Tiga Juruterbang Wanita Catat Sejarah Kendali Pesawat Boeing 787 Dreamliner ke Arab Saudi
Peristiwa penerbangan 3 juruterbang wanita yang pertama itu turut menarik perhatian dunia apabila mereka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah di Arab Saudi, negara yang melarang wanita memandu kereta.
Pesawat Boeing 787 Dreamliner dari Brunei ke Jeddah itu dikendalikan oleh Kapten Sharifah Czarena dibantu oleh pegawai kanan pertama, Sariana Nordin dan Dk Nadiah Pg Khashiem.
Ketiga-tiga juruterbang wanita itu dipertanggungjawabkan Royal Brunei Airlines untuk menerbangkan jet tersebut bagi meraikan sambutan Hari Kemerdekaan Brunei yang jatuh pada 24 Februari lalu, selepas mendapat kemerdekaan dari United Kingdom pada 1984.
Sharifah Czarena menjalani latihan penerbangan di Sekolah Penerbangan Cabair di Cranfield, Bedfordshire dan telah mengendalikan pesawat milik syarikat itu di beberapa laluan utama di dunia.
Pada Disember 2013, beliau muncul sebagai juruterbang pertama Royal Brunei Airlines yang mendarat di Heathrow, London menggunakan jet Boeing 787 Dreamliner.
Namun, kejayaan tiga juruterbang wanita itu bukanlah yang pertama kerana kru penerbangan wanita yang menerbangkan sebuah pesawat jarak jauh sudah menjadi trend sejak kebelakangan ini.
Minggu lalu, sejumlah syarikat termasuk Air Canada dan Air India mengamanahkan kru penerbangan wanita untuk menerbangkan pesawat firma masing-masing bersempena Minggu Penerbangan Wanita Seluruh Dunia.
Post a Comment