Ulasan Apple iPhone XS Max – Telefon Pintar Premium Dengan Prestasi Terbaik Di Pasaran
Setiap kali peranti terbaru iPhone dilancarkan, ramai mengeluh mengenai harga jualannya yang mencanak naik berkadar terus dengan nilai syarikat Apple. Tahun ini Apple melancarkan tiga model iaitu iPhone XS, XS Max dan XR. Jadi peranti manakah yang paling berbaloi untuk dimiliki? Ini ialah soalan subjektif dengan jawapan berbeza mengikut kepada siapa soalan ditujukan.
Sebagai peminat peranti dengan skrin bersaiz besar, saya lebih cenderung dengan iPhone XS Max. Ia lebih selesa dengan tangan saya yang sudah bertahun menggunakan peranti dari keluarga Galaxy Note. Ulasan ini ditulis dari pandangan seorang pengguna Galaxy Note 9 dan iPhone X. Untuk mengetahui pendapat kami tentang berbaloi atau tidak iPhone XS Max, silalah baca ulasan ini hingga ke hujung.
Spesifikasi
Apple iPhone XS Max | |
---|---|
Skrin | 6.5″ Super Retina OLED HDR (458 PPI) |
Pemproses | Apple A12 Bionic Enam Teras |
Cip Grafik | Apple |
RAM | 4 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 64/256/512 Gigabyte |
Kamera Utama | 12+12 Megapixel, f/1.8+f/2.4, OIS, 2X Zoom Optikal |
Kamera Depan | 7 Megapixel f/2.2 |
Bateri | 3174 mAh (Pengecasan Pantas + tanpa wayar) |
SIM/Telefoni | Dwi SIM (Nano+eSIM) |
NFC | Ya |
Infra Merah | Tiada |
Kalis Air | IP68 |
Sistem Imbasan | FaceID |
Harga Jualan | RM5399 – RM7049 |
Skrin iPhone XS Max adalah sebesar 6.5″ menjadikannya telefon pintar dengan skrin terbesar pernah dihasilkan Apple. Sebagai perbandingan iPhone X dan XS kedua-duanya “hanya” dilengkapi skrin sebesar 5.8″. Apple akur dengan kehendak pengguna dan pasaran yang kini lebih cenderung dengan peranti berskrin besar. Oleh itu legasi Steve Job yang percaya bahawa kesemua bahagian skrin harus boleh diakses dengan jari tanpa masalah terpaksa dibakul sampahkan. Dengan skrin sebesar 6.5″, iPhone XS Max mempunyai skrin yang lebih besar berbanding Galaxy Note 9 yang hanya sebesar 6.4″. Jasad Steve Jobs terus berputar di liang lahad sejak iPhone 6 Plus dilancarkan empat tahun yang lalu.
Skrin OLED dikekalkan dengan resolusi Retina, sokongan HDR10, DCI-P3 dan juga True Tone. Tahun ini kami difahamkan panel OLED dihasilkan oleh Samsung dan LG. Seperti biasa paparan skrin adalah tajam dengan paparan warna yang terang. Walaupun di bawah terik mentari Malaysia, skrin masih boleh dibaca dengan jelas. Paparan skrin amat cantik dengan warna yang hidup. Selama ini skrin tercantik yang pernah kami lihat adalah milik peranti Samsung. Tetapi sejak Apple berubah ke skrin OLED, jarak perbezaan di antara skrin peranti Samsung dan Apple kini tidak lagi jauh. Dalam sesetengah situasi, saya lebih menggemari warna pada XS Max berbanding Galaxy Note 9. Skrin juga menyokong sistem timbal balas haptik 3D Touch yang tidak disertakan pada iPhone XR.
Takuk yang bersaiz besar masih lagi dikekalkan kerana keperluan sistem imbasan wajah Face ID. Untuk tahun kedua Apple meninggalkan sistem Touch ID dengan semua model tahun ini menggunakannya.
Menjana peranti ialah pemproses Apple A12 Bionic yang dihasilkan menggunakan proses 7nm. Ia adalah pemproses 7nm pertama digunakan pada peranti. Ini memberikannya kuasa memproses yang tinggi walaupun hanya mempunyai enam teras dengan konfigurasi 2+4 teras. Dua teras digunakan untuk pemprosesan tinggi dan empat lagi untuk menjalankan aplikasi biasa.
Ini dipadankan dengan memori sebesar 4GB RAM dan pilihan storan 64/256/512GB. Tiada sokongan kad mikroSD disertakan tetapi ini bukannya perkara baru pada peranti keluaran Apple.
Kamera utama menggabungkan sensor 12+12 Megapixel f/1.8+f/2.4 kedua-duanya dengan sokongan OIS serta sistem pemfokusan Focus Pixels (PDAF) yang pantas. Lensa kedua digunakan untuk sistem zoom optikal sehingga 2X dan mod potret dengan kesan bokeh. Kamera swafoto pula sebesar 7-Megapixel f/2.2 dengan sokongan flash menerusi skrin. Perbezaan kamera XS Max berbanding X ialah saiz pixel yang lebih besar (1.4µm vs 1.22µm) digunakan. Ini akan meningkatkan ketajaman gambar yang diambil.
Bateri yang disertakan adalah sebesar 3174 mAh. Ini adalah sekitar 17% lebih besar berbanding yang digunakan pada iPhone XS. Saban tahun bateri yang digunakan pada peranti Apple adalah jauh lebih kecil berbanding peranti pesaing dengan saiz skrin setanding. Ini menunjukkan keyakinan mereka dengan sistem pengurusan bateri yang digunakan.
Peranti boleh dicas menggunakan sistem pengecasan pantas 18W ataupun nirwayar pada kadar 7.5W. Malang sekali untuk menikmati pengecasan pantas pengguna perlu membeli pengecas berasingan yang menyokong USB-PD.
Tiada bicu audio disertakan. Sebaliknya pengguna perlu menggunakan fon kepala dengan sambung Lightning atau tambatan bluetooth 5.0. Tahun ini Apple tidak lagi menyertakan penyesuai Lighthning ke bicu 3.5mm dengan setiap pembelian. Sekali lagi pengguna perlu berbelanja lebih untuk aksesori yang pada hemat kami seharusnya disertakan dengan setiap pembelian.
Rekabentuk
Adalah tepat untuk mengatakan iPhone XS Max ialah sebuah iPhone X yang dibesarkan. Kesemua elemen rekaan yang sama dikitar semula tetapi pada skala yang lebih besar. Dari segi saiz iPhone XS Max hanya sedikit lebih kecil berbanding sebuah iPhone 8 Plus.
Skrin yang besar ini mempunyai bezel yang kecil jika dibandingkan dengan peranti lain di pasaran. Setakat ini kami belum melihat peranti Android dengan bahagian dagu yang senipis apa yang boleh ditemui pada iPhone.
Bezel yang kecil ini tidak dapat menyembunyikan realiti bahawa skrin peranti ini terlalu besar untuk digunakan dengan sebelah tangan. Adalah mustahil untuk menyentuh ikon yang terletak pada bucu atas sebelah kiri dengan sebelah tangan apabila peranti berada di dalam telapak tangan kanan. Apple menyertakan sistem Reachability tetapi dengan sistem ini sekalipun penggunaan skrin masih lagi amat canggung.
Takuk masih lagi besar tetapi ia tidak akan disedari selepas beberapa jam peranti digunakan. Ini adalah kerana majoriti aplikasi iOS kini mengintegrasikan takuk di dalam aplikasi. Namun begitu apabila menonton video YouTube dan Netflix menggunakan mod skrin-penuh, takuk ini masih lagi menghalang sebahagian video dari ditonton. Ini dapat anda lihat pada gambar di bawah.
Seperti saya katakan di awal ulasan ini saya seorang pengguna Samsung Galaxy Note 9. Tetapi walaupun bertahun menggunakan phablet, antaramuka iOS membuatkan proses penggunaan menjadi lebih sukar berbanding Android. Di Android butang navigasi bawah skrin lebih mudah ditekan berbanding sistem gesture iOS12 yang memerlukan skrin ditatal dari bahagian bawah. Untuk melakukan aksi Back pula skrin perlu ditatal dari sisi. Ibu jari saya tidak mampu menyentuh sisi untuk melakukan aksi ini.
Pada Galaxy Note 9 butang back boleh diubah ke bucu kanan bawah yang lebih mudah diakses dengan jari ketika penggunaan sebelah tangan. Dengan kata lain sistem navigasi gesture iOS adalah sempurna pada iPhone XS dan X tetapi menjadi tidak mesra pengguna apabila digunakan pada skrin gergasi iPhone XS Max. Saya bukan satu-satunya insan yang berpendapat sebegini kerana ia dipersetujui oleh rakan-rakan sepejabat.
Pada bahagian sisi terdapat bingkai yang diperbuat daripada keluli tahan kalat. Bingkai ini mempunyai sisi yang dibulatkan bagi memberikan keselesaan ketika dipegang. Terdapat sebuah butang kuasa dan talam SIM nano pada sisi kanan manakala butang suara dan menyenyap bunyi terletak pada sisi bertentangan.
Port pengecasan dari jenis Lightning diletakkan pada bahagian bawah dihimpit oleh dua lubang kekisi audio. Tetapi ini hanya sekadar estetik kerana hanya kekisi audio pada bahagian kanan mengeluarkan bunyi. Aneh sekali jumlah lubang pada kekisi audio ini tidak seimbang. Kekisi pada kiri mempunyai empat lubang manakala kekisi kanan mempunyai tujuh lubang. Tiada simetri ini agak aneh pada produk Apple yang selama ini amat mementingkan estetik.
Kekecewaan dengan estetik ini sedikit terubat kerana peranti hadir dengan sokongan audio stereo. Pembesar suara pada bahagian bawah dipadankan dengan pembesar suara yang terletak pada gagang telinga di takuk skrin.
Panel belakang diperbuat daripada kaca sepenuhnya bagi membolehkan sokongan NFC dan pengecasan nirwayar. Panel kaca menimbulkan masalah licin untuk dipegang dan memerangkap kotoran dengan amat mudah. Apple mengatakan panel kaca yang digunakan pada XS dan XS Max adalah yang paling tahan lasak pernah digunakan pada iPhone. Kami tidak melakukan ujian jatuhan tetapi berkali-kali kami katakan apabila menggunakan peranti panel kaca penggunaan kerangka tahan lasak amat kami sarankan. Di dalam kes XS Max, kos menggantikan panel yang retak boleh mencecah RM2500. Ini tidak termasuk kos buruh dan harga kedai alat ganti berbeza di negara kita.
Cagak kamera yang besar terkeluar dari tubuh. Ini satu lagi sebab mengapa kami menyarankan penggunaan kerangka bagi mengelakkan lensa tercalar dan juga membolehkan peranti diletakkan rata pada permukaan meja.
Dari rekaan dan kemasan, iPhone XS Max adalah peranti paling cantik di pasaran sekarang. Ini adalah sebab mengapa rekaannya “menjadi ikutan” pengeluar peranti Android. Komen negatif kami seperti biasa ialah panel kaca memerangkap kotoron dan memerlukan kerangka.
Antaramuka
Sistem operasi iOS 12.0.1 digunakan dan ini memperbaiki beberapa pepijat yang dilaporkan oleh pengguna awal iPhone XS dan XS Max sebelum ini. Dari segi antaramuka, ia tidak membawakan perubahan drastik berbanding iOS 11. Satu perkara yang kami sedari semasa menggunakan peranti ialah kelancaran animasi dan antaramuka. Tiada langsung sela masa dan aplikasi dilancarkan sekelip mata.
Peranti mungkin hanya dilengkapi 4GB RAM yang kecil jika dibandingkan dengan Android yang kini hadir dengan 10GB RAM. Penyegaran semula aplikasi hanya berlaku selepas lebih dari 12 aplikasi dilancarkan serentak. Dalam penggunaan biasa, kami yakin tidak ramai pembaca melakukan multi-tugas sehingga 12 aplikasi serentak. Kombinasi antaramuka yang pantas, animasi yang lancar dan kurangnya keperluan segar membolehkan saya menobatkan iPhone XS Max sebagai peranti yang paling lancar pernah diulas setakat ini.
Menerusi iOS 12 juga saya sedari FaceID berfungsi lebih pantas dan pada jarak yang lebih jauh. Saya kerap meletakkan iPhone XS Max pada pemegang di dalam kenderaan. Ia mampu mengesan wajah saya ketika memandu tanpa walaupun ia terletak pada kekisi pendingin hawa. Ketika menggunakan iPhone X tahun lalu, saya perlu pergi lebih dekat kepada peranti sebelum FaceID mampu mengesan wajah. Tambahan lagi pada iOS 12, dua wajah boleh digunakan untuk nyahkunci berbanding satu sebelum ini.
Integrasi FaceID pada keseluruhan sistem iOS juga membuatkan ia unik berbanding implementasi yang sama pada platform Android. Ia digunakan untuk pengesahan pembelian dan ganti kata laluan. Memang peranti Android mempunyai imbasan wajah tetapi integrasinya pada sistem tidak setanding dengan yang boleh ditemui pada iOS buat masa ini. Pendek kata sistem imbasan wajah iOS masih jauh di hadapan.
Fungsi menarik baharu ialah Screen Time yang membolehkan pengguna menganalisa tabiat penggunaan harian mereka. Sebagai seorang insan yang mempunyai masalah ketagihan Internet, Screen Time membantu saya mengurangkan penggunaan sesetengah aplikasi yang didapati hanya membuang masa. Kesihatan digital pengguna kini menjadi agenda bukan sahaja di iOS malahan juga di Android. Sebagai pengguna, kewujudan sistem seperti ini amat saya hargai.
Kamera
Hanya dua kamera utama dengan sensor 12+12 Megapixel f/1.8+f/2.4 digunakan pada iPhone XS Max. Apple masih belum bersedia mengikuti trend tri-kamera peranti Huawei dan Samsung. Kedua-dua lensa dilengkapi sistem OIS dengan lensa kedua khusus untuk telefoto sebanyak 2X. Kamera hadapan hanya bersaiz 7-Megapixel.
Aplikasi kamera hanya membenarkan gambar diambil pada nisbah 4:3 atau 1:1 (untuk Instagram). Jika anda ingin gambar dengan nisbah berbeza seperti 16:9, anda perlu menyuntingnya menggunakan aplikasi berlainan.
Kamera utama boleh merakam video pada tetapan 4K 60 FPS, 4K 30FPS, 4K 24FPS, 1080P 240FPs, 1080P 120 FPS, 1080P 60FPS, 1080P 30FPS, 720P 240FPS dan 720P 30FPS. Penawaran pelbagai mod rakaman pada iPhone XS Max ini pasti menggembirakan pengguna yang gemar merakam video menggunakan peranti pintar.
Bagi meningkatkan kemampuan mengambil gambar pada waktu malam, sistem Smart HDR digunakan. Beberapa gambar yang diambil pada dedahan berlainan digabungkan bagi menghasilkan imej komposit yang lebih terang. Sebelum terlupa gambar boleh diambil menggunakan format HEIF atau JPEG. Video pula diambil dalam format HEVC atau H.264.
Mod-mod kamera yang disertakan adalah Panorama, Time-Lapse, Slo-Mo dan Portrait. Aplikasi kamera iOS tidak hadir dengan banyak gimik atau fungsi tambahan. Gimik yang paling disertakan hanyalah mod Portrait Lightning yang memberikan kesan khas pasca gambar diambil.
Kualiti Gambar
Berikut ialah beberapa contoh gambar yang dapat saya ambil menggunakan kamera peranti. Gambar yang diambil menggunakan iPhone XS Max adalah sama seperti objek sebenar. Tiada pemprosesan berlebihan seperti yang dilakukan oleh pesaing mereka. Ada yang merasakan ini ialah sesuatu yang positif kerana pengguna kemudian boleh menyunting sendiri gambar mengikut citarasa peribadi. Bagi pengguna seperti saya yang malas melakukan suntingan, saya lebih selesa jika gambar diproses sendiri oleh perisian kamera. Baik atau buruk sistem kamera iPhone XS Max adalah bergantung kepada pilihan peribadi.
Sungguhpun begitu saya merasakan gambar yang diambil adalah tajam dan jelas. Penghasilan warna adalah tepat dengan kualiti yang baik walaupun pada waktu malam. Kamera bijak mengimbangi dedahan walaupun ketika diambil pada waktu tengah hari. Mod potret kini lebih bijak membezakan objek latar dengan objek utama. Kualiti swafoto pula mungkin antara yang terbaik pernah kami lihat walaupun hanya menggunakan sensor 7-Megapixel. Namun harus kami akui gambar yang diambil seakan hadir dengan penuras kecantikan yang membuatkan wajah kelihatan lebih lembut berbanding dunia sebenar. Apple akan memberikan tampalan yang menyelesaikan masalah “mod kecantikan” yang menerima kritikan ini di masa hadapan.
Kekurangan ialah pada waktu malam kualiti gambar masih di belakang Huawei P20 Pro. Mod Portrait Lighthing juga masih terasa seperti aplikasi Beta setahun selepas diperkenalkan kerana masih gagal memisahkan objek utama dengan latar belakang dengan sempurna.
Audio
Pembesar suara XS Max ialah yang terbaik pernah digunakan pada sebuah telefon pintar. Saya katakan begini kerana tahap kelantangan yang tinggi, audio yang sejelas kristal dan mempunyai dinamik yang tinggi. Satu-satunya peranti pintar yang boleh memintas XS Max ialah iPad Pro yang dilengkapi empat pembesar suara.
Seperti pada iPad Pro, audio pada XS Max tidak terasa kosong atau keluar dari tin kosong. Masalah utama pada telefon pintar selama ini ialah audio tidak cukup dinamik kerana saiz pembesar suara yang kecil. Apakah magis yang digunakan Apple pada XS Max tidak saya ketahui tetapi yang pasti ia berjaya mengalahkan HTC U12+ yang sebelum ini menjadi kayu pengukur audio stereo pada telefon pintar.
Audio dari fon telinga berwayar dan nirwayar juga amat baik. Ianya mapan, tidak kedengaran rata, berdentum dengan kuat dan treble yang rangup. Saya meletakkan iPhone XS Max sedikit di belakang Galaxy Note 9 dari segi audio kerana tiadanya sokongan LDAC yang mampu memberikan kadar bit menstrim lebih tinggi.
Penanda Aras
Mahukan telefon pintar paling berkuasa untuk tahun 2018? Anda mempunyai pilihan iPhone XS, XS Max dan XR. Dengan cip Apple A12 Bionic, kuasa memproses peranti Apple tidak mampu dipintas peranti Android. Ini termasuk Mate 20 Pro dengan Kirin 980 yang baru dilancarkan. Dalam ujian penanda aras Geekbench 4, A12 mencatatkan 4834 markah untuk ujian satu teras dan 11,430 markah untuk ujian multi-teras. Dalam ujian Antutu pula ia mencatatkan 319,929 markah. Ketiga-tiga markah yang dicatatkan ini adalah yang tertinggi dalam sejarah makmal peranti Amanz.
Markah penanda aras ini berkadar terus dengan prestasi dunia sebenar keran peranti ini memang terasa amat pantas dan lancar pernah saya gunakan. Masa melancarkan permua seperti Fortnite dan Asphalt 9 Legends adalah lebih pantas berbanding pada Galaxy Note 9. Jika prestasi adalah kriteria penting, iPhone XS Max adalah peranti untuk anda.
Bateri
Bateri ialah satu-satunya kelemahan ketara iPhone XS Max. Pada penggunaan sederhana ia bertahan sekitar 15 jam dengan skrin terpasang selama 6 jam 29 minit. Pada penggunaan berat pula peranti bertahan selama hampir 13 jam dengan skrin terpasang selama 7 jam 33 minit. Ini ialah hayat penggunaan yang lebih rendah berbanding iPhone X tahun lalu.
Dari segi ketahanan ia lebih rendah berbanding Galaxy Note 9 yang mampu bertahan selama 20 jam dengan skrin terpasang selama 8 jam. Penggunaan bateri yang hanya sebesar 3174 mAh tidak sesuai untuk peranti dengan skrin gergasi. Galaxy Note 9 yang skrin sedikit lebih kecil dilengkapi bateri sebesar 4000 mAh. Saya hanya boleh berharap pada tahun 2019, iPhone akan akhirnya dilengkapi bateri dengan saiz yang lebih besar.
Pengecasan mengambil masa yang terlalu lama tanpa pengecas pantas. Memandangkan tiada pengecas pantas disertakan, saya hanya mampu mengecas menggunakan pengecas iPad dengan kuasa 10W. Tempoh mengecas mengambil masa 2 jam 5 minit dari sifar.
Pesaing
Mari lihat perbandingan spesifikasi dan harga dua peranti mercu yang setanding iaitu Huawei Mate 20 Pro dan Samsung Galaxy Note 9. Ketiga-tiganya dilengkapi skrin OLED yang besar serta pelbagai fungsi tambahan yang tidak ditemui pada peranti kelas pertengahan.
Peranti Pesaing | ||
---|---|---|
Apple iPhone X Max | Huawei Mate 20 Pro | Samsung Galaxy Note 9 |
6.5″ AMOLED Super Retina Display, HDR (458 PPI) | 6.39″ AMOLED QHD+ HDR (538 PPI) | 6.4″ SAMOLED QHD+HDR (516 PPI) |
2+4 Teras Apple A12 Bionic | 2.6 x 2 + 1.92 x 2 + 1.8 x 4 GHz Kirin 980 | 2.7 x 4 + 1.8 x 4 GHz Exynos 9810 |
Apple | Mali-G76 MP10 | Mali-G72 MP18 |
4 Gigabyte | 6 Gigabyte | 6 Gigabyte |
64/256/512 Gigabyte | 128 Gigabyte (NM Card sehingga 256GB) | 128 Gigabyte (512GB MikroSD) |
Kamera Utama 12+12 Megapixel f/1.8+f/2.4, OIS, PDAF, Zoom Optikal | Kamera Utama 40+20+8 Megapixel. f/1.8+f/2..2+f/2.4, OIS, PDAF, Zoom Optikal | Kamera Utama 12+12 Megapixel, (f/1.5+f/2.4) + f./2.4, OIS, Dual Pixel |
Kamera Hadapan 7 Megapixel f/2.0 | Kamera Hadapan 24 Megapixel f/2.0 | Kamera Hadapan 8 Megapixel, f/1.7 |
IP68 | IP68 | IP68 |
3174 mAh (18W)/Nirwayar | 4200 mAh (SuperCharge 40W)/Nirwayar | 4000 mAh (Adaptive Fast Charging)/Nirwayar |
RM 5399- RM 7049 | RM 3599 | RM 3699 |
Kesimpulan
iPhone XS Max ialah peranti paling berkuasa dan premium yang pernah dihasilkan oleh Apple lengkap dengan harga jualan yang setaraf dengan statusnya. Adakah ia masih berbaloi untuk dimiliki? Jawapan kepada soalan ini bergantung kepada ketebalan dompet dan apakah yang paling penting bagi anda sebagai seorang pengguna.
Jika kuasa memproses dengan kelancaran peranti adalah penting bagi anda, iPhone XS Max ialah peranti yang terbaik di pasaran pada waktu ini. Kemampuan kamera juga amat memuaskan dengan kualiti gambar yang diambil kelihatan semula jadi tanpa diproses secara agresif oleh perisian peranti.
Adakah keselesaan menggunakan peranti penting? Jika jawapan anda ialah ya, ini bukan peranti yang paling ergonomik untuk penggunaan sebelah tangan. Jari perlu melakukan aksi akrobatik bagi mengakses beberapa kawasan pada permukaan skrin. Pengguna iPhone terdahulu perlu mempelajari semula cara memegang peranti dengan XS Max kerana saiznya yang kini terlalu besar untuk digunakan dengan selesa.
Tambahan lagi ketahanan bateri iOS yang selama ini menjadi pujian tidak lagi boleh digunapakai pada XS Max. Hayat baterinya adalah paling teruk pernah kami lihat sejak iPhone 7 Plus. Tiadanya pengecas pantas dengan setiap pembelian memburukkan lagi keadaan kerana dengan pengecas iPad (10W) sekalipun, tempoh mengecas melebihi 2 jam.
Apple iPhone XS Max ialah peranti premium untuk insan-insan yang premium juga di mana harganya tidak dianggap sesuatu yang negatif. Satu-satunya sebab untuk memilikinya ialah kuasa memproses yang tidak mampu ditandingi, sistem operasi yang amat lancar dan skrin terbesar pada sebuah iPhone. Kami menyarankan iPhone XS Max kepada golongan yang mahukan hanya yang terbaik dan terkini dari Apple.
Bagi mereka yang kurang berkemampuan, Samsung Galaxy Note 9 adalah peranti yang lebih rasional untuk dimiliki kerana harga lebih berpatutan, bateri lebih tahan lama dan mempunyai lebih banyak fungsi tambahan yang membuatkannya berbaloi dengan harga yang dibayar.
Kelebihan | Kekurangan |
|
|
✍ Sumber Pautan : ☕ Amanz
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2CEtDSy
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment