Hi! Welcome Back and Stay Tune! Pandang Pertama Mate 20 Pro – Peranti Dengan Kamera Yang Akan Merevolusikan Dunia Telefon Pintar - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Pandang Pertama Mate 20 Pro – Peranti Dengan Kamera Yang Akan Merevolusikan Dunia Telefon Pintar

Huawei Mate 20 Pro adalah salah satu dari empat telefon pintar mercu yang dilancarkan di London beberapa hari yang lalu. Ia mempunyai spesifikasi yang cukup tinggi dengan rekaan yang lebih moden berbanding peranti lain yang dilancarkan mereka sebelum ini. Huawei akhirnya menyokong pengecasan pantas, imbasan wajah secara tiga dimensi, pengecasan nirwayar dan pengimbas cap jari terbina pada skrin.

Persoalan yang kami yakin berbuku di benak pembaca ialah adalah ia peranti yang berbaloi untuk dimiliki? Ini ialah pandangan pertama kali selepas menggunakan Mate 20 Pro selama beberapa hari di Kota London.

Spesifikasi

Huawei Mate 20 Pro
Skrin 6.39″ QHD+ OLED HDR (538 PPI)
Pemproses HiSilicon Kirin 980
Cip 2.6 X 2 GHz Cortex A76
1.92 X 2 GHz Cortex A76
1.8 X 4 GHz Cortex A55
Cip Grafik Mali-G76 MP10
RAM 6 Gigabyte LPDDR4
Muatan Dalaman 128 Gigabyte UFS
(NM Card sehingga 512GB)
Kamera Utama 40+20+8 Megapixel.
f/1.9+f/2.2+f/2.4, OIS, HDR
Kamera Depan 24-Megapixel f/2.0
Bateri 4200 mAh
(Pengecasan pantas + Tanpa wayar)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Ya
Kalis Air IP68
Sistem Imbasan Wajah 3D, Cap jari terbina dalam skrin
Harga Jualan RM 3599

Skrin peranti adalah sebesar 6.39″ dari keluarga OLED dengan resolusi QHD+. Ini adalah peningkatan saiz berbanding 6″ pada Mate 10 Pro tahun lalu. Perbezaan lain ialah panel peranti ini melengkung pada kedua-dua sisi seperti yang boleh ditemui pada peranti Samsung Galaxy S9. Dengan rekaan melengkung ini, peranti kelihatan lebih premium dan amat selesa di dalam genggaman tangan.

Selain skrin lebih besar, takuk pada bahagian atas skrin juga jauh lebih besar jika dibandingkan dengan yang ditemui pada P20 Pro. Ini adalah kerana sistem imbasan wajah tiga dimensi akhirnya disokong. Takuk yang besar mengandungi bukan sahaja kamera hadapan tetapi komponen pemancar titik infra merah dan kamera tiga dimensi.  Bagi yang membenci takuk, ia boleh disorokkan menerusi skrin tetapan.

Seperkara lagi pada skrin kini terdapat pengimbas cap jari terbina. Pengimbas ini bukan sahaja mengimbas jari tetapi mampu mengesan 10 tahap tekanan. Akhir sekali skrin peranti ini menyokong paparan warna – DCI-P3 dan HDR10.

Pemproses terkini HiSilicon Kirin 980 dipadankan dengan memori sebesar 6GB RAM dan storan 128GB. Ini ialah satu-satunya model yang ditawarkan di Malaysia buat masa ini. Tiada perancangan membawa model dengan 8GB/256GB ke pasaran Malaysia. Bagi yang merasakan storan yang diberikan masih tidak mencukupi, terdapat sokongan penambahan storan menggunakan NM Card. Ini ialah format baru storan yang dibangunkan oleh Huawei yang mempunyai rekaan seakan sebuah SIM nano.

Bercakap mengenai kamera pula, tri-kamera utama kini menggabungkan sensor 40+20+8 Megapixel. Sensor 40-Megapixel dipadankan dengan lensa f/1.8. Sensor 20-Megapixel pula dengan lensa ultra sudut lebar f/2.2 dan akhir sekali sensor 8-Megapixel untuk zoom optikal sehingga 3X. Dengan menggunakan perisian, zoom hibrid nirhilang sehingga 5X boleh dilakukan. Masih terdapat zoom digital sehingga 10X bagi yang memerlukannya.

Menurut Huawei tiada lagi keperluan untuk sensor monokrom pada Mate 20 Pro kerana kerjasama dengan Leica serta cip NPU pada Kirin 980 mampu mengambil alih tugas sensor monokrom. Ini ialah hala tuju baru Huawei dan Leica dalam penghasilan kamera pada peranti pintar keluaran mereka.

Sebuah bateri sebesar 4200 mAh disertakan dengan sokongan pengecasan ultra pantas SuperCharge pada tetapan kuasa 40W. Dengan pengecas ini, bateri boleh dicas sehingga 70% dalam masa 30 minit sahaja menerusi USB-C. Tambahan lagi ia turut menyokong pengecasan nirwayar pantas Qi pada kadar kuasa 15W. Ini adalah dua kali ganda lebih berkuasa berbanding yang disokong pada Galax Note 9 dan iPhone XS.

Kesemua komponen ini tersimpan kemas di dalam tubuh peranti yang kalis air dengan piawaian IP68.

Rekabentuk

Dengan Mate 20 Pro, rekaan peranti kini lebih bulat dan ergonomik. Kami katakan begini kerana pengguna dwi-lengkung pada skrin hadapan dan panel belakang. Ini membuatkan Mate 20 Pro amat selesa di dalam genggaman tangan. Namun seperti yang anda boleh lihat sendiri dari segi estetik ia kelihatan seperti sebuah peranti keluaran Samsung.

Panel hadapan mempunyai nisbah skrin kepada tubuh yang besar. Bezel pada sisi, dahi dan dagu adalah nipis berbanding yang ditemui pada peranti Huawei sebelum ini. Tetapi ia masih lagi lebih tebah jika dibandingkan dengan bezel yang ditemui pada sebuah iPhone X.

Panel belakang didominasi oleh kamera yang disusun dalam bentuk empat segi. Tiga kamera dan flash disusun pada paksi tengah peranti yang memberikannya rekaan yang simetri. Secara peribadi kami amat menggemari rekaan seperti ini berbanding meletakkan kamera pada bahagian bucu kerana ia kelihatan lebih kemas dan simetri. Penggunaan panel kaca pada bahagian belakang kini sudah menjadi kebiasaan pada peranti pintar. Di dalam kes Mate 20 Pro, ini adalah bagi membolehkan ia dicas secara nirwayar dan sistem NFC.

Ia turut membolehkan Mate 20 Pro mengecas peranti lain yang menyokong pengecasan nirwayar. Peranti keluarga Mate sejak dahulu mempunyai kemampuan menjadi sebuah powerbank dengan sambungan berwayar. Tetapi kini pada Mate 2 Pro, kemampuan ini dipertingkatkan untuk mengecas secara nirwayar pula. Ia mungkin sebuah gimik jualan yang tidak akan digunakan dengan kerap tetap ia masih sebuah inovasi yang menarik. Kami merasakan ia sebenarnya mensasarkan fon telinga nirwayar Huawei yang tertiris sebelum ini.

Fakta menarik ialah Mate 2o Pro boleh mengecas peranti lain ketika ia sendiri sedang dicas secara berwayar. Kami telah mencubanya sendiri. Ini mengurangkan keperluan satu pengecas yang perlu disambung ke dinding. Seperkara lagi pengecasan nirwayar ini hanya berlaku apabila panel belakang bersentuh. Meletakkan peranti lain pada skrin hadapan tidak akan mengaktifkan pengecasan nirwayar.

Pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan suara yang diperbuat daripada logam. Binaannya kukuh dengan timbal balas yang baik. Ia tidak terasa terlalu lembut atau terlalu keras. Butang kuasa diwarnakan merah bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengguna. Pada bahagian atas terdapat pemancar infra merah. Mate 20 Pro adalah sebahagian kecil peranti mercu yang masih memberikan sokongan infra merah bagi membolehkan peranti digunakan sebagai alat kawalan jauh. Tiada sebarang butang pada sisi kanan. Talam SIM pula terletak pada bahagian bawah bersebelahan port pengecasan USB-C.

Dimanakah pembesar suara? Pada Mate 20 Pro ia kini terbina di alam port pengecasan USB-C. Ini kali pertama kami lihat pada sebuah peranti. Pembesar suara ini menyokong audio stereo dan dipadankan dengan gagang telinga yang terletak pada takuk skrin. Ini memberikan rekaan bawah peranti yang kemas kerana tiada lohong untuk kekisi audio. Kualiti audio masih lagi baik tetapi tidak selantang seperti pada HTC U12+ dan Galaxy Note 9 walaupun mempunyai sokongan Dolby ATMOS.

Peranti tidak mempunyai bicu audio tetapi ini sudah dilakukan sejak P20 Pro lagi. Kami secara peribadi telah berubah kepada dunia nirwayar sejak dua tahun yang lalu maka ketiadaan bicu audio tidak dirasai. Berita baik di sin ialah sebuah penyesuai USB-C kepada bicu audio disertakan dengan setiap pembelian Mate 20 Pro. Huawei tidak lokek memberikan penyesuai tidak seperti Apple.

Huawei Mate 20 Pro ialah peranti yang mempunyai rekaan premium dan selesa dipegang. Tetapi kerana penggunaan panel kaca yang besar, ia bukan sahaja memerangkap kotoran tetapi turut terdedah kepada bahaya pecah jika terjatuh. Sebuah kerangka lutsinar diberikan dengan setiap pembelian bagi memberikan lapisan pertahanan kepada peranti sementara pengguna membeli kerangka tahan lasak keluaran pihak ketiga.

Antaramuka

Mate 20 Pro adalah antara peranti terawal menggunakan Android Pie. Ini memberikannya beberapa fungsi baharu serta pelancar EMUI 9.0. Antaramuka Huawei ini membenarkan paparan aplikasi kesemuanya pada muka hadapan ataupun pilihan menggunakan talam aplikasi. Pilihan ini diberikan oleh Huawei sejak beberapa versi EMUI terdahulu.

Peranti berfungsi dengan lancar dan pantas. Ini tidak mengejutkan kerana perisian dipadankan dengan spesifikasi yang tinggi. Apa yang kami rasakan sedikit mengecewakan ialah sistem navigasi berasaskan gesture Android Pie tidak disokong, Sebaliknya sistem gesture rekaan Huawei digunakan. Ia tidak semudah yang boleh ditemui pada peranti Pixel.

Peranti juga tidak menyokong tatalan ke atas untuk membuka talam aplikasi apabila paparan talam diaktifkan. Sebaliknya pengguna masih perlu menekan butang talam aplikasi. Sebagai pengguna beberapa peranti Android lain di pasaran yang menyokong fungs ini (walaupun masih menggunakan Oreo), ketiadaannya membuatkan penggunaan peranti sedikit canggung.

Jadi kelemahan paling ketara Mate 20 Pro setakat ini terletak pada EMUI 9. Ia peranti Android Pie yang tidak mempunyai fungsi menarik dari Android Pie sepenuhnya. Google telahpun mengesahkan navigasi berasaskan gesture ialah masa depan Android. Melihat pengeluar peranti Android kedua terbesar tidak menyokongnya dengan baik adalah merisaukan.

Berikut adalah beberapa fungsi menarik yang disokong Mate 20 Pro menerusi EMUI 9.

App Twin – Menggunakan dua aplikasi seperti WhatsApp secara serentak.

Easy Projection Nirwayar – Mod desktop Easy Projection kini menyokong paparan kepada skrin secara nirwayar.

File Safe/App Lock – Megunci aplikasi dan fail tertentu dari diakses kecuali selepas identiti pengguna disahkan.

Imbasan Objek 3D – Kamera hadapan peranti boleh melakukan imbasan objek secara tiga dimensi yang selama ini hanya ditawarkan peranti Sony.

Melancarkan kamera dengan pantas – Selain menekan butang pengatup kamera. Aplikasi kamera turut boleh dilancarkan dengan menekan butang kuasa dengan pantas sebanyak dua kali.

Mengira Kalori – Kecerdasan buatan dari aplikasi kamera mengira jumlah kalori berdasarkan makanan yang dilihat.

Notch – Takuk boleh disorokkan jika tidak diminati pengguna.

Nyakunci Wajah 3D – Seperti Mi 8 Explorer Edition dan iPhone XS, Mate 2o Pro menyokong sistem nyahkunci wajah secara tiga dimensi.

One Handed UI – Mengecilkan paparan skrin untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan.

Pengecasan Nirwayar Dua Arah – Peranti boleh dicas secara nirwayar pada kuasa 15W dan mengecas peranti lain juga secara nirwayar sekiranya perlu. Mate 20 Pro peranti pertama dengan fungsi ini.

Simple Mode – Antaramuka yang dipermudahkan bagi mereka yang kurang mahir dengan peranti pintar.

System Navigation – Tiga pilihan navigasi iaitu tri-butang, gesture atau Navigation Dock.

Theme – Mengubah tema antaramuka yang mungkin lebih sebati dengan citarasa pengguna.

Kamera

Huawei P20 Pro mempopularkan penggunaan tri-kamera awal tahun ini dan sudahpun menjadi ikutan Samsung. Pada peranti tersebut kombinasi sensor biasa, telefoto dan monokrom digunakan dengan kerjasama Leica. Mate 20 Pro mengambil langkah gabungan tri-kamera berbeza iaitu sensor lensa biasa, lensa ultra lebar dan telefoto.

Tiada lagi sensor monokrom digunakan kerana menurut Huawei serta Leica ia tidak lagi diperlukan. Pada awalnya kami agak ragu-ragu dengan kenyataan mereka. Umum diketahui sensor monokrom digunakan sebelum ini untuk menghasilkan warna dan kontras yang cantik pada gambar peranti Huawei. Ia juga memberikan kualiti “ala Leica” yang cukup dikenali ramai.

Tambahan lagi sebelum ini LG memperkenalkan penggunaan lensa sudut lebar pada peranti mereka tetapi ia tidak mendapat sambutan. Adakah ini perjudian berani mati oleh Huawei? Jawapan yang kami boleh berikan ialah keraguan kami nyata tidak berasas.

Dari segi kualiti warna dan gambar, Mate 20 Pro menunjukkan peningkatan berbanding P20 Pro yang merajai senarai kamera terbaik peranti pintar sebelum ini. Mungkin masih terlalu awal untuk mengatakan ini tetapi tidak mengejutkan jika Mate 20 Pro akan digunakan sebagai kayu ukuran di masa hadapan.

Pada waktu yang sama ia turut menyokong fungsi rakaman video pada nisbah 21:9 yang digunakan pada filem di panggung wayang. Sekali lagi Huawei meminjam fungsi yang terlebih dahulu pada peranti LG dan juga menambah fungsi rakaman video yang hanya memberikan warna pada objek berbentuk manusia.

Dari sampel-sampel gambar di bawah anda boleh melihat sendiri kemampuan kamera Mate 20 Pro. Penghasilan semula warna adalah amat baik. Warna kelihatan menyerlah serta gambar mempunyai ketajaman yang baik. Gambar monokrom masih kelihatan baik walaupun sensor khusus monokrom tidak lagi disertakan. Kami lampirkan beberapa contoh gambar yang diambil menggunakan peranti ini  di bawah untuk tatapan anda kerana kami percaya melihatnya sendiri adalah lebih baik dari menulis.

Kesimpulan

Dengan Mate 20 Pro, Huawei membedil Apple dan Samsung dengan peranti yang dari pengamatan awal mempunyai kemampuan kamera yang terbaik di pasaran setakat ini. Kami katakan di pasaran kerana di Malaysia Google Pixel 3 XL tidak dijual secara rasmi. Dari penggunaan selama hanya beberapa hari jelas sekali ini ialah peranti dengan kemampuan kamera terbaik yang kami gunakan sepanjang tahun ini.

Lensa sudut ultra-lebar pada peranti dipelopori oleh LG tetapi mereka gagal memasarkannya dengan baik. Dalam dunia perniagaan produk yang baik perlu dipasarkan dengan betul. Huawei mempunyai kemampuan untuk akhirnya memasarkan peranti dengan lensa sudut ultra-lebar yang akan digunakan oleh ramai pengguna.

Kami pada awalnya sedikit ragu-ragu dengan “gimik” ini tetapi jelas sekali penggunaan lensa sudut ultra-lebar ini mengubah dunia kami. Ia membolehkan gambar keseluruhan bangunan diambil tanpa perlu mengubah posisi anda berdiri. Ia dipadankan pula dengan kemampuan mengambil gambar pada resolusi 40MP dan mod waktu malam yang masih tiada tandingan. Jika anda seorang peminat fotografi dari peranti pintar, Mate 20 Pro pasti akan memenuhi kehendak harian.

Sokongan pengecasan berwayar adi pantas 40W dan nirwayar 15W menyelesaikan masalah menanti peranti untuk dicas. Huawei juga tidak lokek memberikan pengecas dengan setiap pembelian tidak seperti Apple. Meningkatkan tahap “cool” Mate 20 Pro ialah ia boleh mengecas peranti lain secara nirwayar. Fungsi yang tidak wujud pada peranti lain.

Tetapi masalah yang sama peranti Huawei juga boleh ditemui pada Mate 20 Pro. Antaramuka EMUI 9 masih kurang menarik jika dibandingkan dengan Android Asli ataupun Samsung Experience. Elemen Material Design seakan dilupakan. Walaupun menggunakan Android Pie, sistem gesture versi terkini Android ini tidak disokong. Paparan tahap bateri aksesori Bluetooth yang telah wujud sejak Oreo 8.1 juga masih tidak disokong. Tiadanya bicu audio juga masih

Perkara-perkara kecil ini sedikit sebanyak menawarkan hati kami untuk menggunakan Mate 20 Pro sebagai peranti harian. Tetapi kami yakin bagi kebanyakan pengguna, peranti ini akan menjadi peranti yang ingin dimiliki kerana harganya yang lebih kompetitif berbanding pesaing. Kami akan cuba menulis ulasan penuh dalam masa terdekat. Tetapi berdasarkan penggunaan awal, Huawei Mate 20 Pro mempunyai potensi sebagai antara peranti terbaik pernah kami gunakan sepanjang bertugas di Amanz. Nantikan ulasannya kelak.



✍ Sumber Pautan : ☕ Amanz

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2PHTb4O

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!


No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.