Apple Memperkenalkan Ciri Peranti Bercakap Menggunakan Suara Pemilik Dan Ikon Besar Untuk OKU
Ciri ketercapaian memudahkan OKU menggunakan peranti milik mereka secara berdikari tanpa perlu meminta bantuan orang lain. Terdapat pelbagai ciri ketercapaian yang membolehkan OKU penglihatan menggunakan skrin sesentuh pada telefon misalnya. Semalam Apple mengumumkan beberapa ciri ketercapaian yang akan memudahkan golongan OKU menggunakan iPhone, iPad dan Mac.
Pertama sekali ialah Personal Voice yang membolehkan peranti bercakap menggunakan suara pemilik. Ciri ini berguna bagi pemilik yang tahun mereka akan kehilangan kemampuan bercakap disebabkan penyakit seperti kanser tekak atau ALS misalnya. Sebelum kehilangan kemampuan bercakap, mereka diminta membaca beberapa frasa yang mengambil masa beberapa minit untuk direkod. Kemudian Personal Voice menganalisa audio sebelum mempunyai kemampuan membaca input teks yang dimasukkan sebelum membacanya dengan suara pemilik.
Personal Voice akan dipaparkan terus pada skrin kekunci telefon misalnya dengan ia boleh digunakan oleh pemilik untuk bercakap ketika memesan kopi atau berinteraksi dengan orang lain walaupun sudah hilang kemampuan untuk bersuara.
Bagi mereka yang tidak sempat merekod suara sendiri atau sememangnya bisu, Live Speech turut diperkenalkan. Dengan Live Speech, peranti akan mengucapkan apa yang ditaip oleh pengguna. Pada peringkat permulaan Live Speech dan Personal Voice hanya menyokong bahasa Inggeris.
Seterusnya ialah Assistive Access yang membesarkan ikon pada antaramuka peranti. Ia direka untuk golongan yang kehilangan kemampuan kognitif. Dengan saiz ikon serta teks lebih besar, proses mencari aplikasi yang ingin digunakan menjadi lebih mudah.
Point and Speak pula menggunakan sistem kamera, LiDAR dan pembelajaran mesin untuk membantu OKU dengan kemampuan melihat yang tidak begitu baik. Ia mengenalpasti label pada dunia sebenar dan kemudian memaparkan sari kata pada skrin peranti. Dengan ini pengguna ketuhar gelombang mikro boleh menekan butang yang sepatutnya untuk memasak misalnya. Apabila dilancarkan kelak ia menyokong bahasa Inggeris, Perancis, Itali, Jerman, Sepanyol, Portugis, Cina, Kantonis, Korea, Jepun dan Ukaine.
Kesemua ciri ketercapaian di atas akan diperkenalkan secara berperingkat menjelang penghujung 2023.
- Sumber
- Apple
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment