Melaka larang kedai gunting rambut, pasar malam beroperasi semula
MELAKA: Melaka belum bersedia membenarkan perkhidmatan menggunting dan mendandan rambut serta kecantikan, pasar pagi terbuka, pasar malam serta bazar ria kembali beroperasi pada 10 serta 15 Jun ini seperti diumumkan kerajaan persekutuan.
Ketua Menterinya, Sulaiman Md Ali berkata kerajaan negeri akan meneliti terlebih dahulu prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) kerana negeri itu juga mempunyai SOP sendiri.
Beliau berkata, pembukaan sektor ekonomi, khususnya pasar pagi terbuka, malam dan bazar ria melibatkan kumpulan besar pada satu-satu masa, justeru perlu dirancang dan dilaksana secara terperinci agar Covid-19 dapat dikekang.
“Kedua-dua SOP ini akan diteliti dalam mesyuarat bersama MKN serta Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 dan akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Kita faham dan simpati dengan situasi peniaga sektor ini, namun pada masa sama, kepentingan atau keselamatan awam perlu diambil kira.
“Lagipun operasi pasar di setiap negeri berbeza,” katanya selepas melawat pusat pembungkusan dan pengagihan peralatan perlindungan diri di sini semalam.
Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata perkhidmatan mengunting dan mendandan rambut serta kecantikan dibenarkan beroperasi mulai 10 Jun ini, susulan sumbangan sektor itu kepada keluaran dalam negara kasar negara berjumlah RM13.5 bilion setahun.
Ismail berkata, semua pasar terbuka, pagi dan malam serta bazar ria di Wilayah Persekutuan dibenarkan beroperasi mulai 15 Jun ini, dengan waktu operasi pasar pagi dan terbuka ialah 6 hingga 11 pagi, pasar malam (4 petang hingga 10 malam) dan bazar ria (5 petang hingga 11 malam).
Minuman keras
Sulaiman berkata, kerajaan Melaka tidak membenarkan minuman keras diminum di dalam premis jualan, sebaliknya perlu dibawa balik dan diminum di rumah.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat berikutan banyak kemalangan membabitkan pemandu mabuk sehingga meragut nyawa mangsa dilaporkan media sejak kebelakangan ini. - FMT
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment