Gol Supermokh buat England ‘terduduk’
MOKHTAR DAHARI membawa bola dari tengah padang. Sambil berlari lincah – dengan liuk tubuh mengelirukan – beliau pantas menggelecek dua pemain England.
Sebaik sahaja melepasi Alan Kennedy dan David Needham, dua pemain England bertaraf bintang, Mokhtar melepaskan rembatan kencang sebaik sahaja memasuki petak penalti.
Bekas pemain kebangsaan, Reduan Abdullah masih ingat. Tendangan itu menerjah ke bucu kanan gawang pada minit ke-34. Penjaga gol Joe Corrigan, pemenang Piala Eropah bersama Manchester City pada 1970, terduduk dibuatnya.
Jaringan Supermokh menghapuskan kelebihan gol yang dihasilkan Alan, pemain yang digeleceknya sebelum menjaringkan gol penyamaan. Alan sebenarnya pemain pertahanan paling mahal di England pada tahun berkenaan.
Namun, larian ‘lipas kudung’ Mokhtar membantunya melepasi Alan, yang tiga tahun kemudian menyumbat gol kemenangan Liverpool ketika menewaskan Real Madrid dalam kejohanan Piala Eropah.
“Perlawanan itu adalah salah satu aksi terbaik kami dan Mokhtar menjaringkan gol yang cukup memukau, dia terlalu bagus untuk disekat pemain England,” kata Reduan kepada SelangorKini ketika mengimbau perlawanan pada 1978 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Sebenarnya, Reduan mengakui kehadiran skuad England mengerunkan pemain negara. Masing-masing terbayang mereka bakal dibelasah skuad bimbingan Bobby Robson. Sebaliknya, keputusan berkesudahan seri 1-1.
“Waktu main lawan England B, kami fikir akan dibelasah teruk. Tetapi sebaliknya berlaku, walhal yang datang pemain-pemain hebat,” kata pemain tengah negara antara 1973 hingga 1981.
Selain mereka, pasukan kebangsaan dibarisi antaranya Rashid Hassan, Jamal Nasir, Yahya Jusoh, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Abdah Alif dan Shukor Salleh.
Menewaskan Arsenal
Sebelum perlawanan itu pun, Mokhtar sudah mempamer kehebatannya. Dua jaringannya pada 1975 pernah menumbangkan Arsenal, sebuah kelab ternama divisyen satu (ketika itu) Liga Inggeris.
Setahun kemudian, majalah World Star Soccer menamakan beliau sebagai penyerang terbaik Asia.
Mokhtar dianggap pemain bola sepak sempurna pada era itu, malah pemuda kelahiran Setapak dianggap lebih handal daripada pemain legenda Korea Selatan dan kelab Bayer Leverkusen, Cha Bum-kun.
“Orang Korea suka Mokhtar, dan setiap kali kami ke sana, mereka selalu membincangkan tentang dia,” kata Reduan, naib presiden Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Kuala Lumpur, kini berusia 68 tahun.
Mokhtar menjaringkan 125 gol bersama Harimau Malaya dan 177 gol untuk Selangor. Beliau juga beraksi dalam Jemputan Selangor menentang juara 20 kali Liga Argentina, Boca Juniors yang diketuai Diego Maradona pada 1982.
Siang kerja bank
Bagi Reduan, pemain tempatan masa kini – walaupun memasuki era profesional – belum ada setaraf Mokhtar. Antara 70-an hingga 80-an, Mokhtar bukan sahaja digeruni pada peringkat Asia, bahkan sebahagian pemain Eropah juga kagum kepadanya.
“Bayangkanlah, zaman itu masih amatur, bukan semi profesional mahupun profesional, siang hari ada yang kerja bank, tapi kita khususnya Mokhtar mampu menakutkan lawan dengan aksi atas padang,” katanya.
Abd Mohd Khalid Mohd Ali, pemain skuad Olimpik Moscow pada 1980, pula percaya formula kehebatan Mokhtar adalah rajin berlatih dan berdisiplin tinggi setiap masa – itu sahaja.
Beliau juga mendapati tiada pemain selepas era itu setanding dengan Mokhtar. Dalam tempoh mutakhir, hanya bekas jaguh Selangor, Safee Sali memiliki sekelumit iras gaya legenda itu.
“Cumanya pada saya Safee agak lemah dari segi tenaga dan stamina,” katanya sambil berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berusaha mencari bakat muda bagi mengisi keunggulan yang ditinggalkan Mokhtar.
Sekalipun sudah 29 tahun pemergian Mokhtar genap pada 11 Julai, kelibat beliau masih diingati ramai. Kehilangan terus dirasai, tiada galang gantinya. Bak kata Reduan:
“Hanya ada satu Mokhtar, tiada dua atau tiga, tidak ada penganti, Mokhtar tetap Mokhtar.”
Free IPTV @5tr0kk +500 Channel
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Oh! Semput
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment