10 Teknologi Telefon Pintar Yang Dikorbankan Demi Kemajuan
Selamat Hari Raya Aidiladha – hari dimana kita memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim yang sanggup mengorbankan Nabi Ismail bagi menunjukkan kesetiaan beliau kepada arahan Allah. Di saat akhir Nabi Ismail digantikan dengan kambing dan keimanan Nabi Ibrahim berjaya dibuktikan. Sempena Hari Raya Korban ini, kami senaraikan 10 “pengorbanan” yang dilakukan oleh pengeluar peranti dengan memperkenalkan teknologi baharu ke pasaran. Adakah setiap pengorbanannya berbaloi? Hanya anda yang mampu menjawabnya.
1.Bateri Boleh Tanggal
Bateri boleh ditanggalkan ialah ciri yang menjadi kebanggaan pengguna Android di zaman awal perang telefon pintar dengan iPhone. Dengan adanya bateri yang boleh ditanggalkan, menjadi norma biasa membeli bateri kedua yang kemudian dipasang pada telefon selepas bateri pertama kehabisan caj.
Bateri boleh ditukar sendiri apabila menggelembung tanpa perlu ke kedai. Ciri bateri boleh ditanggalkan dikorbankan demi memberikan kemampuan IP68 pada peranti moden. Jika ciri bateri boleh ditanggalkan masih perlu bagi anda, siri Samsung Galaxy Cover adalah sebilanagn kecil peranti IP68 yang masih menawarkannya.
2.Speaker Stereo Hadapan
HTC One M7 ialah peranti yang memulakan trend speaker stereo yang menembak ke depan menggunakan teknologi BoomSound pada tahun 2013. Kemudian trend ini menjadi ikutan pengeluar lain sebelum dikorbankan demi mengeluarkan telefon pintar dengan skrin lebih besar tanpa bezel, dagu dan dahi yang besar. Adakah pengorbanan ini berbaloi? Bagi kami mungkin tidak kerana audio yang baik adalah lebih penting berbanding skrin 19:9 yang digunakan secara meluas
3.Antaramuka Android Berbeza Pada Peranti
Dalam banyak-banyak ciri yang dikorbankan, ini mungkin satu ciri yang kami tidak sedih tidak lagi berlaku. Hampir kesemua pengeluar yang menggunakan Android dengan GMS secara rasmi kini menggunakan pelancar yang rekaannya amat mirip dengan Android asli. One UI, ColorOS, OxygenOS, MIUI, Realme UI dan OriginOS adalah antara pelancar yang kini sudah hilang identiti asal. OriginOS dari Vivo misalnya tidak lagi mirip iOS semasa ia masih lagi menggunakan nama Funtouch OS.
Tetapi harus kita sedari tanpa HTC Sense, Samsung TouchWiz dan Sony Timescape, kita mungkin tidak akan mempunyai antaramuka Android sekarang. Banyak ciri menarik seperti Multi Window misalnya tidak dibangunkan oleh Google sebaliknya oleh pengeluar yang menggunakan lesen Android.
4.Papan Kekunci Fizikal
Papan kekunci fizikal pupus dari pasaran sekitar 2018 dengan Blackberry KEY2 LE. Blackberry sebagai pengeluar telefon pintar dengan papan kekunci fizikal sendiri telah menarik diri dari pasaran. Memang diakui peranti skrin sesentuh sepenuhnya adalah lebih berkemampuan untuk melalukan lebih banyak benda tetapi papan kekunci fizikal membenarkan proses menaip yang lebih pantas dan tampak.
5.Bicu Audio 3.5mm
Adakah anda rindu dengan bicu audio 3.5mm? Kami tidak kerana sudah berpindah sepenuhnya ke ekosistem aksesori audio nirwayar. Tetapi bicu audio masih mempunyai banyak kelebihan seperti tiada sela masa ketika sesi gaming, audio yang lebih baik dengan DAC dan tak perlu mengecas fon telinga/kepala setiap beberapa hari. Cucuk dan dengar terus tanpa kerisauan.
Tetapi selepas Oppo R5 memulakan trend membuang bicu audio pada tahun 2014, ia kemudian dipopularkan oleh iPhone 7 pada tahun 2016. Kini jarang sekali peranti mercu hadir dengan ciri yang dikorbankan demi menambah kapasiti bateri. Sony Xperia 1 IV dan ASUS ROG Phone 6 Pro adalah antara peranti mercu moden yang masih mempunyai bicu audio.
6. Radio FM/AM
Masihkah anda ingat dahulu sokongan radio adalah standard pada kesemua telefon termasuklah telefon pintar dan telefon seluar biasa. Tetapi sejak akhir-akhir ini radio tidak lagi diberikan serentak dengan pelupusan bicu audio 3.5mm. Aplikasi radio memerlukan fon telinga berwayar untuk berfungsi sebagai aerial. Tanpa aerial tiada lagi radio pada telefon pintar moden. Kerana pengorbanan ini, kita perlu menggunakan aplikasi untuk mendengar radio secara atas talian sekarang.
7.Pengecas Dengan Setiap Pembelian
Nothing ialah satu lagi syarikat yang tidak akan memberikan kepala pengecas pada telefon pintar pintar yang diberi. Seperti bicu audio, trend mengorbankan kepala pengecas ini dimulakan oleh Apple atas sebab ingin mengurangkan sampah elektronik. Samsung dan Xiaomi menyusul di belakang Apple walaupun pada awalnya membahan pesaing mereka di media sosial. Trend tiada pengecas dengan setiap pembeliam masa lagi di peringkat awal tetapi ia akan menjadi lazim dalam masa terdekat. Nikmatilah pengecas percuma selagi boleh.
8.Pemancar Infra Merah
Pemancar infra merah dahulunya adalah ciri standard pada peranti mercu Android. Dengan pemancar infra merah, melakukan prank mengubah saluran Astro di kedai mamak ketika gol hampir dijaringkan boleh dilakukan insan-insan yang nakal. Ciri ini dikorbankan pada majoriti peranti mercu moden bagi memaksa penggunaan teknologi internet benda. Semuanya hanya boleh dilakukan dengan internet sekarang. Jika anda masih memerlukan pemancar IR, sila beli peranti keluaran Xiaomi dan Huawei yang masih menyedari ia penting lebih-lebih lagi bagi mereka yang masih
9.Sokongan Kad MikroSD
Sokongan menambah storan menggunakan kad mikroSD diberikan pada peranti Android kerana semasa sistem operasi dilancarkan, peranti yang dilengkapi storan sebesar 4GB yang kecil. Kini storan 128GB sudah menjadi kebiasaan dan pengeluar mula mengorbankan sokongan kad mikroSD kerana dikatakan lebih perlahan berbanding storan UFS. Tetapi kami mempunyai teori konspirasi ia adalah untuk menggalakkan pengguna untuk membeli langganan storan awanan.
10. Bebola Navigasi
Bebola navigasi atau lebih popular dipanggil trackball adalah ciri yang dahulunya popular pada peranti Blackberry dan Android generasi awal. Ia disertakan bagi memudahkan pengguna melakukan navigasi menu dan juga melakukan pembetulan kesalahan menaip. Seperti papan kekunci fizikal, ia dikorbankan kerana skrin sesentuh semakin jitu mengesan sentuhan membuatkan. Google Nexus S yang dilancarkan pada tahun 2010 dengan sistem operasi Android 2.3 Gingerbread tidak lagi memerlukan trackball dan ciri ini pupus kerana tidak lagi disokong.
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment