5G Kini Di Malaysia – Ini Adalah Pengalaman Kami Menggunakannya Di Sekitar Putrajaya
5G (Fifth Generation) merupakan teknologi sambungan tanpa wayar generasi kelima dan kewujudannya adalah untuk mengurangkan segala isu yang berlaku pada rangkaian 4G sedia ada. Ia juga telah mula ditawarkan secara rasminya di Malaysia sejak 15 Disember yang lalu. Namun begitu, penawarannya masih agak terhad buat masa ini. Di mana, ia hanya melibatkan beberapa lokasi di sekitar Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur. Ia bagaimanapun akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi mencapai sasaran 80% populasi negara boleh menikmatinya menjelang tahun 2024 kelak.
Berkongsi lebih lanjut mengenainya, TM dan YTL adalah antara syarikat telekomunikasi terawal yang menawarkan rangkaian 5G di Malaysia. Namun, setakat ini hanya pihak YTL sahaja yang dilihat hadir dengan penawaran pelan 5G. Mereka menawarkan pelan tersebut secara percuma sehingga 31 Mac 2022 kelak, dimana mereka mungkin akan memperkenalkan pelan 5G khusus selepas tempoh percuma ini. Melaluinya, terdapat beberapa pelan yang disediakan. Antaranya seperti YES Prepaid FT5G Unlimited RM30/bulan, Yes Postpaid FT5G RM49/bulan dan YES Postpaid FT5G RM99/bulan.
Sehubungan dengan itu, kami di Amanz berpeluang mencuba sendiri bagi melihat sejauh mana kebolehan 5G ini. Kami telah memilih beberapa lokasi sekitar Putrajaya sebagai tempat ujian. Mengapa Putrajaya? Kami merasakan Putrajaya sebagai pilihan yang baik kerana keberkesanan ujian pelaksanaan 5G sebelum ini kebanyakannya dijalankan di kawasan ini.
Kemudian, peranti pintar yang digunakan pula adalah Xiaomi Mi 11 dan Oppo Reno6 Z yang lengkap dengan SIM 5G daripada YES. Sebagai makluman, pelan yang digunakan adalah YES Prepaid FT5G Unlimited RM30. Akhir sekali, beberapa platform pengendali ujian kepantasan Internet seperti Ookla dan Fast.com turut digunakan untuk semakan kelajuan Internet.
Dapatan kajian yang diperolehi jelas menunjukkan kelajuan Internet adalah berbeza-beza dan belum stabil buat masa ini. Rangkaian 5G di Malaysia boleh mencapai sehingga 1Gbps, tetapi ia sangatlah bergantung kepada sesebuah lokasi. Ini bermaksud, anda tidak semestinya boleh menikmati kelajuan Internet yang sama meskipun berada di kawasan semasa yang menyokong 5G.
Misalnya, kami memulakan ujian di sekitar restoran McDonald di Putrajaya Presint 2. Bagi bacaan di Ookla, ia menunjukkan kelajuan purata muat turun 727Mbps dan muat naik 82.5Mbps. Masa pendam pula adalah hanya 19ms. Sementara itu, bacaan di Fast.com pula menunjukkan kelajuan purata muat-turun 730Mbps dan muat-naik 25Mbps. Masa pendam yang dicatatkan pula hanya 27ms.
Pada masa sama, kami juga dapat menstrim kandungan video dalam resolusi 4K di YouTube dengan lancar tanpa buffering dan terhenti sewaktu berada berada di lokasi ini. Kemudian, kami juga sempat memuat-turun serta memasang beberapa permainan mudah-alih di Play Store seperti Genshin Impact dan PUBG Mobile. Proses memuat-turun kedua-dua aplikasi memakan masa sekitar 40 saat mengikut kiraan manual menggunakan pemasa. Ini bagaimanapun tidak termasuk proses muat-turun permainan itu sendiri, tetapi kami mendapati kelajuan muat-turun purata untuk Genshin Impact adalah kira-kira 7000KB/s kerana ini ialah had pelayan permainan itu sendiri. Ini juga isu apabila cuba mengemaskini peta, tekstur dan model 3D untuk OCD Mobile yang pasti ramai tahu bersaiz agak besar tetapi menghadkan kelajuan muat turun kepada pemain. Masih di tahap yang boleh diterima, tetapi kami berpendapat ia sepatutnya adalah lebih laju kerana penggunaan 5G.
Seterusnya, kami bergerak ke Istana Kehakiman Putrajaya yang terletak di Presint 3 pula bertentangan dengan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Di kawasan ini pula, Internet mencatatkan kelajuan purata muat 928Mbps, muat naik 146Mbps dan masa pendam 18ms menggunakan Ookla. Sementara itu, bacaan di Fast.com pula mencatatkan purata kelajuan muat turun yang lebih tinggi mencapai 1.8Gbps, muat-naik 53Mbps dan masa pendam 31ms.
Apa yang dapat dilihat, kedua-dua lokasi tadi menunjukkan bacaan kelajuan internet yang sangatlah memuaskan. Tetapi, keadaan ini tidak pula berlaku di lokasi ketiga kami iaitu Masjid Putra Putrajaya kerana bacaan langsung tidak boleh melangkau 100Mbps. Di mana, bacaan di Ookla merekodkan kelajuan muat turun 65.9Mbps, muat naik 39.7Mbps dan masa pendam 42ms. Sementara itu, bacaan di Fast.com pula menunjukkan kelajuan muat turun 43Mbps, muat-naik 34Mbps dan masa pendam 46ms.
Berbalik kepada beberapa perenggan di atas, kami ada mengatakan kelajuan Internet adalah bergantung pada lokasi. Secara teorinya, rangkaian 5G di Malaysia boleh mencapai 1Gbps, tetapi ia adalah bergantung pada beberapa faktor seperti lokasi dan kebarangkalian jarak dengan tiang jaringan 5G. Di samping itu, dapatan kajian kami juga menunjukkan rangkaian 4G LTE YES di sekitar Putrajaya berada di tahap yang kurang memuaskan berbanding
5G. Seperkara lagi, anda perlu tahu yang mana rangkaian 5G ini hanya boleh digunakan untuk akses data Internet sahaja buat masa ini. Untuk sokongan panggilan suara pula, ia akan berubah secara automatik kepada rangkaian 4G LTE sewaktu ianya dibuat.
Jadi bagaimanakah kelajuan internet 5G di Malaysia setakat ini? Menurut laporan SpeedCheck.org pada bulan Julai yang lalu, Korea Selatan mempunyai rangkaian terpantas dengan kelajuan purata 499.31 Mbps .Ia jauh meninggalkan Taiwan yang di tangga kedua yang hanya menawarkan kelajuan purata 5G 135.36 Mbps dan UK di tangga ketiga dengan kelajuan 126.49 Mbps. Negara Asia Tenggara dengan kelajuan 5G tertinggi ialah Singapura (47.42 Mbps) diikuti oleh Thailand (37.5 Mbps). Malaysia memulakan era 5G dengan kelajuan yang baik setakat ini tetapi ujian sebenar akan hanya berlaku apabila 5G digunakan oleh lebih banyak pengguna.
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment