Ketahuilah mengapa mereka marah
Hari ini 4 Syawal. Masih boleh ucapkan Selamat Hari Raya buat semua. “Selamat” di sini bukan seperti ucapan Selamat Tahun Baru atau lain perayaan. Bukan juga untuk hari lahir, hari ibu, dan sebagainya. Selamat Hari Raya ini bukan diterjemah sebagai “Happy Hari Raya”.
Sebaliknya ketika Covid-19 terus mengganas, selamat ialah “literally” selamat. Selamat dalam erti kata selamat. Maksudnya sambut Hari Raya dalam keadaan selamat. Ucapan yang membawa harapan agar kita semua selamat atau diberi keselamatan dan perlindungan Yang Maha Esa semasa menyambut Hari Raya diancam Covid-19.
Bukan bermakna tidak ada “happy” atau kebahagiaan Hari Raya ini. Memang ada bahagia khususnya untuk meraikan kemenangan setelah menjalani ujian pada Ramadan yang baru berlalu. Cuma ia berlainan daripada tahun lalu. Apa lagi tahun-tahun sebelumnya.
Hari Raya ini wabak Covid-19 lebih mencemaskan berbanding ketika kita sambut Raya tahun lalu walaupun ketika itu pun Covid-19 sudah melanda. Kini rakyat bukan sahaja cemas dan bimbang malah marah. Bila disebut “rakyat” ia merangkumi semua termasuk orang Melayu.
Dalam konteks Hari Raya ramai orang Melayu sedang marah. Mengapa? Adakah kerana PKP?
Kata Perdana Menteri keputusan melaksanakan PKP perlu dibuat meskipun ia bukan langkah popular. “Ada yang marah kepada saya, kenapa ambil tindakan begini ketika umat Islam nak sambut 1 Syawal. Sudahlah tak boleh balik kampung nak ziarah keluarga dan sahabat handai pun tak boleh. Zalim sangatkah kerajaan ini? Saya bukan zalim. Saya ambil keputusan ini untuk lindungi nyawa saudara-saudari”. Begitu kata Muhyiddin Yassin.
Orang Melayu dicorakkan sebagai orang yang merajuk dan tersentap jika tidak dapat balik kampung untuk beraya seperti meraikannya sejak turun-temurun. Benar, ada orang Melayu berperasaan sedemikian.
Namun kebanyakan Melayu marah bukan kerana tidak dapat balik kampung. Untuk berkata mereka marah sebab tak dapat balik kampung meremehkan mereka. Itu bagi saya tidak adil.
Umumnya Melayu tahu akan bahaya merebaknya Covid-19. Umumnya Melayu tahu PKP itu perlu. Tetapi mereka tetap marah. Mengapa?
Lihat sahaja rungutan dan pencurahan perasaan terutama di platform media sosial. Kita, atau lebih tepat lagi, Muhyiddin serta kerajaannya akan tahu apa yang mencetuskan kemarahan itu.
Mereka (seperti juga komuniti lain negara ini) marah terhadap cara kerajaan pimpinan Muhyiddin menangani wabak ini. Marah dengan kekerapan pusingan U dan peraturan berubah-ubah.
Bukan mereka tidak tahu peraturan dan SOP diubah mengikut keadaan seperti yang dinyatakan Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob. Tetapi apabila percanggahan kenyataan dikeluarkan sesama menteri, ia membingungkan dan menyusahkan. Lantas mereka marah.
Tidak perlu diperinci apa pusingan U, percanggahan, dan kontradiksi yang dimaksudkan kerana semua sudah maklum, dan ia masih berlaku. Kesimpulannya bukan peraturan ketat yang menyakiti rakyat serta ekonomi tetapi ketidaktentuan dasar yang lebih menyeksakan.
Kerajaan dilihat bagai hilang punca dan tidak menunjukkan kepimpinan atau “leadership”.
Orang Melayu juga marah ke atas apa yang disifatkan sebagai peraturan atau hukuman dua darjat. Satu untuk kau satu untuk aku. Hukuman berbeza-beza bagi golongan yang melanggar SOP. Golongan kayangan, kata mereka, dapat keistimewaan.
Wujud persepsi VIP, artis, selebriti lepas dengan hukuman ringan manakala Melayu biasa atau marhaen dihukum keras.
Marah juga mereka apabila golongan Kayangan tadi kali ini bersama ustaz dan penceramah agama popular bebas merentas negeri untuk menghadiri upacara dan jamuan. Begitu juga menteri-menteri yang terbang ke Timur Tengah atas alasan tugas rasmi dan pada masa sama mendirikan umrah. Semua ini ketika Melayu biasa diarah duduk diam-diam di rumah.
Antara mereka, Azmin Ali. Apabila beliau pulang ke tanah air, ada yang ragu sama ada beliau dikuarantin atau tidak. Dikuti pula dengan gambar Azmin beraya beramai-ramai dengan anggota keluarganya bawah satu bumbung, membuatkan ramai bertanya adakah si menteri melanggar SOP Aidilfitri?
Benar polis menegaskan tiada SOP yang dilanggar kerana semua mereka tinggal serumah, dan Azmin akan tetap dipanggil untuk disoal siasat. Namun ia tidak meredakan kemarahan.
Apabila Rina Harun, seorang lagi menteri, berlakon sebagai “rider” Foodpanda dalam video untuk menyampai mesej raya, Melayu meluat. Getik, bak kata Melayu Perak.
Bercakap mengenai video, tentu ramai sudah tontoni video dua peniaga wanita Melayu yang marah bercampur sedih apabila mereka yang pada mulanya dibenarkan meneruskan perniagaan di bazar Ramadan untuk beberapa hari lagi menjelang Syawal tetapi kemudian diarah berhenti perniagaan serta merta. Kesimpulannya mereka kerugian wang.
Bagi saya, dua wanita tersebut melambangkan Mak Cik Kiah yang dilaungkan Muhyiddin tahun lalu. Mak Cik Kiah lambang orang Melayu susah yang keras berusaha untuk kelangsungan hidup mereka dan keluarga. Mak Cik Kiah sekarang bagai sudah dilupakan.
Bazar Ramadan dikaitkan dengan aspek negatif waktu wabak ini. Pun begitu perlu diingat keizinan bazar Ramadan dibuka diberi kerajaan sendiri. Benar kerajaan mahu menolong peniaga kecil mencari rezeki.
Tetapi sepatutnya kerajaan mempunyai kemampuan untuk menjangka risiko atau potensi tidak menyenangkan yang boleh timbul sebelum bazar dibenarkan dibuka. Lagi pun banyak pihak ada memberi pandangan dan nasihat.
Menyalahkan peniaga atau rakyat secara am apabila keadaan menjadi buruk tidak harus dilakukan.
Pengunjung juga kerap dipersalahkan. Tetapi kerajaan sendiri berkata bazar Ramadan diperlukan untuk menggerakkan ekonomi. Lalu jika tiada pengunjung apa makna bazar Ramadan dibuka? Bagaimana ekonomi dijana? Begitu juga keadaannya dengan pembukaan “shopping mall” dan sebagainya.
Kini ramai yang bertanya apa bentuk bantuan untuk rakyat bagi meringankan beban akibat PKP 3.0. Mereka tanya mengenai moratorium dan sebagainya. Bekas perdana menteri Najib Razak menonjolkan laporan akhbar Straits Times Singapura bahawa ramai dalam kalangan golongan B40 Malaysia mengadu mereka amat susah dan tertekan menghadapi PKP 3.0 tanpa bantuan kerajaan setelah habis simpanan sejak PKP 1.0.
Dikatakan mereka tidak nampak hujung dengan PKP demi PKP demi PKP dilaksanakan. Menurut Najib, menteri-menteri kerajaan kata PKP 3.0 tak beri kesan besar kepada ekonomi.
Bertanya juga Melayu mengenai proses vaksin yang lembab. Yang sudah mendapat suntikan pertama bimbang keberkesanan suntikan akan lupus sebelum dos kedua diterima. Bagi yang belum menerima sebarang dos vaksin, penantian suatu yang membimbangkan.
Banyak lagi rungutan yang kita dengar dan lihat. Tetapi cukuplah setakat ini. Jika dihuraikan berjela-jela jadinya artikel ini. Lagi pun kita semua tahu kisahnya.
Beralih sambutan Raya tahun ini. “Pesta” bunga api luar biasa pada malam Raya di beberapa tempat khususnya di Kuala Lumpur boleh dilihat sebagai satu bentuk protes. Seakan-akan ada Melayu berkata “tak bagi balik kampung kami beraya besar-besaran di bandar dengan cara bingit begini”. Tetapi melontar mercun ke atas polis seperti yang berlaku di Sentul memang keterlaluan.
Di Parit Raja, Johor memang ada protes. Ada “rusuhan” menurut laporan. Tidak perlu dihuraikan. Cukup jelas protesnya. Ada kain rentang “Kerajaan Gagal” terpampang.
Bagi anggota Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi, kerajaan dan pemimpin perlu memikirkan mengapa pada Hari Raya pertama ada rakyat yang sanggup melakukan perkara tersebut – dan jangan “fikir soal nak tangkap mereka”.
“Bukan itu sahaja, ada yang berhari raya di lebuh raya sambil tayang sepanduk Kerajaan Gagal,” kata beliau. “Rakyat” yang dirujuk Puad ialah orang Melayu. Selain sepanduk yang diperkatakan beliau ditayang oleh orang yang beraya di lebuh raya ialah “buka Parlimen” dan “tamat darurat”. Adalah dipercayai sepanduk itu dibawa golongan “non-political”. Atau orang bukan ahli parti politik. Maksudnya rakyat biasa.
Di media sosial tanda pagar #KerajaanGagal sedang “trending”. Di media sosial juga kita lihat ada hantaran yang mengajak semua berdoa agar Allah menghentikan wabak Covid-19 secepat mungkin supaya PRU15 dapat diadakan segera.
Rata-rata hantaran dibuat orang Melayu. Muda. Kebanyakannya “working class”. Sebahagian besar orang Melayu dahulunya mengalu-alukan kerajaan Perikatan Nasional yang dilihat sebagai kerajaan Melayu-Islam. Cara Perikatan Nasional mengambil alih kuasa tidak dipedulikan sangat. Kerana ini pentadbiran Melayu-Islam. Itu sudah memadai. Sokongan Melayu diperlukan Perikatan Nasional untuk kekal berkuasa. Itu semua maklum.
Namun Melayu sudah marah, dan makin marah. FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment