NVIDIA Memperlihatkan Mod RT Overdrive Melalui Cyberpunk 2077
Dengan pengenalan siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX pada tahun 2018, NVIDIA telah memperkenalkan teknologi grafik dan olahan cahaya Ray-tracing secara nyata kepada peminat tegar permainan komputer yang memperlihatkan olahan grafik dan cahaya dalam permainan yang lebih realistik.
Pada 11 April ini, mod RT Overdrive akan diperkenalkan pada permainan Cyberpunk 2077 versi PC yang akan mengubah cara permainan komputer boleh diolah, dan akan memperlihatkan grafik dengan pencahayaan yang jauh lebih realistik berbanding sebelum ini.
Perbezaan olahan Ray-tracing sedia ada dan juga RT Overdrive ialah dengan teknik pertama, ia menggunakan gabungan olahan raster tradisional dengan olahan pencahayaan ray-tracing untuk memperlihatkan pencahayaan, pantulan imej dan olahan grafik yang lebih hebat daripada menggunakan teknik raster sahaja.
Dengan RT Overdrive, olahan grafik dilakukan sepenuhnya menggunakan pengiraan Ray-tracing, yang secara ringkasnya akan memberikan pengguna olahan grafik dan pencahayaan yang jauh lebih realistik daripada penggunaan Ray-tracing yang biasa. Ini adalah kerana olahan pencahayaan kesemua adegan yang diperlihatkan menggunakan Ray-tracing sepenuhnya.
Satu contoh yang diberikan ialah dengan permainan Battlefield V, pada resolusi 4K, setiap piksel dalam satu adegan permainan memerlukan 39 pengiraan ray, dan dengan RT Overdrive, 635 pengiraan ray diperlukan untuk setiap piksel.
Melalui video yang diperlihatkan, ini adalah mengapa menggerakkan Cyberpunk 2077 pada resolusi 4K dengan mod RT Overdrive dipasang akan menyebabkan kadar bingkai permainan merudum ke 20FPS walaupun menggunakan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4090. Dengan ini, ia dilihat bahawa DLSS 3.0 akan wajib diperlukan untuk meningkatkan semula kadar bingkai ke tahap melepasi 100FPS.
Buat masa ini, spesifikasi khusus untuk memanfaatkan mod RT Overdrive ini tidak diketahui lagi, tetapi oleh kerana keperluan untuk ciri DLSS 3.0 untuk memainkan permainan ini dengan kadar bingkai yang tinggi, ia tidak mengejutkan sekiranya anda memerlukan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3000 dan GeForce RTX 4000 untuk memanfaatkannya.
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment