Ulasan: OPPO A3s
OPPO A3s | |
---|---|
Skrin | 6.2” IPS LCD 1520 x 720, 271 ppi |
Chipset | Qualcomm Snapdragon 450 |
CPU | 8 x Cortex-A53 1.8 GHz |
GPU | Adreno 506 |
Memori | 2GB RAM |
Storan | 16GB, mikroSD sehingga 256GB |
Kamera Utama | 13MP f/2.2 + 2MP f/2.4 1080p@30fps |
Kamera Hadapan | 8MP f/2.2, 1080p@30fps |
Sambungan | WiFi 802.11 a/b/g/n Bluetooth 4.2 A-GPS, GLONASS |
Jenis Slot SIM | Nano-SIM + Nano-SIM + mikroSD |
Sistem | Android 8.1 Oreo + ColorOS 5.2 |
Bateri | 4230 mAh |
Dimensi | 156.2 x 75.6 x 8.2 mm |
Berat & Ketebalan | 168g, 8.2mm |
Tempoh Ujian Peranti |
2 minggu |
Salah satu aspek yang diutamakan pengguna ketika memilih peranti adalah dari segi rekaan. Tampilan peranti yang menarik bukan sahaja mampu menjadi daya tarikan kepada pandangan mata, tetapi sedikit sebanyak dapat memberi keyakinan kepada pengguna ketika menggunakan peranti ini. Namun kebanyakan peranti yang menawarkan rekaan yang menawan selalunya ditawarkan pada harga yang lebih mahal, seperti yang dilihat pada peranti kelas atasan.
OPPO A3s adalah peranti yang menampilkan rekaan anggun dan bergaya, melalui harga jualan di bawah RM600. Sekilas pandang peranti ini, ramai yang menjangkakan ia ditawarkan pada harga sekitar RM1500, terutama dinilai dari tubuh seakan kaca dan penggunaan skrin bertakuk seumpama iPhone X. Kehadiran dwi-kamera pada bahagian belakang juga dilihat menyumbang kepada faktor ini, dengan memberi penekanan seolah-olah ia ditawarkan pada harga peranti premium.
Rekabentuk
OPPO A3s didatangkan dengan spesifikasi kelas permulaan, seperti kehadiran skrin 6.2-inci pada resolusi HD+ dengan nisbah 19:9, cip Snapdragon 450, memori 2GB RAM, dan storan dalaman 16GB bersama sokongan microSD. Ia juga dilengkapi dengan sambungan Wi-Fi 802.11 a/b/g/n, Bluetooth 4.2, bersama kapasiti bateri yang cukup besar iaitu setinggi 4230 mAh.
Dari segi binaannya, OPPO A3s membawakan binaan yang sama seperti model yang lebih tinggi seperti OPPO F7 dan F9, dengan menampilkan binaan plastik pada bahagian belakang. Rekaan belakang ini tidak diberi sentuhan warna cerun (gradient) seperti telefon OPPO terkini, dengan hanya menawarkan penggunaan warna rata. Memegang peranti ini hampir sama seperti memegang OPPO F9, yang mana tidak terlalu licin untuk dipegang. Namun sekiranya anda risau dengan kerosakan fizikal yang bakal menimpa pada tubuh peranti, OPPO masih menawarkan perlindung peranti lutsinar (clear case) di dalam kotak pembelian peranti.
Untuk rekaan di bahagian sisi, ia menempatkan butang kuasa pada bahagian kanan, sementera butang pembesar suara dan slot dwi-sim + mikroSD ditempatkan pada bahagian kiri. Di bahagian atas peranti tidak menampilkan sebarang sambungan, namun di bawahnya terdapat pembesar suara mono, sambungan mikroUSB, saluran mikrofon, dan bicu audio 3.5mm.
Pada bahagian belakangnya, ia menampilkan sistem dwi-kamera 13MP + 2MP secara melintang, seperti yang dilihat pada peranti OPPO F7. Namun malangnya, ia tidak disediakan dengan pengimbas cap jari, namun anda masih boleh menggunakan fungsi imbasan wajah yang didatangkan. Sokongan imbasan wajah ini hanya menggunakan kamera hadapan, dengan memberi tindak balas yang pantas ketika berada di persekitaran yang terang. Untuk kegunaan pada waktu pencahayaan rendah, kadar kecerahan skrin peranti akan dinaikkan, bagi memudahkan proses imbasan wajah ini.
Untuk rekaan di bahagian hadapan, ia kini menampilkan rekaan takuk seperti OPPO F7, yang dilihat tidak terlalu besar seperti iPhone X atau Huawei nova 3. Rekaan takuk ini membawakan kamera hadapan 8MP f/2.2, saluran pendengaran (earpiece), dan sensor untuk mengawal pencahayaan skrin. Untuk skrinnya, ia hadir pada saiz 6.2-inci dengan resolusi HD+, melalui janaan panel IPS LCD. Kualitinya dilihat sederhana, dengan memberi warna merah yang tepu (saturated) selain memudahkan penampakan piksel pada skrin HD+ peranti ini.
Dari segi variasi, OPPO A3 hanya ditawarkan dalam satu variasi sahaja iaitu 2GB RAM + 16GB eMMC 5.1. Storan dalaman 16GB ini dilihat sangat tidak mencukupi untuk yang gemar memasang aplikasi dan permainan, namun anda boleh meletakkan kad mikroSD untuk meningkatkan lagi storan peranti ini. OPPO A3s telah didatangkan dalam dua pilihan warna menarik seperti merah dan ungu, yang mana boleh dipilih oleh pengguna sewaktu membuat pembelian peranti.
Sistem
OPPO A3s telah dijana dengan antaramuka yang sama seperti OPPO Find X dan OPPO F9, melalui ColorOS 5.2 yang dijalankan bersama Android 8.1 Oreo. Antaramukanya menyajikan tema dan ikonografi baru, yang kini memberi penampakan yang lebih kemas dan moden. Antaramuka skrin utama ColorOS 5.2 masih tidak mendatangkan talam aplikasi secara terbina, dengan perletakkan kesemua aplikasi pada skrin utama seumpama peranti iOS. Cuma untuk OPPO A3s ini, paparan pertukaran aplikasi tidak didatangkan dalam paparan berbentuk kad, berikutan daripada penggunaan RAM yang rendah.
ColorOS 5.2 masih memberi kebolehan untuk membuat pertukaran tema melalui Theme Store, dengan memberi sejumlah pilihan tema yang boleh dimuat-turun oleh pengguna. Beberapa fungsi lain turut hadir seperti Game Space iaitu pusat sehenti untuk meningkatkan kelancaran grafik dan pengurusan notifikasi daripada mengganggu ketika sesi permainan. Ia juga hadir dengan fungsi Music Party, iaitu fungsi yang membolehkan peranti OPPO terkini memainkan lagu yang sama seperti yang dimainkan pada peranti ini.
Seperti kebanyakan peranti OPPO dengan rekaan skrin penuh yang lain, ColorOS 5.2 telah menawarkan kawalan Swipe-up Gesture Navigation, iaitu kawalan peranti seumpama iPhone X. Untuk menggunakannya, anda hanya perlu membuat tatalan ke atas secara pantas untuk ke paparan skrin utama, atau menatal ke atas dan tahan seketika untuk memaparkan paparan pertukaran aplikasi. Ia tidak diaktikfkan secara terbina, namun anda boleh menyorokkan bar navigasi di bahagian bawah untuk memanfaatkan paparan skrin penuh peranti ini.
Prestasi
OPPO A3s membawakan cip kelas permulaan seperti yang digunakan pada peranti Xiaomi Redmi 5, menerusi cip Qualcomm Snapdragon 450 bersama memori 2GB RAM. Cip ini membawakan rekaan cip lapan-teras, dengan menampilkan 8 x Cortex-A53 1.8 GHz bersama padanan GPU Adreno 506. Apabila diuji pada aplikasi penanda aras seperti AnTuTu Benchmark, peranti ini berjaya meraih mata sekitar 137,333, sekaligus memberi bacaan yang hampir menyerupai cip Qualcomm Snapdragon 625.
Untuk kegunaan di dunia sebenar, cip ini mampu menggalas sejumlah tugasan harian dengan lancar, terutama untuk kegunaan aplikasi media sosial, permesejan, dan pelayaran web. Untuk permainannya juga, ia turut memberi prestasi yang lancar ketika memainkan PUBG Mobile (pada tetapan grafik asas), atas penggunaan GPU yang sama seperti cip Snapdragon 625. Pengeluaran habanya juga terasa minima, walaupun digunakan melebihi 30 minit sesi permainan. Cuma dengan penggunaan memori serendah 2GB RAM, ada beberapa aplikasi perlu dimatikan terlebih dahulu sebelum dapat memainkan permainan dengan prestasi yang konsisten.
Kamera
OPPO A3s dijana dengan sistem dwi-kamera, melalui kehadiran sensor 13MP f/2.2 bersama sensor kedua 2MP f/2.4 untuk kebolehan Portrait Mode. Ia juga menampilkan pencahayaan LED untuk bantuan penggambaran malam, namun tidak menampilkan sebarang penstabilan imej elektronik (EIS) seperti Xiaomi Redmi 6.
Hasil penggambarannya dilihat baik untuk kebanyakan situasi harian, dengan memberi perwarnaan yang selesa untuk dilihat. Cuma apabila digunakan pada situasi pencahayaan yang rendah, ia mudah memberi penampakan kesan hingar (noise) terutama diteliti pada kawasan gelap di dalam gambar. Namun saya masih berpuas hati dengan keupayaan HDR pada kamera peranti ini, dengan mengekalkan beberapa keperincian pada subjek, apabila digunakan pada situasi pencahayaan terang yang ekstrem.
Saya juga cukup kagum dengan kebolehan Portrait Mode melalui kamera utamanya, dengan memberi kemasan kabur yang hampir sempurna pada bahagian sisi subjek. Ia tidaklah sebaik seperti OPPO F7/F9, namun untuk harga di bawah RM600, kualiti penggambaran Portrait Mode ini dilihat memadai untuk bersaing dengan peranti sekelasnya seperti Xiaomi Redmi 6.
Seperti OPPO F7, ia juga menampilkan fungsi zoom hibrid sebanyak 2 kali, bagi membolehkan pengguna mendapatkan hasil gambar yang lebih dekat walaupun diambil pada kedudukan yang sama. Kualitinya masih dilihat tajam, walaupun tidak menampilkan sebarang penggunaan zoom optikal.
Kamera hadapan dengan sensor 8MP f/2.2 ini juga masih menawarkan hasil yang memuaskan, dengan hasilan swafoto yang terang untuk kegunaan harian anda. Warna kulit masih diterangkan walaupun fungsi kecantikan telah dimatikan, namun keperinciannya masih dipuji untuk sebuah peranti di bawah harga RM600 ini. Ia juga masih mendatangkan fungsi Portrait Mode pada kamera hadapan ini, untuk menjadikan swafoto anda kelihatan lebih menarik untuk dikongsikan pada saluran media sosial.
Dari segi fungsi, OPPO A3s didatangkan dengan sejumlah kawalan utama, seperti sokongan Portrait Mode, Time-lapse, dan Panorama. Seperti yang dijangka, tiada sebarang fungsi kawalan manual diberikan, atas faktor harga jualan peranti yang ditempatkan pada harga rendah. Namun untuk rakaman videonya, ia masih menawarkan rakaman video Full HD untuk kegunaan kamera hadapan dan belakang.
Bateri
OPPO A3s mempunyai kapasiti bateri yang cukup besar apabila dibandingkan dengan peranti sekelasnya, melalui kapasiti bateri 4230 mAh. Dengan penggunaan cip 14nm pada Snapdragon 450, ia dijangka dapat memberi masa penggunaan peranti yang lama menerusi binaan cip Snapdragon yang lebih efisien.
Dengan kapasiti 4230 mAh dan padanan cip 14nm ini, OPPO A3s mampu mencatatkan masa Screen-on-Time (SoT) yang sangat baik, melalui bacaan SoT sekitar 7 jam 16 minit untuk penggunaan sepanjang hari. Namun peranti ini tidak didatangkan dengan fungsi pengecasan pantas, yang mana ia mengecas peranti ini melebihi 3 jam dari 0 – 100%.
Rumusan
OPPO A3s menawarkan sebuah peranti yang cukup menawan atas kehadiran binaan seumpama kaca di bahagian belakang, rekaan bertakuk di bahagian hadapan, dan hadir dengan keupayaan dwi-kamera. Ia juga mempunyai cip pemprosesan yang baik untuk kegunaan harian melalui Snapdragon 450, yang dapat memberi prestasi yang lancar untuk kegunaan media sosial dan permainan pada tetapan grafik asas. Ia turut memberikan masa penggunaan peranti yang lama, atas kehadiran kapasiti bateri 4230 mAh yang besar untuk kegunaan intensif anda.
Cuma ada beberapa kekurangan yang telah dikenalpasti, seperti penggunaan memori serendah 2GB RAM yang dilihat tidak memadai untuk menjalankan lebih banyak aplikasi di belakang tabir. Storan dalaman 16GB ini juga tidak lagi mencukupi untuk penggunaan hari ini, terutama bagi yang gemar memasang permainan berat pada peranti ini. Selain itu, keupayaan kameranya juga kelihatan kurang memuaskan untuk situasi pencahayaan rendah, setelah melihat hasil kamera Redmi 6A yang mampu memberi hasil penggambaran yang lebih menarik.
Pro
- Hadir dengan rekaan yang menawan untuk harga di bawah RM600.
- Rekaan takuk yang boleh disorokkan.
- Menawarkan paparan dengan nisbah moden 19:9
- Menawarkan prestasi harian dan permainan dengan tetapan grafik asas yang lancar.
- Keupayaan kamera belakang yang baik untuk kegunaan mesra cahaya.
- Menyajikan ketahanan bateri yang lama dengan bacaan SoT 7 jam 16 minit.
- Mempunyai slot dwi-sim dan slot kad microSD secara berasingan.
- ColorOS 5.2 dijalankan berasaskan sistem operasi terkini Android 8.1 Oreo.
Kontra
- Hanya didatangkan dengan memori 2GB RAM.
- Storan dalaman 16GB dilihat tidak memadai untuk storan pemasangan aplikasi.
- Warna pada skrin terlalu ke arah kemerahan.
- Tiada pengimbas cap jari.
- Tidak menyokong pengecasan pantas.
Namun dengan harga RM599, ia berjaya memberi pengalaman penggunaan peranti seumpama peranti premium, melalui rekaannya yang bergaya, prestasi asas yang lancar, dan ketahanan bateri yang lama. Bukan itu sahaja, ia juga tampil dengan sokongan imbasan wajah, sokongan zoom hibrid sebanyak 2 kali untuk kamera utama, dan sokongan Portrait Mode pada kamera hadapan dan belakang. Jadi bagi anda yang sedang mencari telefon yang memberi rekabentuk peranti menarik dan penawaran fungsi yang menarik, OPPO A3s ini salah satu peranti yang anda boleh pertimbangkan untuk segmen peranti di bawah RM600.
✍ Sumber Pautan : ☕ Amanz
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2NDNnsc
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment