Berikut ini adalah ulasan Rosli Dahlan terhadap tulisan Haniff Khatri bertajuk “Analisa Perundangan Berhubung Isu Pucuk Pimpinan Parti BERSATU”.
Tulisan Haniff Khatri ini antara lainnya mendakwa:
(a) Tun Dr Mahathir sudahpun disahkan sebagai Pengerusi Parti BERSATU yang “Menang Tanpa Bertanding” untuk Pemilihan 2020 ini.
(b) Sehingga pemilihan diselesaikan, selain dari Tun Dr Mahathir sebagai Pengerusi yang disahkan kemenangan pemilihannya, kesemua pemegang jawatan lain tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan tugas masing-masing.
(c) Satu-satunya pihak yang boleh memanggil mana-mana mesyuarat sah Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) sebelum daripada tempoh penyelesaian Pemilihan Parti adalah Pengerusi sah Parti kini, iaitu Tun Dr Mahathir.
JAWAPAN ROSLI DAHLAN TERHADAP ANALISA PERUNDANGAN OLEH HANIFF KHATRI
1. Saya terpanggil untuk menjawab hujahan saudara saya Haniff Khatri dalam Siri 2048 bertarikh 10.04.20 yang mengandungi kesilapan tafsiran terhadap Perlembagaan BERSATU sehingga menimbulkan kecurigaan apakah tujuan sebenar Saudara Haniff menulis analisa tersebut.
2. Saya mahu mempercayai bahawa Saudara Haniff jujur memberikan pandangan perundangan berkenaan BERSATU. Tetapi apakah perlunya dia mengalamatkan seruannya kepada seluruh rakyat Malaysia dan memviralkan analisa itu di mayapada internet untuk menarik perhatian semua netizen kepada isu parti?
3. Sebelum daripada ini, Saudara Hanif juga membuat kenyataan umum yang tersasar berkenaan pemberhentian Setiausaha Agung BERSATU yang telah saya jawab dengan jelas dan terperinci sehingga Saudara Haniff bersetuju untuk tidak bersetuju dengan jawapan saya itu (agree to disagree). Dalam menghormati etika perdebatan, saya tidak memanjangkan perkara itu.
4. Namun kini Saudara Haniff mengulangi perbuatannya itu dan wajarlah sekali lagi saya menjawabnya supaya ahli parti dan rakyat Malaysia tidak terkeliru dan dapat membuat penilaian yang objektif ke atasnya. Diharapkan Saudara Haniff akan menerima pandangan saya sekali lagi sebagai bukti bahawa Saudara Haniff tidak mempunyai niat dan motif tertentu dan terbuka menerima kritikan bila dia salah.
5. Tetapi hakikatnya ialah tafsiran Saudara Haniff berkenaan Perlembagaan BERSATU mengandungi kesilapan. Saya sayang kepada Saudara Haniff dan tidak mahu dia dituduh membuat hujahan songsang dengan tujuan tidak murni.
6. Saudara Haniff seharusnya tahu bahawa BERSATU sebagai parti yang menerajui kerajaan campuran hari ini memerlukan perpaduan dan solidariti yang utuh pada ketika ini. Maka apakah tujuan sebenar Saudara Haniff membuat hujahan kepada umum dan bukan secara langsung kepada parti? Tidakkah Saudara Haniff sedar bahawa perbuatannya itu boleh memecah-belahkan parti menjadi bercelaru dan lemah sehingga boleh ditumbangkan seperti tumbangnya Kerajaan PH yang lalu, bak pepatah, bersatu kita teguh bercerai kita roboh?
7. Analisa Saudara Haniff dalam Siri 2048 menyeru supaya semua ahli parti menghentikan politiking. Tetapi, pada masa yang sama, Saudara Haniff memberikan pandangan perundangan yang berbentuk partisan sehingga boleh mengelirukan dan menggugat perpaduan parti. Saudara Haniff mencanangkan sokongan kepada Tun Dr Mahathir dengan mempertikaikan kewibawaan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri dan Presiden BERSATU. Saya tidak mahu Saudara Haniff dituduh tidak jujur. Saya tidak mahu Saudara Haniff dianggap sebagai serigala yang menyerupai domba atau sebagai gunting dalam lipatan.
8. Tafsiran Saudara Haniff memberikan gambaran seolah-olah Tun Dr Mahathir adalah satu-satunya sahaja penjawat parti yang sah, semua yang lain dipertikai dan tidak sah. Saudara Haniff mengolah fakta tentang perletakan jawatan Tun Dr Mahathir sebagai kemelut politik dan kemudiannya mempertikaikan kedudukan dan peranan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dengan menyimpulkan bahawa MPT adalah di bawah telunjuk Tun Dr Mahathir yang mempunyai kuasa sah mutlak sebagai Pengerusi BERSATU.
9. Oleh itu, adalah perlu saya memperbetulkan fakta dan hujahan terkeliru yang dikemukakan tersebut supaya isu yang dibangkitkan menjadi jelas dan ahli BERSATU menjadi yakin bahawa tindakan MPT dan Presiden Parti adalah sah menurut lunas undang-undang.
10. Pada 16.03.2020, Pendaftar Pertubuhan telah mengeluarkan perintah di bawah Seksyen 3A Akta Pertubuhan bagi menghalang sebarang mesyuarat atau aktiviti persatuan akibat daripada pandemik Covid-19. Keputusan tersebut dibuat sebagai darurat kesihatan negara demi keselamatan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia.
11. Kesan daripada itu, semua pertubuhan, termasuk parti politik, juga termasuk BERSATU, tidak boleh menganjurkan mesyuarat agung tahunan dan pemilihan masing-masing. Semua pemilihan dikehendaki ditangguhkan sehingga selepas 30.06.2020 termasuk Persidangan Bahagian yang mengundi bagi pemilihan penjawat-penjawat BERSATU. Menurut Fasal 14.2 Perlembagaan BERSATU, MPT adalah terikat untuk melaksanakan semua peruntukan Akta Pertubuhan 1966.
12. Ini bermakna semua penjawat BERSATU perlu meneruskan dan menjalankan tanggungjawab jawatan mereka sehingga MPT boleh menganjurkan Persidangan Bahagian selepas 30.06.2020.
13. Penerusan penjawat-penjawat tersebut sentiasa tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan BERSATU yang tidak menghalang perlaksanaan kuasa-kuasa sesuatu jawatan melalui pemilihan. Ini bermakna seseorang penjawat yang telah melalui pemilihan menjadi MPT juga akan terus memegang jawatan dan melaksanakan tanggungjawab jawatan tersebut sehinggalah pemilihan diadakan di peringkat Persidangan Bahagian yang hanya boleh diadakan selepas 30.06.2020.
14. Adalah satu tafsiran salah untuk menganggap bahawa jika terdapat hanya seorang calon bagi suatu jawatan yang tidak dipertandingkan, maka calon tunggal itu telah menang. Itu kesilapan besar oleh Saudara Haniff. Sesuatu pencalonan jawatan yang tidak dipertandingkan jelas hanya bermakna tiada calon lain yang bertanding dan bukan calon tunggal tersebut telah menang.
15. Sebaliknya, kedudukan semua calon hanyalah tetap sebagai calon bagi jawatan-jawatan yang dicalonkan atau dipertandingkan sehingga suatu pemilihan telah diadakan dan ditentukan di peringkat Persidangan Bahagian selepas 30.06.2020.
16. Dalam keadaan demikian, MPT berkuasa menjalankan semua tugas rasmi dan melaksanakan semua tanggungjawab dan mandat yang diberikan pada Mesyuarat Agung Tahunan yang lalu dan Majlis Presiden Parti berkuasa sah untuk mengurus dan mentadbir parti menurut peruntukan fasal- fasal berkenaan dengannya dalam Perlembagaan BERSATU.
17. Perlu diingati bahawa jawatan Setiausaha Agung bukanlah jawatan yang dimenangi melalui pemilihan. Ia adalah jawatan melalui lantikan yang dibuat oleh Presiden Parti secara rundingan dengan Pengerusi Parti.
18. Ini satu lagi contoh tafsiran salah dalam hujah Siri 2048 oleh Saudara Haniff. Terdapat perbezaan jelas di antara jawatan melalui pemilihan dan jawatan melalui lantikan. Itulah sebabnya kuasa untuk memberhentikan seseorang Setiausaha Agung dan kuasa untuk melantik seorang Setiausaha Agung yang baru terletak dengan, boleh dan telah dilaksanakan oleh Presiden Parti.
19. Perlantikan Setiausaha Agung yang baru oleh Presiden Parti telah dilaksanakan dengan betul dan sah apabila Presiden memaklumkan kepada Pengerusi tentang hasratnya untuk melantik Setiausaha Agung yang baru dan Pengerusi telah pula memberikan pandangannya. Maka satu perundingan, semampu yang boleh di bawah kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), telah pun dijalankan menurut peruntukan Perlembagaan BERSATU dan kuasa membuat perlantikan seorang Setiausaha Agung yang baru oleh Presiden telah dibuat secara sah dan teratur.
20. Inilah peruntukan fasal-fasal yang relevan kepada perbincangan dan hujahan diatas:
16.9. Jika Pengerusi berhenti atau diberhentikan maka Presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan untuk memilih Pengerusi baru mengikut Fasal 13.3 dan ia mempunyai kuasa mengikut Fasal 16.2.
14.2. Menunaikan segala syarat-syarat yang dikehendaki oleh Akta Pertubuhan 1966.
13.3. Tertakluk kepada Fasal 14.14, Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Pengerusi, Presiden, Timbalan Presiden, tiga (3) orang Naib Presiden dan dua puluh (20) orang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi hendaklah dipilih dalam Persidangan Bahagian tiap-tiap tiga (3) tahun sekali.
14.14. Majlis Pimpinan Tertinggi berhak menangguhkan pemilihan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi, Bahagian dan Cawangan. Penangguhan ini tidak boleh lebih daripada lapan belas (18) bulan daripada tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan.


✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH

🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻‍♀️ Enjoy Surfing!




No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.