Ulasan Huawei Watch GT3 – Tahan Lasak Dan Tahan Bateri Dengan Harmony
Huawei Watch GT3 dilancarkan di Malaysia bulan lalu, selang hanya empat bulan selepas Watch 3 Pro mula dijual di Malaysia. Seperti biasa apabila jam tangan pintar baharu dilancarkan, ramai ingin mengetahui apakah pembaharuan yang dilakukan dan soalan paling penting perlu dijawab ialah adakah di berbaloi untuk dibeli.
Dalam hal Watch GT3, ini ialah persoalan yang menarik untuk dijawab memandangkan harga jualannya yang lebih mampu mili. Apa yang ditambah dan apa pula yang mungkin tidak disertakan pada jam tangan yang turut menggunakan HarmonyOS 2.0?
Spesifikasi Dan Rekaan
Huawei Watch GT3 46mm | |
---|---|
Skrin | 1.43″ AMOLED, 466 x 466 pixel |
Pemproses | ? |
Cip | Dua teras |
Cip Grafik | ? |
RAM | 32MB RAM |
Muatan Dalaman | 4GB |
Sistem Operasi | HarmonyOS 2.0 |
Sensor | GPS, pengimbas nadi, girometer, accelerometer, barometer, SpO2, suhu badan. |
Bateri | 455 mAh |
SIM/Telefoni | Tiada/Bluetooth |
Pemain Muzik | Ya |
NFC | Ya |
Pembesar Suara | Ya |
Kalis Air | 5 ATM |
Harga Jualan | RM 1099 |
Skrin
Skrin masih lagi bulat seperti jam-jam tangan Huawei Watch sebelum ini. Ia bersaiz 1.43″ dari keluarga AMOLED dengan resolusi 466×466 pixel yang. Ini ialah saiz yang sama dengan Watch 3 Pro yang kami ulas di awal tahun. Terdapat versi 42mm yang lebih kecil tetapi kami hanya mendapat akses kepada model 46mm sahaja setakat ini. Sekilas pandang tiada perbezaan ketara dapat dilihat pada teknologi skrin.
Skrin ratanya terang, jelas dan mudah dilihat walaupun di bawah cahaya matahari yang terik. Kerana spesifikasi skrin yang sama, kami merasakan ia adalah skrin Watch 3 Pro yang digunakan semula. Ini perkara positif kerana skrin Watch 3 Pro tidak mendatangkan masalah kepada kami semasa mengulasnya.
Isu yang ada mungkin hanyalah ianya skrin yang besar jika dibandingkan dengan Galaxy Watch4 44mm yang kami ulasan sebelum ini tetapi tanpa sebarang perlindungan. Pada jam tangan Samsung, bezel berputar bukan sahaja berfungsi sebagai butang navigasi tetapi juga melindungi skrin dari sebarang bentuk hentakan secara terus. Ini ialah isu yang turut kami hadapan apabila menggunakan Apple Watch.
Saiz permukaan skrin yang besar mengundang sedikit kerisauan. Tidak seperti Galaxy Watch4, jenis kaca yang digunakan pada Watch GT3 juga misteri. Adakah ia masih lagi Corning Gorilla atau DX yang lebih tahan lasak? Misteri ini sedikit sebanyak membuatkan kami lebih berhati-hati dengan jam tangan ini berbanding jam tangan pintar lain yang pernah digunakan.
Perkakasan
Selain misteri mengenai jenis kaca yang digunakan pada muka jam, misteri lebih besar terletak pada cip pemproses yang digunakan. Pada tahun-tahun sebelum ini, Huawei menggunakan cip Kirin keluaran sendiri tetapi seperti kita sedia maklum, pengeluaran cip Kirin terjejas selepas sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat. Adakah ia cip yang sama dengan Watch 3 Pro? Kami tidak tahu. Misteri ini hanya akan terjawab sekiranya peranti dibongkar tetapi dengan kami hanya mendapat peranti pinjaman, kami tidak boleh melakukan pembongkaran seperti iFixit.
Cip misteri dipadankan pula dengan memori sebesar 32MB dan storan sebesar 4GB. Peningkatan mendadak dilakukan pada kedua-dua spesifikasi ini dilakukan. Pada Watch GT 2 Pro, hanya 32MB RAM dan storan 4GB dibekalkan pada jam tangan pintar ini. Dengan rekaan yang sama dengan GT2 Pro dan spesifikasi yang lain juga sama, perubahan hanya dilakukan pada pemproses, sensor-sensor dan sistem operasi sahaja.
Storan yang agak besar ini perlu bagi membolehkan ia memuatkan lebih banyak lagu untuk didengari tanpa sokongan telefon pintar dan memuat turun aplikasi dari App Gallery yang terbina dalam Huawei Health. Jumlah aplikasi masih lagi terhad pada waktu ini.
Sebagai sebuah jam tangan pintar, GT3 dilengkapi pelbagai sensor standard seperti pengesan nadi, pengesan SpO2 (oksigen dalam darah), accelerometer, girometer, barometer, GPS, dan suhu. Unik sekali terdapat sensor mengesan suhu kulit secara aktif secara berterusan dan SpO2 secara berterusan. Ini adalah ciri yang amat penting ketika pandemik kerana kedua-duanya bacaan yang boleh digunakan untuk menunjukkan simptom jangkitan Covid-19.
Satu ciri yang juga tidak disokong jam tangan pinta ini ialah ECG. ECG adalah ciri penting yang membuatkan Apple Watch menjadi jam tangan pintar paling laris di pasaran dunia sekarang menurut IDC. Setakat ini hanya Apple Watch sahaja menyokong ECG di Malaysia dengan Galaxy Watch4 pula belum mengaktifkannya. Bagi sebuah jam tangan pintar di tahun 2021, ketiadaan sokongan ECG adalah amat dirasai kerana ia ciri yang terbukti dapat menyelamatkan nyawa apabila jantung tidak berdegup dengan normal.
Seperkara lagi yang tiada ialah sokongan eSIM dan akibtnya peranti hanya dijual dalam model bluetooth. Sokongan panggilan telefon hanya boleh dilakukan apabila GT3 ditambat pada sebuah telefon pintar Huawei.
Rekaan
Rekaan Watch 3 Pro adalah amat premium dan kontemporari. Akhir-akhir ini rekaan yang lebih menyerupai jam tangan konvensional kembali popular. Tubuh logam titanium yang tegap dipadankan dengan tali jam berkulit asli membuatkannya sesuai dipakai untuk acara formal ataupun pejabat (jika pejabat anda masih dibuka ketika sekatan penuh ini). Tubuhnya adalah tebal dengan panel belakang pula diperbuat daripada bahan seramik. Mungkin ada yang mengatakan jam tangan ini terlalu “gemuk” tetapi kami secara peribadi sangat suka dengan rekaannya kerana terasa sedap di tangan.
Tali kulit tidak mendatangkan kegatalan pada pergelangan tangan seperti sesetengah tali silikon yang pernah kamu gunakan. Jika ia terlalu format, pengguna boleh menggantikannya dengan tali jam biasa yang dijual di pasaran memandangkan ia menggunakan mekanisme yang sama. Anda tidak perlu bergantung kepada Huawei untuk pilihan tali jam yang ingin digunakan.
Namun begitu harus diakui Watch 3 Pro adalah sebuah yang amatlah besar dan berat. Lebih besar berbanding OnePlus Watch yang menerima kritikan hebat beberapa bulan lalu kerana saiznya. Oleh sebab yang sama kami tidak selesa memakainya ketika tidur sehingga membuatkan ciri mengesan tidur langsung tidak sempat kami gunakan. Berat sangat sehingga mengganggu tidur.
Kami boleh katakan Watch 3 Pro ini hanya sesuai dipakai oleh individu berbadan besar yang ingin kelihatan maskulin. Hanya Amazfit T-Rex yang kami ulas sebelum ini mempunyai tubuh yang lebih besar serta agresif rekaannya.
Penggunaan Dan Perisian
Walaupun sistem operasi HarmonyOS 2.0 menggantikan Lite OS yang digunakan sebelum ini, GT3 masih boleh digunakan pada peranti Android dan iOS menerusi aplikasi Huawei Health. Kami melakukan ujian menggunakan sebuah Huawei P30 Pro, Huawei P50 Pro dan Samsung Galaxy S21 Ultra bagi melihat perbezaan menggunakan tiga sistem operasi serta pelancar yang berbeza. Untuk sokongan ciri-ciri dan perisian yang paling lancar, Huawei menyarankan anda menggunakan GT3 dengan peranti yang menggunakan HarmonyOS.
Proses menambah adalah amat mudah. Sejurus selepas diaktifkan, GT3 akan memaparkan kod QR yang boleh diimbas menggunakan sebarang pengimbas kod QR pada telefon pintar. Pada Galaxy S21 Ultra yang tidak mempunyai aplikasi Huawei Health secara terpasang, kod QR terus memberikan pautan memuat turun aplikasi terus dari laman Huawei dan kemudian dipasang secara sideloading. Ini ialah ciri yang seingat kami tidak disokong sebelum ini.
Ramai mungkin tidak menyedari aplikasi Huawei Health di Google Play Store tidak ditawarkan dalam versi terkini dan akibatnya GT3 tidak boleh ditambat. Mengimbas kod QR ialah cara paling mudah untuk mendapatkan versi terkini aplikasi pada waktu ini. Proses menambat jam ke telefon pintar mengambil masa sekitar 5 minit bergantung kepada jumlah data sandaran yang mungkin pernah disimpan di Huawei Cloud.
Penggunaan jam tangan adalah amat mudah. Tombol berputar boleh ditekan untuk melancarkan talam aplikasi. Tekan dua kali untuk melancarkan skrin multi-tugas. Kali ini aplikasi disusun dalam bentuk grid yang amat mirip watchOS. Walaupun kami adalah pengguna Apple Watch, susunan aplikasi seperti ini adalah kurang mesra pengguna kerana hanya memaparkan ikon aplikasi. Tiada nama yang memberitahu fungsinya. Pada hemat kami sistem paparan aplikasi pada Lite OS dahulu adalah lebih mesra pengguna.
Butang fizikal kedua yang lebih besar boleh diprogramkan ke satu aplikasi sahaja. Kami memprogramkannya untuk melakukan panggilan telefon. Majoriti proses navigasi pada HarmonyOS 2.0 adalah menggunakan tatalan skrin. Tatal ke kanan untuk kembali ke skrin asal. Tatal ke kiri pula untuk akses pantas ke ciri seperti mengambil bacaan nadi, suhu badan, pola tidur dan SpO2. Pilihan akses pantas adalah terhad.
Kekurangan kustomasi ini mungkin berkait dengan jumlah aplikasi yang masih terhad. GT3 mempunyai App Gallery khusus untuk aplikasi jam tangan pintar sahaja. Terdapat 13 muka jam diberikan secara terpasang tetapi terdapat lebih dari 100 muka jam percuma boleh dimuat turun menerusi aplikasi Huawei Health. Selain itu terdapat ratusan lagi muka jam berbayar jika apa yang diberikan secara percuma tidak memenuhi citarasa peribadi anda. Pilihan yang diberikan pada waktu ini adalah setanding dengan Wear OS dan jauh lebih baik berbanding watchOS.
Harmony OS 2.0 pada GT3 menunjukkan beberapa penambahbaikan berbanding pengalaman kami menggunakannya pada Julai lalu. Lebih banyak muka jam dan operasi juga terasa lebih lancar. Satu kekurangan yang masih wujud ialah jumlah sokongan aplikasi yang masih sedikit. Ketika artikel ditulis hanya 29 aplikasi boleh dimuat turun. Pada Wear OS, Tizen Wearable dan watchOS terdapat ratusan aplikasi. Huawei hanya baru-baru ini membenarkan pemasangan aplikasi pada telefon pintar mereka dan usaha menambah aplikasi perlu dilakukan untuk bersaing dengan jam tangan pintar lain.
Penjejakan Kesihatan
Penjejakan kesihatannya adalah amat baik untuk aktiviti-aktiviti yang kami lakukan semasa PKP. Larian dijejak dengan tepat lengkap dengan menunjukkan kadar nadi tertinggi dan kadar nadi rehat. Pergerakan turun naik tangga juga dikesan secara automatik dengan graf yang dipaparkan dalam Huawei Health mudah difahami. Kami ingin menguji sistem mengesan aktiviti automatik yang diiklankan tetapi gimnasium kondo ditutup bersama dengan kolam renang. Oleh itu kami tidak boleh katakan kami benar-benar menguji keseluruhan sut yang ditawarkan.
Ciri penjejakan SpO2 secara berterusan adalah menarik dan amat berguna dalam dunia pandemik ini. Semasa mengulas GT3, kebetulan saya diserang penyakit batuk teruk yang pada awalnya disangka Covid-19. Penjejakan berterusan mengesahkan kapasiti oksigen dalam darah adalah sentiasa normal dan paru-paru kami tidak mengalami sebarang jangkitan. Tiada kerisauan dalam masa empat hari pertama ujian PCR dilakukan di rumah sebagai langkah berjaga-jaga. Ini mungkin kali pertama sejak kami bertugas di Amanz sebuah peranti diuji memberikan impak kepada diri secara terus.
Telefoni dan GPS
Panggilan telefon boleh dilakukan menerusi tambatan pada sebuah telefon pintar Huawei. Penggunaannya adalah amat mudah dan sama sahaja seperti pada jam tangan pintar yang lain. Kami memprogramkan butang sisi besar untuk melakukan panggilan telefon. Tekan butang, pilih nombor dan tekan. Semudah itu panggilan telefon dapat dilakukan.
Panggilan adalah jelas dan lantang. Isu hanyalah kerana speaker yang kuat, mudah perbualan diintip oleh individu yang berada berhampiran. Secara peribadi kami hanya menggunakan ciri menjawab telefon ketika memandu. Satu kekurangan paling ketara pada GT3 ialah tiada langsung sokongan eSIM tidak seperti Watch 3 Pro yang kami ulas pada Julai lalu. Seperkara lagi ialah sokongan menjawab panggilan telefon ini hanya disokong pada peranti Huawei sahaja setakat. Apabila jam ditambat kepada peranti Android, ciri ini tidak boleh digunakan sama sekali.
GPS memberikan prestasi pengesanan aktiviti sukan dan lokasi dengan baik. Ia dapat mengesan larian yang dilakukan di dalam kawasan parkir tempat kediaman walaupun ia berbumbung. Setanding dengan data yang dijejak oleh Apple Watch yang kami gunakan.
Bateri
Dengan bateri 455 mAh, Huawei menjanjikan penggunaan bateri sehingga 14 hari pada penggunaan ringan dan 8 hari pada penggunaan yang lebih berat. Ini adalah jauh lebih baik berbanding jam tangan pintar premium seperti Galaxy Watch4 dan Apple Watch Series 6 yang hanya mampu bertahan sekitar dua hari sahaja. Isu utama kami semasa mengulas jam tangan pintar ialah kekerapan ia perlu dicas. Secara purata kami hanya perlu mengecas GT3 setiap 10 hari dan ini amatlah menyenangkan kepala.
Menyenangkan kerana jika melakukan tugasan di luar rumah selama beberapa hari, kami tidak perlu membawa pengecas. Satu lagi kabel yang tak perlu disumbat ke dalam bagasi yang kemudiannya mungkin tertinggal di bilik hotel. Kabel pengecas GT3 adalah dari jenis bermagnet yang mencengkam jam dengan kuat. Pengecas Qi juga boleh digunakan jika anda tidak mahu menggunakan pengecas yang disertakan. Waktu diambil untuk mengecas semula jam adalah sekitar 80 minit.
Hayat bateri GT3 adalah amat baik bagi mereka yang malas atau culas mengecas setiap hari. Satu-satunya jam tangan pintar yang mampu memintas prestasi baterinya ialah Amazfit T-Rex yang boleh bertahan sehingga 21 hari.
Kesimpulan
Huawei Watch GT3 ialah model kemas kini untuk Huawei Watch GT2 tahun lalu dan sebenarnya tiada perbezaan ketara dari segi rekabentuknya. Malahan sekilas pandang perbezaannya adalah tidak begitu ketara dengan hanya skrin lebih besar dalam dilihat. Penambahbaikan dilakukan pada perkakasan, ciri penjejakan kesihatan dan sistem operasi yang digunakan.
Ia sebuah jam tangan pintar yang akhirnya menyokong aplikasi dengan beberapa puluh aplikasi boleh dimuat turun. Dengan HarmonyOS, jam juga terasa lebih lancar berbanding LiteOS. Ciri memantau SpO2 darah dan suhu tubuh sepanjang masa ialah ciri yang amat berguna di waktu pandemik ini. Sementara ciri penjejak kesihatan serta GPS pada jam tangan ini amat memuaskan setanding dengan jam tangan pintar lain yang telah kami uji sebelum in.
Kekuatan sebenar Watch GT3 ialah ketahanan baterinya sehingga 14 hari. Amatlah berguna kerana kami antara insan yang cukup malas mengecas bateri jam tangan sehari sekali. Kemasan jam tangan juga terasa amat premium walaupun dijual pada harga yang lebih mampu milik.
Kekurangan terletak pada sokongan yang terhad seperti tiada panggilan telefon jika jam tidak ditambat kepada peranti Huawei. Sokongan eSIM juga tiada. Namun begitu sebagai sebuah jam tangan pintar, ia mampu melalukan kesemua ciri yang lain dengan cukup baik.
Pada harga RM1099, Huawei Watch GT3 46mm ialah antara jam tangan pintar yang lebih mampu milik apabila dibandingkan dengan Watch 3 Pro, Apple Watch dan Galaxy Watch4. Jika anda memang menggunakan peranti Huawei sekarang, Watch GT3 ialah pilihan yang paling serasi. Bagi pengguna sistem operasi lain, ia masih sebuah jam tangan pintar yang baik tetapi dengan beberapa ciri tidak boleh diakses seperti melakukan panggilan telefon.
PRO
- Rekaan bergaya dengan kemasan yang terasa premium.
- Penjejakan kesihatan dan GPS yang tepat.
- Kemampuan kalis air sehingga 5 ATM.
- Sokong panggilan telefon pada peranti Huawei.
- Ketahanan bateri 14 hari yang cukup panjang.
KONTRA
- Memerlukan peranti HarmonyOS dan EMUI untuk penggunaan ciri penuh.
- Tiada sensor ECG.
- Sokongan aplikasi sedikit terhad.
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment