Imej Pengolokan Sony Xperia 1 IV 5G Tertiris Ke Arena Web
Rangkaian peranti Sony sering menawarkan pakej cukup menarik buat para pengguna, terutamanya kelompok peminat setianya. Ini termasuklah kebolehan kamera dengan kualiti pengimejan yang baik, di samping turut sama memberi tumpuan terhadap prestasi peranti yang memuaskan.
Bercakap lebih lanjut mengenainya, sebuah lagi peranti terkini Sony didapati tertiris dalam beberapa imej pengolokan tular. Dikenali dengan nama Sony Xperia 1 IV 5G, ia ditemui menerusi kemas kini terbaru si laman LetsGoDigital. Ia menunjukkan sebuah Sony Xperia 1 IV 5G dengan kemasan berwarna ungu dengan rekaan sisi tubuh yang kini rata dan berkotak.
Ia kemudiannya dipadankan dengan skrin hadapan tanpa sebarang lubang atau takuk, sebaliknya Sony memilih penggunaan dahi yang besar kemungkinan menempatkan kamera swafoto sebesar 8MP, pembesar suara dan pelbagai sensor. Saiz skrin dijangka sebesar 6.5-inci dengan nisbah aspek 21:9, di samping turut menyokong resolusi 4K, kadar segar semula 120Hz dan persijilan HDR. Tidak ketinggalan, penggunaan Corning Gorilla Glass Victus turut disertakan sebagai pelindungan daripada calar.
Turut kelihatan, Sony masih mengekalkan penggunaan pengimbas cap jari sisi yang terbina pada butang kuasa pada peranti. Selain, turut menempatkan butang laras audio di atasnya. Kalau perasan, terdapat satu lagi butang tambahan pada sisi yang sama. Dakwaan awal menjangkanya ia besar kemungkinan berfungsi sebagai butang untuk aplikasi kamera.
Seterusnya, slot untuk SIM boleh dijumpai pada bahagian bawah bersama dengan port sambungan USB-C dan pembesar suara. Peranti turut menyokong bicu audio 3.5mm yang boleh ditemui pada sisi atas. Sony juga dijangka memberikan bonus tambahan dengan menyertakan penarafan kalis air dan debu IP68 untuk lebih pelindungan.
Kemudian, sistem kuad-kamera turut kelihatan yang diletakkan dalam sebuah modul kamera berbentuk bujur. Ia kemungkinan dibekalkan dengan sensor 12MP + 12MP + 12MP, di samping kebolehan mod malam terbina yang lebih baik. Cip Snapdragon 8 Gen1 dengan padanan memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman mencapai 256GB turut digunakan. Seperti namanya, ia juga dijangka diperkenalkan sebagai sebuah peranti dengan rangkaian 5G yang sedia terbina.
Setakat diketahui, Sony Xperia 1 IV 5G dijangka diperkenalkan sekitar bulan hadapan. Namun begitu, Sony masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan tersebar ini. Maka dengan itu adalah lebih baik kita beranggapan ia masih di peringkat ura-ura terlebih dahulu.
Sumber : LetsGoDigital
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment