Hi! Welcome Back and Stay Tune! Pandang Pertama – Honor Magic Vs Mempunyai Kemampuan Mengalahkan Galaxy Z Fold - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Pandang Pertama – Honor Magic Vs Mempunyai Kemampuan Mengalahkan Galaxy Z Fold


Artikel asal diterbitkan November 2022 dan diterbitkan semula selepas pelancaran Magic Vs versi global hari ini

Secara defacto, Samsung Galaxy Z Fold4 ialah peranti skrin boleh-lipat bersaiz besar yang terbaik di pasaran kerana ia tidak mempunyai pesaing yang setanding. Huawei Mate Xs 2 yang dilancarkan tahun ini hadir tanpa 5G dan juga tiada GMS. Kerana kurangnya pesaing, Fold4 mendominasi pasaran dengan cukup selesa sejak empat versi yang lalu.

Dominasi mereka kini akan mula dicabar selepas Xiaomi, Oppo, Vivo dan Honor mula menawarkan peranti skrin boleh-lipat mereka dengan rekaan yang lebih menarik. Hari ini Honor Magic Vs telah dilancarkan dan ia akan memasuki pasaran Malaysia. Berdasarkan pengalaman singkat, kami melihat terdapat beberapa petanda Magic Vs mungkin akan menjadi peranti yang mampu memberikan persaingan kepada siri Z Fold.

Spesifikasi

Honor Magic Vs
Skrin Luar – 6.45″ OLED, 120Hz
Dalam – 7.9″ OLED 90Hz
Pemproses Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
Cip 1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 2.00 GHz Cortex A510
Cip Grafik Adreno 730
RAM 8/12 Gigabyte
Muatan Dalaman 256/512GB UFS 3.1
Kamera Utama 54 MP, f/1.9 (Sudut Lebar)
50 MP, f/2.0 (Ultra Sudut lebar)
8 MP, f/2.4,OIS (Telefoto) 3x Zum Optical
4K 60p
Kamera Depan 16 Megapixel f/2.45 (Depan)
16 Megapixel f/2.45 (Dalam)
4K 60p
Bateri 5000 mAh
Pengecasan berwayar 66W
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano /5G
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air Tiada
Sistem Imbasan Cap jari terbina sisi
Harga Jualan RM4798* (8/256 GB)
RM5118* (12/256 GB)
RM5758* (12/512 GB)

Skrin

Skrin luar 6.45″ adalah dari keluarga OLED dengan sokongan kadar segar semula 120Hz. Ia berfungsi dengan lancar dengan kemampuan mengesan pergerakan jari yang baik. Kelebihan pada Magic Vs ialah skrin lebih lebar dengan nisbah skrin juga lebih menghampiri rekaan peranti candy bar. Menggunakannya secara sebelah tangan dan menaip teras lebih selesa berbanding pad Z Fold4. Di bahagian atas skrin terdapat lubang untuk kamera swafoto dan juga bezel yang agak nipis.

Muka hadapan peranti ini memang kacak dan menarik bagi sebuah peranti skrin boleh lipat. Isu standard di mana skrin luar terlalu runcing tidak berlaku pada Magic Vs. Yang kami sedari ialah animasi kurang lancar dan tiada sokongan HDR pada aplikasi Netflix. Namun begitu kami difahamkan peranti ini menggunakan MagicOS 7 versi China dan bukan versi akhir. Sokongan HDR pada peranti untuk pasaran global belum diketahui pada waktu artikel ini ditulis.

Di bahagian dalam pula skrin oleh 7.9″ OLED 90Hz digunakan yang lebih besar berbanding Z Fold4 serta mempunyai kadar segar semula yang lebih rendah. Masih terdapat kesan lipatan yang ketara pada skrin dalaman ini walaupun selepas mekanisme lipatan yang lebih nipis digunakan. Skrin nampak terang dengan paparan warna yang baik. Pengesanan jari juga jitu cuma sekali lagi tiada sokongan HDR dapat dilihat pada unit yang diuji.

Lubang kamera yang kecil diletakkan pada skrin boleh-lipat untuk sensor sebesar 16MP. Tiada sistem kamera bawah skrin. Ini bukan perkara negatif kerana setakat ini kesemua sistem kamera bawah skrin UDC yang kami pernah ulas adalah kurang memuaskan. Keputusan Honor menggunakan lubang kamera mungkin lebih baik untuk mengutamakan kualiti gambar berbanding estetik skrin.

Rekaan

Rekaan ialah kekuatan utama Magic Vs pada hemat kami. Peranti adalah jauh lebih nipis berbanding Z Fold4. Engel sisinya lebih nipis tanpa ruang kosong yang ketara apabila peranti dalam mod skrin terlipat. Kedua-dua “sayap” peranti juga lebih nipis. Dalam mod skrin tertutup sekalipun peranti tidak terasa terlalu tebal membuatkannya selesa dipegang dalam tangan berbanding Z Fold4. Kami merasakan ini juga membuatkan proses mencari pemegang peranti dalam kereta untuk Magic Vs juga adalah lebih mudah.

Engsel yang dikemaskini membuatkan peranti lebih senang dibuka. Tiada bunyi aneh ketika skrin dibuka yang membuatkan peranti terasa lebih premium dan kami tidak ragu-ragu untuk membukanya. Tunjang mekanisme lipatan boleh dirasakan apabila jari digerakkan di atasnya. Setakat ini masih tiada peranti skrin boleh-lipat yang menyelesaikan isu ini. Dari segi keselesaan, kami merasakan proses membuka dan menutup skrin Magic Vs adalah lebih selesa berbanding Z Fold4.

Butang fizikal untuk melaras audio dan juga butang kuasa diletakkan pada sisi kanan peranti. Pengimbas cap jari juga terbina pada butang kuasa. Kedudukan kedua-dua butang ini amat ergonomik. Di bahagian atas dan bawah tubuh terdapat lubang untuk kekisi audio stereo yang menyokong audio IMAX dan DTS: X Ultra. Turut diletakkan di bawah ialah port pengecasan USB-C dan juga talam SIM.

Pada bahagian belakang terdapat bonggol besar berbentuk bulat yang meletakkan tiga kamera – 54MP Sony IMX800 sudut lebar f/1.9 ,50MP ultra sudut lebar f/2.0 dan 8MP telefoto f/2.4 yang menyokong zum optikal 3x serta zum digital sehingga 10X. Bonggol ini adalah cukup besar sehingga menyebabkan peranti tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja. Dua kamera swafoto yang digunakan pula sebesar 16MP f/2.45 yang diletakkan dalam lubang kamera.

Permukaan belakang peranti adalah kemas diperbuat daripada bahan kaca. Panel mempunyai tekstur kasar yang membuatkannya tidak licin apabila dipegang. Ia juga tidak memerangkap kotoran dengan mudah. Akan terdapat versi kulit vegan berwarna oren yang lebih eksklusif.

Bateri pula sebesar 5000 mAh yang merupakan kapasiti paling besar pernah digunakan pada sebuah peranti skrin boleh-lipat. Jauh lebih besar berbanding 4400 mAh pada Z Fold4 dan 4880 mAh pada Mate Xs 2. Bateri boleh dicas semula menggunakan pengecas dengan output 66W. Kami difahamkan ketika sesi ujian tiada sokongan pengecasan nirwayar diberikan pada Magic Vs.

Kesemua komponen ini diletakkan di dalam tubuh logam yang cukup tegap dan selesa di dalam tangan. Walaupun ia sebuah peranti skrin boleh-lipat ia tidak terasa longgar. Namun begitu satu kekurangan yang agak ketara pada Magic Vs ialah ia tidak mempunyai sebarang piawaian kalis air.

Antaramuka Dan Pengalaman Penggunaan

Peranti yang kami terima menggunakan MagicOS 7 berasaskan Android 12 yang baru sahaja diumumkan hari ini. Tiada perubahan mendadak berbanding antaramuka MagicOS 6 yang kami gunakan pada Magic4 Pro awal tahun ini. Antaramuka MagicOS masih mirip EMUI walaupun sudah dua tahun Honor tidak lagi di bawah payung Huawei. Ini mungkin disengajakan kerana terdapat ramai pengguna Huawei kini berpindah ke Honor untuk mendapatkan pengalaman yang sama tetapi masih mempunyai sokongan GMS.

Pada unit awal yang diterima, ROM dari China digunakan. Ia juga bukan perisian akhir menurut jurucakap Honor Malaysia. Oleh itu kami sedari ia tidak berfungsi dengan lancar lebih-lebih lagi pada skrin dalaman 90Hz. Animasi tersekat-sekat dan penggunaan kamera juga terdapat sela masa yang ketara lebih-lebih lagi ketika cuba menukar tahap zum.

Maka oleh itu kami tidak boleh memberikan kata putus sama ada penggunaannya pada Magic Vs versi akhir kelak adalah baik ataupun tidak. Apa yang boleh kami katakan pada Magic4 Pro, MagicOS adalah sistem operasi yang terasa lancar dan ringan walaupun unit yang diulas dilengkapi Snapdragon 8 Gen 1 dan 8GB RAM. Pada Magic Vs, Snapdragon 8+ Gen 1 dan memori sehingga 12GB RAM sepatutnya memberikan pengalaman yang lebih baik.

Yang boleh kami katakan ialah terdapat ciri melancarkan sehingga empat aplikasi secara terapung di skrin dan dua aplikasi dilancarkan serentak dengan dua aplikasi dalam tingkap besar. Terdapat gestur untuk melancarkan dua aplikasi dalam mod Multi Window tetapi ini tidak disokong pada unit yang kami gunakan.

Dari segi penggunaan skrin besar 7.9″, MagicOS 7 membawakan pengalaman yang sama seperti yang kami lihat pada Z Fold4, Find N dan Mate Xs 2. Tetapi harus diakui mod tetingkap dan multi tugas pada Z Fold4 adalah lebih mesra pengguna kerana terdapat talam Taskbar di bahagian bawah. Ciri ini tiada pada Magic Vs.

Kesimpulan

Honor Magic Vs mempunyai resipi yang mantap untuk memberikan persaingan kepada Z Fold4. Spesifikasi yang setanding, skrin yang lebih besar, sistem kamera yang lebih mantap dan rekaannya juga nampak lebih seksi berbanding peranti keluaran Samsung.

Sebagai pengguna persaingan yang sihat perlu diberikan kepada Samsung kerana ia hanya akan menguntungkan kita semua. Oleh itu kami tidak sabar untuk mengulas Magic Vs versi akhir kelak untuk melihat sama ada pencabar sebenar kepada Z Fold4 apabila ia tiba di Malaysia selepas pelancaran global di MWC tahun depan. Honor mengesahkan Magic Vs akan memasuki pasaran Malaysia dalam masa terdekat. Nantikan ulasannya kelak di Amanz.

Pro

  • Skrin 6.45″ 120Hz di luar yang lebar selesa digunakan.
  • Skrin boleh-lipat besar 7.9″ 90Hz.
  • Spesifikasi tinggi Snapdragon 8+ Gen 1 dengan memori sehingga 12GB RAM.
  • Rekaan lebih nipis berbanding peranti pesaing.
  • Tri-kamera utama yang besar dengan zum optikal.
  • Bateri besar 5000 mAh dengan pengecasan 66W.

Kontra

  • Tiada piawaian kalis air.
  • Masih terdapat kesan lipatan pada skrin.
  • Skrin dalam hanya 90Hz bukan 120Hz.
  • Masih menggunakan Android 12.


✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz

🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻‍♀️ Enjoy Surfing!



No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.