Kad Grafik NVIDIA GeForce RTX 4000 Dilancarkan Secara Rasmi – Bermula Dengan RTX 4090 Dan RTX 4080
Di acara GeForce Beyond yang sedang berlangsung, seperti yang disangka NVIDIA telah memperkenalkan siri kad grafik terbaru mereka, iaitu NVIDIA GeForce RTX 4000 “Ada Lovelace” yang mana Jensen Huang, CEO NVIDIA memperlihatkan dua buah model kad grafik baru.
NVIDIA GeForce RTX 4090 dan NVIDIA GeForce RTX 4080 adalah dua daripada kad grafik yang diperlihatkan ini, dan kedua-dua kad grafik ini tampil dengan prestasi 2-4 kali lebih berkuasa berbanding dengan model-model kad grafik GeForce RTX 3090 dan RTX 3080 Ti sebelumnya.
Cip grafik Ada Lovelace dibangunkan bersama-sama dengan TSMC dimana mereka menggunakan proses 4N (4nm) yang khusus untuk membangunkan cip pemprosesan grafik tersebut. Selain daripada kemampuan memproses dan mengolah grafik yang jauh lebih berkuasa, kad-kad grafik terbaru ini juga tampil dengan teras RT generasi ketiga yang memperkenalkan kebolehan mengolah grafik Ray-tracing pada kadar yang lebih cekap.
Siri kad grafik RTX 4000 memperlihatkan ciri Shader Execution Reordering yang menyusun semula piksel-piksel grafik secara sekata untuk mempercepatkan proses pengolahan pencahayaan Ray-tracing. Ini mempercepatkan pengeluaran bingkai grafik yang secara langsung membantu dalam meningkatkan kadar bingkai permainan yang dimainkan, walaupun pada resolusi yang tinggi.
Bercakap mengenai resolusi tinggi, NVIDIA juga memperkenalkan DLSS 3.0, yang mengolah bingkai beresolusi tinggi daripada pengeluaran bingkai resolusi rendah dengan tetapan grafik yang tinggi. Kelebihan DLSS 3.0 ialah bingkai-bingkai ini boleh dikeluarkan tanpa perlu melalui proses olahan grafik.
Gabungan Shader Execution Rendering dan juga DLSS 3.0 dilihat menjanjikan prestasi grafik dalam permainan yang memanfaatkan resolusi tinggi, kadar segar semula tinggi dengan tetapan yang tinggi tanpa sebarang masalah.
Daripada video yang diperlihatkan sewaktu acara Beyond, NVIDIA GeForce RTX 4090 dilihat mampu menggerakkan beberapa permainan seperti Cyberpunk 2077 dan Microsoft Flight Simulator pada resolusi dan kadar segar semula tinggi menggunakan SER dan juga DLSS 3.0.
NVIDIA GeForce RTX 4090 akan mula dijual di pasaran global pada harga $1699 (~RM7744) bermula 12 Oktober ini.
Untuk NVIDIA GeForce RTX 4080 pula, kad grafik ini akan hadir dengan dua pilihan memori, 16GB GDDR6X dan juga 12GB GDDR6X. Model dengan memori lebih mahal akan dijual pada harga $1199 (~RM5465) manakala model dengan memori lebih rendah akan dijual pada harga $899 (~RM4100) bermula November ini.
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment