Siapa Kata Makan Gaji Tidak Akan Kaya? Ini Caranya…
Bagi mereka yang makan gaji, majoritinya akan rasa tidak cukup dengan gaji sedia ada dan cuba untuk membuat bisnes sebagai pendapatan tambahan. Disini, kami agak teruja dengan perkongsian oleh Tuan Izwan Robotys di blognya, robotys.net
Beliau adalah “pekerja makan gaji tetapi dikelilingi orang bisnes hebat belaka.”, katanya.
Jika tuan puan berniat nak jadi kaya dengan berbisnes, lalu memutuskan untuk berhenti kerja, maka ketahuilah, makan gaji pun boleh jadi kaya harta juga.
Maka, apa yang membezakan orang yang makan gaji tetapi kaya harta dengan kita yang makan gaji tetapi cukup-cukup makan sahaja? (Ya, saya belum kaya harta lagi, dan saya masih makan gaji.)
Ikuti 6 kriteria ini bagi membantu perspektif hidup anda:
1. Menyimpan dengan konsisten
Kita boleh lihat, orang yang kaya harta, tidak kira melalui jalan berniaga dan juga jalan makan gaji, konsisten dalam menyimpan.
Cara mereka konsisten menyimpan juga mudah: Dapat sahaja duit untuk kegunaan isi rumah, terus disimpan 10% atau lebih daripada jumlah tersebut mengikut keselesaan mereka.
Ada yang menerima gaji melalui bank, sudah ada sistem yang akan transfer wang gaji dalam dalam bank terus ke akaun Tabung Haji secara automatik. Maka, selebihnya boleh dihabiskan untuk belanja isi rumah. Mereka tidak risau lagi tidak menyimpan.
2. Konsisten berhubung dengan pemiutang
Ini pun sama juga. Mereka tidak takut dengan bank. Mereka tahu hak-hak mereka sebagai peminjam.
Contohnya, ada ketika mereka tidak mampu membayar ansuran bulanan kereta. Apa yang mereka lakukan? BUKAN sorok kereta. BUKAN buat tidak tahu. Tetapi mereka telefon bank dan mohon tangguh. Kemudian mengikut segala prosedur.
Mereka ada mindset yang “Semua perkara boleh dibawa berbincang”. Lebih-lebih lagi dengan pihak yang berurusan secara rasmi dengan mereka seperti Bank, Tuan Rumah, Bos di tempat kerja dan lain-lain.
3. Menjaga hubungan baik
Kita boleh lihat, fokus utama mereka yang kaya harta jarang sekali berkisar tentang harta, tetapi hubungan baik dengan semua pihak yang sepatutnya, semua orang yang tidak berniat jahat kepada mereka.
Antara pihak yang penting untuk dijaga hubungan baik adalah Allah (ya, itu paling penting ya… jaga solat <– pesan untuk diri sendiri juga), Ibu bapa, Suami/Isteri/Anak, Adik-beradik, saudara-mara dan sahabat handai. Kemudian turun kepada sahabat niaga, supplier, vendor dan sebagainya.
Namun jika terbukti ada yang berniat jahat mereka akan:
4. Tegas dalam hubungan
Ya, mereka akan bertegas dan ‘point out’ yang pihak tersebut berniat jahat. Mereka tidak cakap-cakap belakang dan juga tidak menuduh secara terbuka.
Mereka tegas kerana hasrat utama mereka adalah untuk menjaga hubungan baik dengan semua orang. Bertegas dengan mereka yang cuba menganiaya kita adalah salah satu jalan mengukuhkan hubungan baik. Ini kerana mungkin sahaja pihak satu lagi tidak sedar mereka sedang menganiayai kita. Lalu mereka akan membetulkan kesalahan.
5. Menunaikan janji
Ini adalah jalan paling mudah membina kredibiliti dan integriti. Mereka yang kaya harta adalah mereka yang berintegriti, tidak kira makan gaji atau berniaga.
Pekerja yang berintegriti lebih mudah naik pangkat dan naik gaji. Peniaga yang berintegriti lebih disayangi pembeli dan pembekal.
Suami/isteri yang berintegriti lebih dipercayai dan lebih bebas berurusan.
Apabila sudah berjanji, berusahalah untuk deliver.
Maka kita perlu berhati-hati apabila berjanji. Kecil atau besar, ia tetap perlu ditunaikan. Dan ya, janji kepada anak isteri kita sama pentingnya dengan janji kepada pembeli dan pembekal kita, jika tidak lebih penting!
6. Belajar dan buat
Mereka yang makan gaji tetapi kaya harta lebih banyak diberi peluang oleh ketua mereka. Mengapa? Kerana mereka sentiasa laparkan ilmu dan dahagakan kemahiran baru. Mereka belajar benda baru dan sedia mengaplikasi skill tersebut. Ketua yang bagus amat suka ahli tim seperti ini kerana memudahkan kerja mereka.
Perkara ini juga penting apabila kita mula berniaga. Setiap perkara dalam berniaga pastinya benda baru kepada kita yang makan gaji. Maka kita perlu ada aptitud yang tinggi untuk terus belajar dan buat perkara yang kita belajar.
Mana lagi penting, belajar atau buat?
Dua-dua penting! Lepas belajar terus buat! Jangan belajar-belajar dan terus belajar tetapi tidak buat. Nanti tidak kemana.
Paling kurang pun buat terus. Kerana jika tersalah, kita boleh betulkan. Pastikan ada cara untuk kita tahu kita tersalah buat. Mungkin sasaran khusus ataupun mentor yang boleh memberitahu kita kesalahan kita.
Sumber : Oh My Media TV http://ift.tt/2f5A19S
Post a Comment