Ulasan Samsung Galaxy A23 – Peranti Termurah Dengan OIS Dan Masih Mempunyai Radio
Siri Galaxy A terkenal dengan kemasan, kamera, kemampuan kalis air, sokongan bicu audio, sokongan kad mikro SD dan juga kemas kini perisian yang terbaik dalam kelasnya. Sebelum ini kami sudah mengulas Galaxy A53 dan Galaxy A73 yang menawarkan pakej lengkap pada harga yang mampu milik. Kemudian pada bulan Mac, Samsung menawarkan pula Samsung Galaxy A23 pada harga RM999 yang cukup kompetitif.
Ini menimbulkan persoalan sama ada peranti sub-RM1000 Samsung masih lagi mampu memberikan pengalaman yang baik ataupun dengan pengurangan kos isu akan timbul. Baiklah mari kita teruskan ulasan ini dengan bercakap mengenai spesifikasi dan rekaan Galaxy A23.
Spesifikasi Dan Rekaan
Samsung Galaxy A23 | |
---|---|
Skrin | 6.6″ TFT LCD, 1080 x 2408 pixel, 90Hz |
Pemproses | Snapdragon 680 4G (6nm) |
Cip | 4 X 2.4 GHz Kryo 265 Gold 4 X 2.5 GHz Kryo 265 Silver |
Cip Grafik | Adreno 610 |
RAM | 6GB LDPDR4x |
Muatan Dalaman | 128 GB (mikro SD 1TB) |
Kamera Utama | 50MP f/1.8, OIS (Sudut lebar) 5MP f/2.2 (Ultra sudut lebar) 2MP f/2.4 (Makro) 2MP f/2.4 (Kedalaman) |
Kamera Swafoto | 8MP f/22 |
Bateri | 5000 mAh Pengecasan berwayar 25W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 4G |
NFC | Tiada |
Bicu Audio | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari sisi |
Harga Jualan | RM999 (6/128GB) |
Pada hemat kami rekaan Galaxy A53 dan Galaxy A73 sudah cukup plastik dengan panel belakangnya mempunyai kemasan yang agak kasar supaya kelihatan seperti permukaan batuan slate. Tetapi pada Galaxy A23, penggunaan panel plastik berkilat kembali semula untuk mengurangkan kos. Kami bukan peminat panel belakang plastik berkilat kerana ianya licin tetapi sekurang-kurangnya pada Galaxy A23 ia tidak memerangkap kotoran minyak seperti magnet.
Walaupun diperbuat daripada plastik, tubuh masih terasa kukuh dan tidak rompong seperti yang kami temui di Galaxy A73 dan Galaxy S21 FE sebelum ini. Terasa sedap di dalam tangan kerana tubuh tidak terlalu nipis. Sebenarnya saiz tubuh Galaxy A23 hanya beberapa milimeter lebih tebal jika dibandingkan dengan Galaxy A73.
Perbezaan dapat dilihat di hadapan kerana skrin Galaxy A23 menggunakan panel TFT 6.6″ FHD dengan saiz bezel yang lebih tebal pada keempat-empat sisi. Bezel pada bahagian dagunya adalah lebih besar berbanding sisi yang lain membuatkan ia kelihatan kurang seimbang. Tetapi rekaan ini adalah normal pada peranti dalam kelas permulaan mampu milik. Panel yang sama sekadar menyokong kadar segar semula 90Hz.
Terdapat takuk pada bahagian atas untuk kamera swafoto. Dari segi kualiti skrin dapat dilihat kekurangannya berbanding Galaxy A73 dan A53 yang diulas sebelum ini. Paparan warna tidak secantik panel OLED serta di bawah matahari yang terang sedikit sukar untuk melihat apa yang dipaparkan pada skrin.
Seperkara lagi bucu yang lebih bulat pada bucu skrin membuatkan pengalaman menonton video dalam mod skrin penuh sedikit terganggu. Begitu juga dengan takuknya yang ketara. Ini ialah cabaran menggunakan peranti dengan panel yang lebih mampu milik kos pengeluarannya.
Pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan butang laras suara dengan rekaan memanjang. Pada butang kuasa yang sama terdapat pengimbas cap jari fizikal. Lokasinya ergonomik memudahkan proses menyahkunci peranti. Pengimbas cap jari ini juga pantas membaca cap jari sejurus selepas diletakkan di atasnya. Bagi yang tidak mahu menggunakan imbasan cap jari, sistem imbasan wajah disertakan tetapi tidak berfungsi dengan baik dalam kawasan yang gelap kerana tiada sistem pemancar infra merah.
Talam dwi SIM nano dan kad mikroSD sehingga 1TB terletak pada sisi kiri. Di bahagian bawah pula terdapat kekisi untuk sistem speaker mono, bicu audio 3.5mm dan port pengecasan USB-C. Pada Galaxy A23 boleh pula bicu audio diberikan oleh Samsung sedangkan ia dihapuskan pada Galaxy A73, A53 dan A33 tahun ini. Kekurangan hanyalah Galaxy A23 sekadar dilengkapi speaker mono.
Seperkara lagi yang tiada pada Galaxy A23 berbanding siri Galaxy A 2022 yang lain ialah ia tidak mempunyai sebarang piawaian kalis air. Kombinasi spesifikasi sederhana, kehilangan beberapa ciri standard Galaxy, dan bahan binaan yang lebih ketara plastik ialah sebab utama mengapa ia boleh dijual pada harga yang jauh lebih mampu milik.
Penggunaan Dan Perisian
Peranti menggunakan Android 12 dengan pelancaran One UI 4.1 yang setanding dengan yang digunakan pada siri Galaxy A73 dan S22. Apa yang anda dapat dengan One UI 4.1? Antaramuka yang minimalis dengan tidak banyak perubahan mendadak berbanding Android stok. Antaramuka juga lebih mudah digunakan dengan sebelah tangan kerana kedudukan ikon serta akses lebih mudah dengan beberapa ciri ketercapaian terbina.
Satu perkara yang menarik mengenai Samsung ialah majoriti ciri yang ada pada peranti kelas mercu mereka turut diberikan ke peranti kelas permulaan mereka. Jadi jurang ciri yang wujud tidaklah begitu besar.
Masih terdapat Edge Panel untuk mengakses aplikasi lebih pantas, memadankan dua aplikasi untuk melancarkannya dalam Multi Window secara serentak, Live Transcribe, Live Caption, Music Share, Smart View dan hab Device Control diberikan pada Galaxy A23.
Tetapi dari pengalaman kami menggunakan One UI 4.1, ia adalah antaramuka yang memerlukan RAM yang besar untuk beroperasi. Secara lalai Galaxy A23 dilengkapi 4GB RAM dengan 2GB RAM memori maya diaktifkan menerusi ciri RAM Plus. Ini adalah saiz RAM yang tidak mampu memberikan pengalaman penggunaan yang benar-benar lancar. Hanya selepas kami memilih untuk menggunakan 4GB RAM Plus, peranti terasa lebih lancar.
Galaxy A23 yang kami ulas hanya dilengkapi 64GB yang adalah kecil untuk tahun 2022. Apabila 4GB perlu diberikan kepada memori maya, pengguna perlu melalukan pilihan untuk mementingkan prestasi ataupun storan.
Harus kami nyatakan versi 4/64 GB yang kami ulas ini tidak dijual di Malaysia kerana Samsung hanya menawarkan model 6/128 GB. Sungguhpun begitu berdasarkan pengalaman kami menggunakan pelbagai peranti dengan One UI 4.1, memori sekadar 6GB tidak cukup. Dapat dirasakan peranti mengambil lebih masa untuk melakukan pertukaran aplikasi, melancarkan aplikasi dan kerap melakukan proses segar semula selepas lebih daripada 6 aplikasi dilancarkan serentak.
Kelancaran penggunaan Galaxy A23 akan bergantung kepada jumlah RAM Plus yang digunakan, dan aplikasi yang dilancarkan. Jika anda kerap melancarkan banyak aplikasi, kemampuan multi tugas Galaxy A23 adalah sedikit mengecewakan.
Antara ciri menarik pada One UI 4.1 adalah seperti berikut.
- Edge Panels – Panel sisi untuk aplikasi, kompas, Smart Select dan banyak lagi.
- Colour Palette – Mengubah warna antaramuka automatik berdasarkan imej later belakang.
- RAM Plus – Penambahan RAM secara maya sehingga 4GB.
- Dual Messenger – Melancarkan aplikasi sama dengan dua akaun berbeza.
- Game Launcher – Hab khas untuk permua yang dipasang pada telefon.
- Edge Lighting – Lampu pada skrin apabila menerima notifikasi.
- Easy Mode – Antaramuka mesra warga emas.
- Secure Folder – Menyimpan fail dalam bekas yang dikunci.
- Live Captions – Sari kata masa nyata
Penanda Aras
Prestasi Snapdragon 680 4G adalah sekadar sederhana sahaja kerana ia jatuh ke dalam kategori pemproses kelas pertengahan rendah. Ia di belakang kemampuan cip Snapdragon 778G dan Dimensity 1300. Markah yang dicatatkan dalam tiga ujian penanda aras yang kami lakukan adalah seperti di bawah.
- Geekbench 5 – 380/1554 Markah
- Antutu 3D – 244,606 Markah
- Wild Life – 434 Markah
Sebagai perbandingan skor Antutu 3D Snapdragon 680G adalah sekitar 25% skor Snapdragon 8+ Gen 1. Dalam ujian Geekbench 5 pula, skor yang dicatatkan adalah sekitar 50% sahaja. Maka tidak mengejutkan permua Call of Duty Mobile dan PUBG Mobile hanya boleh dimainkan dengan baik pada tetapan sederhana sahaja.
Aplikasi sendiri tidak mengesyorkan tetapan grafik dinaikkan. Dengan skrin 6.6″ memang boleh dilihat kualiti tekstur yang tidak tinggi. Tiada isu menjalankan permua 2D dan 3D mudah seperti Subway Surfer. Pendek kata Galaxy A23 bukan sebuah peranti gaming.
Telefoni, GPS Dan Radio
Cip Snapdragon 680 hanya membenarkan Galaxy A23 menggunakan rangkaian 4G LTE sahaja. Dengan rangkaian 5G akan dikembangkan lagi menjelang penghujung tahun ini, ketiadaan sokongannya mungkin tidak akan dirasakan sangat. Selepas seminggu digunakan, kami merasakan pengalaman 4G peranti adalah setanding dengan peranti lain yang kami miliki. Pantas apabila berada di kawasan yang rangkaiannya bagus dan terus apabila berada di dalam kawasan tertutup. Ini adalah isu rangkaian sejak 3G dimatikan di Malaysia dan bukannya disebabkan peranti.
Dengan sokongan WiFi 5GHz pula, tiada isu untuk menikmati kelajuan internet yang pantas di rumah. Prestasi GPS juga adalah memuaskan walaupun di kawasan dipenuhi bangunan tinggi di tengah-tengah ibu kota.
Akhir sekali Galaxy A23 dilengkapi radio secara terbina. Hanya perlu sambungkan fon telinga berwayar kepada bicu audio 3.5mm dan anda dapat mendengar radio. Majoriti peranti moden tidak lagi menyertakan radio kerana tidak lagi mempunyai bicu audio.
Kamera
Peranti dilengkapi kuad-kamera yang nampak gah dari jauh. Tetapi ia sekadar kombinasi sensor utama 50MP, ultra sudut lebar 5MP, makro 2MP dan kedalaman 2MP. Hanya sensor utama 50MP hadir dengan sokongan OIS. Samsung Galaxy A23 ialah peranti dengan OIS paling murah di pasaran Malaysia sekarang.
Aplikasi standard kamera Samsung diberikan maka ia mudah digunakan. Terdapat pelbagai butang akses kepada ciri-ciri utama yang ingin digunakan. Prestasi kamera adalah kurang memuaskan kerana ia tidak cukup pantas. Terdapat sela masa ketara ketika melakukan pertukaran lensa dan mengambil gambar.
Sampel gambar adalah seperti di bawah dan hanya gambar dari kamera 50MP sudut lebar adalah memuaskan. Dalam mod ultra sudut lebar, sensor 5MP yang digunakan tidak cukup besar menghasilkan imej yang kurang tajam dan warna yang tidak menyerlah. Kualiti gambar dari sensor utama 50MP adalah lebih baik dari kesemua peranti dalam kategori bawah RM1000 kerana dilengkapi sistem penstabilan imej optikal (OIS).
Gambar nampak lebih tajam walaupun dalam situasi yang agak gelap. Warnanya juga lebih menyerlah dan nampak hidup jika dibandingkan dengan gambar dari lensa lain. Kami tidak sertakan gambar lensa makro 2MP kerana ia langsung tidak memuaskan. Sensor kedalaman pula sekadar gimik. Baik kuburkan sahaja. Maka kami menyambut baik ura-ura Samsung akan membuangkan sensor kedalaman pada siri Galaxy A tahun 2023 kelak.
Bateri
Bateri 5000 mAh yang disertakan memberikan hayat SOT sehingga 10 jam pada penggunaan yang sederhana atau sekitar 8 jam pada penggunaan yang lebih berat. Ini adalah memuaskan bagi sebuah telefon pintar moden. Hayat paling lama bater bertahan ialah sekitar 20 jam pada penggunaan yang juga sederhana.
Galaxy A23 menyokong pengecasan 25W tetapi Samsung hanya memberikan pengecas 15W di dalam kotak. Dengan pengecas 25W, bateri boleh dicas sepenuhnya dari 0% dalam masa 90 minit. Sama prestasinya seperti pada Galaxy S22 Ultra apabila menggunakan pengecas 25W. Hanya pengecasan berwayar menggunakan kabel USB-C sahaja disokong.
Audio
Hanya audio mono sahaja disokong makan prestasi audio peranti ini tidak mengagumkan. Untuk pengalaman audio yang lebih memuaskan, penggunaan aksesori audio luaran diperlukan kerana terdapat sokongan Dolby Atmos. Speaker fizikal mono adalah lantang untuk digunakan ketika memandu atau perbincangan secara berkumpulan. Kerana sekadar mono audio tidak dinamik dan tidak seimbang.
Pesaing
Samsung Galaxy A23 | Redmi Note 11 | Honor X8 |
6.6″ TFT LCD, 1080 x 2408, 90Hz, (400 PPI) |
6.43″, AMOLED, 1080 x 2400, 90Hz, (409 PPI), HDR10+ | 6.7″, IPS LCD, 1080 x 2388, 90Hz, (391 ppi) |
Snapdragon 680 4G (6nm) 4 X 2.4 GHz Kryo 265 Gold 4 X 2.5 GHz Kryo 265 Silver |
Snapdragon 680 4G (6nm) 4 X 2.4 GHz Kryo 265 Gold 4 X 2.5 GHz Kryo 265 Silver |
Snapdragon 680 4G (6nm) 4 X 2.4 GHz Kryo 265 Gold 4 X 2.5 GHz Kryo 265 Silver |
Adreno 610 | Adreno 610 | Adreno 610 |
6 GB RAM LPDDR4x | 4/6 GB RAM LPDDR4x | 6 GB RAM LPDDR4x |
128 GB eMMC 5.1 (Mikro SD 1TB) |
128 GB UFS (Mikro SD 1TB) |
128 GB UFS |
Kamera Utama 50MP, f/1.8, OIS, Sudut Lebar 5MP, f/2.2 Ultra Sudut Lebar 2MP, f/2.4 Makro 2MP, f/2.4 Kedalaman |
Kamera Utama 50MP, f/1.8 Sudut Lebar 8MP, f/2.2 Ultra Sudut Lebar 2MP, f/2.4 Makro 2MP, f/2.4 Kedalaman |
Kamera Utama 64MP, f/1.8, Sudut Lebar 5MP, f/2.2 Ultra Sudut Lebar 2MP, f/2.4 Makro 2MP, f/2.4 Kedalaman |
Kamera Hadapan 8 MP f/2.2 |
Kamera Hadapan 13 MP f/2.4 |
Kamera Hadapan 16 MP f/2.5 |
Tidak kalis air | Tidak kalis air | Tidak kalis air |
Bicu audio 3.5mm | Bicu audio 3.5mm | Bicu audio 3.5mm |
Audio Mono | Audio Stereo | Audio Mono |
5000 mAh Berwayar 25W |
5000 mAh Berwayar 33W |
4000 mAh Berwayar 22.5W |
RM999 (6/128GB) | RM749 (4/128GB) RM799 (6/128GB) |
RM899 (6/128GB) |
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.
- 1x Samsung Galaxy A23
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Pengecas 15W
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM
Kesimpulan
Samsung Galaxy A23 ialah peranti kelas pertengahan rendah dengan kemampuan kamera terbaik kerana ia dilengkapi OIS. Pada harga RM999, ia juga merupakan peranti paling mampu milik dengan OIS di pasaran Malaysia. Tetapi kamera yang baik sahaja tidak mencukupi. Penggunaan peranti kurang memuaskan sekiranya RAM peranti tidak ditetapkan ke 8GB menggunakan sistem memori maya RAM Plus. Pada tetapan RAM lebih rendah dapat dirasakan peranti bertarung untuk berfungsi dengan lancar. Aplikasi yang dilancarkan juga akan kerap segar semula di latar belakang.
Kami hanya boleh sarankan peranti ini kepada mereka yang memang tidak ingin memainkan permua bergrafik tinggi dan inginkan peranti mampu milik dengan kamera yang memuaskan. Ia serasi digunakan sebagai peranti pertama untuk anak-anak kerana boleh menjalankan aplikasi asas (TikTok, Instagram, WhatsApp) dengan baik.
Pro
- Skrin besar FHD yang tajam untuk menonton kandungan video.
- Snapdragon 680 pemproses yang memuaskan untuk menjalankan majoriti aplikasi asas.
- Kamera utama dilengkapi OIS.
- Masih mempunyai radio.
- Dilengkapi bicu audio 3.5mm.
- Bateri besar dengan ketahanan yang baik.
Kontra
- Speaker mono.
- Skrin dengan bezel tebal tidak seimbang.
- Tiada kemampuan kalis air seperti siri Galaxy A yang lain.
- Tidak berfungsi dengan cukup lancar jika tetapan RAM bawah 8GB.
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment