Hi! Welcome Back and Stay Tune! Ulasan TicWatch GTX – Seutas Lagi Jam Tangan Pintar Asas - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Ulasan TicWatch GTX – Seutas Lagi Jam Tangan Pintar Asas


Boleh dikatakan, pasaran kita semakin giat dibanjiri dengan pelbagai pilihan jam tangan pintar mampu milik daripada sejumlah pengeluar berbeza. Misalnya seperti Amazfit Bip U, Realme Watch, Xiaomi Mi Watch Lite dan sebagainya. Setiap satu daripadanya pasti mempunyai target masing-masing dan fungsi berguna yang akan menjadi satu tambah nilai untuk mereka sendiri. Untuk artikel kali ini, kita ada salah satu model jam tangan pintar daripada Mobvoi iaitu TicWatch GTX.

Difahamkan, TicWatch GTX merupakan jam tangan pintar asas pertama daripada Mobvoi. Dalam erti kata mudah, ia sebenarnya lebih kepada penjejak kesihatan tetapi dalam bentuk jam tangan pintar. Ia juga menjalankan sistem operasi tersendiri dan bukannya sokongan WearOS seperti yang terdapat pada TicWatch Pro 3 GPS. Jam tangan ini juga menampilkan reka bentuk klasik dengan muka jam berbentuk bulat bersama-sama sejumlah ciri berguna lain. Untuk ketahui lebih lanjut mengenai penawaran dan prestasinya dalam dunia nyata? Baca hingga ke penghujung artikel.

Spesifikasi Ringkas Peranti :

TicWatch GTX
Jenis Jam tangan dengan penjejak kesihatan
Paparan 1.28″ TFT (240 x 240)
Pemproses RLC8762C (40Mhz)
RAM 160KB
Muatan Dalaman 16MB
Bateri 200mAh
Ketahanan 7 hari (mod biasa)
Ketahanan 10 hari (mod penjimatan)
SIM / Telefoni Tiada / Tiada
Sensor Heart Rate
Accelerometer
NFC Tiada
Infra Merah Tiada
Tahap Ketahanan IP68
Saiz 48.7mm x 11mm
Warna Hitam
Harga Jualan RM269

Rekaan :

Menyentuh soal rekaan, apa yang boleh saya katakan TicWatch GTX mempunyai binaan yang baik. Persembahan rekaannya mungkin bukanlah yang paling menarik. Tetapi, Mobvoi dilihat bijak menyusun atur atau memilih konsep minimalis yang ringkas dan tidak berlebihan. TicWatch GTX hadir dengan rekaan jam tangan bermuka bulat bersama dua butang fizikal yang terbina pada sisi muka jam. Melaluinya, bahan berasaskan logam bewarna hitam dilihat menghiasi keseluruhan tubuh jam tangan ini. Kemudian, belakangnya pula dihiasi kemasan matte yang kelihatan baik.

Perlu saya akui, muka jamnya di sini cukup besar dengan skrin bersaiz 1.28 inci yang disertakan bersama. Skrin sesentuh yang digunakan adalah sejenis TFT dengan resolusi 240 x 240 piksel dan tiada fungsi bezel berputar yang disertakan. Skrin sesentuhnya di sini juga menyokong gerakan jari – yang mana pengguna boleh melihat sejumlah ciri dan info kesihatan dengan menggerakan jari pada permukaan skrinnya.

Antaramukanya di sini kelihatan sangat ringkas, tetapi penuh dengan maklumat penting. Bagaimanapun, di sini terdapat sedikit komen yang saya ingin berikan mengenai kualiti paparan yang mana ia hanya berada di tahap sederhana sahaja. Saya akui, paparan berasaskan teks masih boleh dibaca dengan jelas. Tetapi, paparannya tidak tajam selain turut memudahkan penampakan piksel pada skrin.

Bukan itu sahaja, penggunaan pada situasi terang juga kurang memuaskan. Misalnya, penggunaan secara terus di bawah cahaya matahari. Di sini, saya mula sedari kualitinya mula terjejas dengan skrin yang sedikit malap dan sukar untuk dilihat. Selain itu, saya juga perasan teks yang dipaparkan pada jam tangan ini sering kali terdapatnya masalah kesalahan ejaan. Misalnya, ‘Step Count’. Saya perasan ia dieja sebagai ‘Setp Conut’. Diharapkan isu sebegini akan diperbaiki dan berharap generasi akan datang akan lebih baik.

Seterusnya, ia juga dikatakan sesuai untuk dipakai oleh lelaki ataupun perempuan. Tetapi, saya secara peribadi berpendapat ia sebenarnya lebih sesuai digayakan oleh lelaki. Ia bagaimanapun, bergantung juga kepada pilihan masing-masing kerana setiap orang mempunyai cita rasa yang berlainan. Sesetengah pengguna daripada kaum wanita ada sahaja yang sukakan rekaan sebegini – mungkin untuk menampilkan gaya tersendiri. Dalam pada itu, ia juga bersifat semi-formal. Maka, lebih sesuai juga dipadankan dengan penampilan kasual. Selain, juga pilihan ideal untuk digayakan ketika bersukan atau beriadah.

Pada sisi kanan terdapatnya dua butang fizikal berbentuk bulat yang berfungsi sebagai kembali ke muka jam dan kawalan fungsi serta mod kecergasan terbina. Kemasan butang adalah baik sehingga tidak terasa murahan. Malah, dengan adanya butang fizikal ini, ia dilihat mampu memberi pilihan lain kepada pengguna untuk kawalan aplikasi dan fungsi pada jam tangan ini. Meskipun begitu, anda disarankan untuk bergantung pada skrin sesentuh sepenuhnya untuk pengalaman penggunaan lebih baik.

Tali jamnya pula mempunyai diameter yang sederhana iaitu 22mm. Ia menggunakan bahan berasaskan plastik TPU yang agak keras dan ia bagaimanapun, tidak mendatangkan kerengsaan pada kulit. Sekaligus, membuatkannya selesa dipakai walaupun digunakan dalam jangka masa yang lama. Turut kelihatan, talinya di sini memudahkan pengguna untuk menukar tali dengan sebarang tali jam biasa yang mempunyai diameter sama kerana penggunaan cangkuk standard. Seterusnya, bahagian belakang pula terdapatnya sensor denyutan nadi bersama plat magnetik untuk proses pengecasan peranti.

Sistem & Penggunaan :

Seterusnya, Mobvoi dilihat tidak menggunakan sistem operasi WearOS daripada Google pada TicWatch GTX. Sebaliknya, ia hadir dengan sistem operasi tersendiri. Ia bagaimanapun, dilihat masih mempunyai beberapa elemen yang dikatakan mirip dengan WearOS. Dari segi spesifikasi dalaman, TicWatch GTX menggunakan cip RLC8762C (40Mhz), RAM 160KB dan storan dalaman 16MB terbina. Kemudian, ia juga dilengkapi pelindungan kalis air IP68 yang membolehkan ia dibawa mandi dan berenang.

Dari segi kawalan, menatal skrin dari bawah ke atas membolehkan fungsi notifikasi diakses. Melaluinya, pengguna boleh melihat notifikasi yang diterima daripada sejumlah aplikasi terpilih. Ia bagaimanapun, hanya membenarkan pengguna untuk membaca sahaja tanpa kebolehan untuk membalas. Majoriti akses notifikasi yang diterima juga ringkas dengan hanya memaparkan ikon aplikasi dan beberapa aksara daripada notifikasi tersebut. Jadi, untuk bacaan lebih menyeluruh anda perlu membuat semakan secara terus menerusi peranti pintar yang disambungkan.

Selain itu, ia turut boleh menunjukkan notifikasi untuk panggilan masuk. Melaluinya, pengguna mempunyai pilihan untuk mematikan panggilan pada paparan muka jam. Tetapi, kebolehan untuk menjawab pula perlu melalui telefon pintar yang disambungkan. Sebabnya, ia tidak disertakan mikrofon dan pembesar suara.

Seperkara yang ingin saya sentuh adalah mengenai sokongan getarannya. Saya akui kurang selesa dengan sistem getarannya. Ia bukanlah tidak baik. Tetapi, getarannya menghasilkan bunyi yang terlalu kuat. Sehinggakan, rakan sepejabat yang berada bersebelahan meja saya turut sama boleh mendengar getaran setiap kali notifikasi diterima. Jalan paling mudah untuk elak perkara ini, saya nyahaktifkan sahaja fungsi ini menerusi tetapan pada aplikasi.

Menatal skrin dari atas ke bawah pula membawa kepada akses pintas. Tidak seperti jam tangan lain yang pernah saya cuba. Fungsi yang terdapat pada akses pintas ini sekadar asas sahaja. Di mana, terdapat tiga fungsi yang boleh ditemui seperti mod penjimatan bateri, mod gangguan dan carian untuk peranti pintar. Selebihnya perlu diakses menerusi tetapan – yang mana hanya disertakan dengan akses untuk mengubah keterangan skrin, kebolehan untuk mematikan jam tangan pintar dan maklumat berkaitan sistem sahaja.

Kemudian, tatalan ke kanan dan kiri pula membolehkan pengguna untuk mengakses sejumlah aplikasi terpasang seperti kawalan audio, penggera dan sejumlah aplikasi tersendiri untuk pemantauan kesihatan – antaranya seperti TicExercise, TicSleep, TicPulse dan TicHealth. Melalui aplikasi TicExercise, jam tangan ini menawarkan akses kepada sehingga 14 mod sukan berbeza. Ia bagaimanapun tiada gedung khas untuk memuat turun aplikasi seperti sejumlah jam tangan pintar lain.

Dari segi prestasi, kemampuan menjejak kesihatannya sekadar memuaskan kerana tidak konsisten. Saya juga menyedari bacaan tapak kerap kali kurang tepat. Satu lagi, ketiadaannya sokongan sistem GPS terbina menjadikan ia tidak begitu sesuai untuk aktiviti luar. Selain itu, kita juga tidak boleh mengharapkan penjejakan jarak akan sentiasa tepat. Jadinya, pengguna perlu sentiasa membawa sekali telefon pintar bersama untuk mengesan jejak setiap langkah. Perkara ini sedikit mengecewakan kerana pesaing lain dalam harga yang sama turut disertakan dengan GPS.

Kemudian, fungsi pengesanan tidurnya pula dilihat memaparkan peratus kualiti tidur pengguna – sama ada baik atau tidak. Kemudian, ia juga boleh mengesan sejumlah data lain seperti tempoh masa tidur – yang terbahagi kepada tiga bahagian iaitu tidur nyeyak, sederhana dan terjaga. Selain itu, ia turut menunjukkan bacaan nadi pengguna ketika tidur.

Aplikasi Sambungan :

TicWatch GTX boleh digunakan pada peranti Android dan iOS. Kebanyakan tetapan penting pada jam tangan ini hanya boleh dilakukan dari dalam aplikasi. Jadinya, aplikasi Mobvoi perlu dipasang pada peranti pintar terlebih dahulu untuk pengalaman penggunaan lebih menyeluruh. Sambungan Bluetooth 5.0 merupakan medium utama untuk menyambungkan jam tangan ini dengan peranti pintar.

Melaluinya, ia dilihat menyajikan rekaan antaramuka yang kelihatan minimalis dan baik. Setiap data yang dipaparkan pada paparan juga mudah difahami dan kemas. Sejumlah fungsi utama boleh diakses dan dikawal secara terus pada papan muka utama. Melaluinya, anda juga boleh menyemak keseluruhan data terkini dengan mudah dan mengurus notifikasi pada jam tangan dengan baik. Kemudian, pilihan yang diberikan juga agak pelbagai termasuk akses pintas untuk kedai atas talian Mobvoi.

Kemudian, sebanyak 23 muka jam yang boleh dipilih. Tetapi, hanya 4 muka jam sahaja yang boleh disimpan pada jam tangan ini. Selebihnya perlu diakses menerusi aplikasi pada peranti pintar dan maklumat yang dipaparkan adalah bergantung kepada apa jenis muka jam yang dipilih. Saya mendapati proses menukar muka jam sedikit leceh di sini. Ia berikutan, prosesnya mengambil sedikit masa yang lama yang bergantung kepada saiz sesuatu muka jam tersebut. Selain itu, muka jam tersesuai turut boleh boleh dilakukan dengan pilihan yang mengikut cita rasa pengguna – termasuk memuat naik gambar sendiri.

Bateri :

Dengan bateri 200mAh, TicWatch GTX diiklankan dengan kemampuan ketahanan bateri sehingga 7 hari dalam mod penggunaan biasa atau sehingga 10 hari dalam mod penjimatan bateri. Ternyata ia bukan satu dakwaan yang tidak berasas. Sebaliknya, boleh dikatakan hampir tepat kerana dalam dunia nyata TicWatch GTX mampu mencapai penggunaan sekitar 6 hari untuk penggunaan biasa – termasuklah digunakan untuk mod penjejakan normal tanpa mengaktifkan mod sukan sepenuhnya.

Bagaimanapun, di sini juga terdapat sedikit komen yang saya ingin berikan. Di mana, tiada ikon peratus untuk bateri yang kelihatan – sama ada menerusi muka jam tangan atau aplikasi. Keadaan ini menimbulkan kesukaran kepada saya untuk mengagak dan mengenalpasti berapa peratus bateri yang tinggal. Sebaliknya, tiba hari keenam jam tangan ini dilihat terpadam dengan sendirinya.

Bagi mengecas jam tangan ini, terdapat panel pengecas magnetik yang mampu mengecas penuh TicWatch GTX ini dalam tempoh sekitar 2 jam. Pengecas magnetik yang disertakan berfungsi dengan baik. Tetapi, masih terdapat sedikit masalah di mana ia perlu diletakkan pada arah yang betul bagi membolehkan magnet ini melekat. Jika sebaliknya, ia pastinya tidak dapat digunakan dengan baik.

Kesimpulan :

Kesimpulannya di sini, TicWatch GTX sebenarnya lebih kepada penjejak kesihatan tetapi dalam bentuk jam tangan. Sebagai jam tangan pintar asas, ia dilihat mampu melakukan hampir kesemua fungsi asas dengan baik. Salah satu kekuatannya adalah pada hayat bateri yang boleh dikategorikan baik. Kelemahan pula terletak pada kemampuan menjejak kesihatan yang sekadar memuaskan. Kemudian, kekurangan pada GPS juga membuat prestasinya sedikit terjejas.

Ia bagaimanapun sebenarnya sesuai dijadikan satu pilihan yang baik bagi pengguna yang ingin mencuba atau baru mahu berjinak-jinak dengan peranti boleh-pakai. Atau mereka yang sudah biasa dengan gelang pintar tetapi ingin berubah angin menggunakan penjejak kesihatan dalam bentuk jam tangan pula. Harganya yang ditawarkan juga berpadanan dengan kualiti. Di Malaysia, TicWatch GTX dijual pada harga RM269 seutas. Sebagai alternatif, anda juga boleh dapatkan Amazfit Bip U Pro atau Xiaomi Mi Watch Lite.

Pro

  • Binaan yang baik, selesa digunapakai.
  • Harga rendah dan mampu-milik.
  • Menjalankan fungsi asas dengan lancar.
  • Ketahanan bateri baik.
  • Tali boleh ditukar dengan mudah.
  • Pelindungan kalis air IP68.

Kontra

  • Fungsi asas dan tiada sokongan aplikasi tambahan.
  • Tiada WiFi terbina, terhad kepada Bluetooth.
  • Tiada sokongan GPS.
  • Pengecas dermaga khusus.
  • Sistem getaran kurang memuaskan.
  • Tiada keupayaan membalas untuk notifikasi diterima.


✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz

🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻‍♀️ Enjoy Surfing!



No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.