CONGRATS MAT HASAN – CONDOLENCES ZAHID, CONDOLENCES KHAIRY: TAHNIAH TOK MAT, TAKZIAH ZAHID HAMIDI, TAKZIAH KJ
Kemenangan Mohamad Hasan atau Tok Mat dalam PRK Rantau semalam sebenarnya tidaklah begitu memeranjatkan, malah sudah diduga oleh kebanyakan orang.
Rantau adalah kerusi tradisi dan selesa buat Tok Mat sejak 2004 lagi sehinggalah PRU14 lalu di mana beliau diisytiharkan menang tanpa bertanding di situ sebelum kemenangannya dibatalkan.
Kali terakhir beliau berentap ialah pada PRU 2013, Tok Mat menang di Rantau dengan majoriti 4,613 undi.
Maka, kemenangan beliau dalam PRK kali ini dengan majoriti 4,510 undi tidaklah membawa erti luar biasa dan istimewa apa-apa untuk dibanggakan.
Patutnya, dengan dibantu Pas, majoriti kemenangan Tok Mat bukan lebih rendah dan berkurangan sebanyak 103 undi, malah lebih tinggi berbanding PRU tahun 2013 itu.
Apa pun, sebagaimana yang disebut dalam tulisan semalam, menangnya Tok Mat akan memberi implikasi yang tersendiri kepada UMNO.
Tok Mat adalah Timbalan Presiden UMNO yang sedang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO kerana Zahid Hamidi memutuskan untuk bercuti berikutan kepimpinannya banyak dipertikaikan, selain sedang berdepan deretan pertuduhan di mahkamah.
Dengan menang di Rantau, sebelum ini mengetuai kemenangan UMNO dan BN di Cameron Highlands dan Semenyih, bermakna kepimpinan Tok Mat diterima dengan baik oleh ahli-ahli UMNO yang sebelumnya agak terkedu kerana kehilangan kuasa.
Pas yang memberi sokongan kepada UMNO juga nampaknya lebih selesa dengan kepimpinan Tok Mat berbanding Zahid Hamidi. Sebab itu kerjasama UMNO dan Pas semakin baik sekarang ini daripada sebelumnya.
Dalam situasi ini, Zahid Hamidi kini boleh terus menyambung cutinya sehingga pemilihan UMNO tahun 2021 nanti atau jika lebih baik hati, lagi molek jika beliau dapat segera menghantar surat berhenti.
Tiada ruang dan peluang lagi untuk beliau kembali menerajui UMNO meskipun dirinya adalah Presiden UMNO yang sah.
Realitinya, kedudukan Zahid Hamidi hanya sah pada jawatan, tetapi kepimpinannya seolah-olah tidak sah di hati ahli-ahli UMNO.
Lebih baik Zahid Hamidi menumpukan perhatian kepada kes-kes mahkamahnya saja dan bersiap sedia untuk menjalani hukuman penjara jika disabitkan bersalah nanti.
Kalau beliau kembali memimpin UMNO, bukan saja parti itu kembali lemah seperti sebelumnya, bahkan Tok Mat sendiri yang mungkin sudah syok dengan kuasa-kuasa Presiden UMNO tidak sedia untuk kembali dengan peranan hakikinya sebagai Timbalan Presiden UMNO.
Tok Mat mungkin akan memberi sokongan dan kerjasama ala kadar saja kepada Zahid Hamidi sementara menunggu pemilihan UMNO tahun 2021 di mana beliau ketika itu pasti akan menawarkan diri bertanding sebagai Presiden UMNO.
Kesan kedua daripada melonjaknya nama Tok Mat sekarang bererti peluang Khairy Jamaluddin untuk bertanding semula sebagai Presiden UMNO sudah tertutup dengan sendirinya.
Dalam UMNO Rembau, Tok Mat adalah Ketua Bahagian manakala KJ merupakan Timbalan Ketua Bahagian. Tok Mat juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.
Dalam pemilihan UMNO 2018 lalu, Tok Mat bertanding Timbalan Presiden UMNO, sementara KJ menutuskan di saat-saat akhir bertanding jawatan Presiden UMNO.
Tetapi ketika itu, siapa pun bebas bertanding kerana kedua-dua jawatan tertinggi UMNO itu kosong setelah UMNO hilang kuasa Putrajaya dalam PRU14.
Pemilihan 2021 nanti sudah jadi berbeza dengan 2018 lalu. Dengan Tok Mat sudah sedia menduduki kerusi Timbalan Presiden dan mungkin sudah pun memangku jawatan Presiden UMNO, jika beliau menawarkan diri sebagai Presiden UMNO, ia memang sesuatu yang wajar dan munasabah.
Namun, KJ selaku Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau yang berada di bawah Tok Mat, beliau bukan saja tidak munasabah untuk sekali lagi bertanding jawatan Presiden UMNO, malah tidak masuk akal sama jika menawarkan diri sebagai Timbalan Presiden UMNO.
Takkanlah kedua-dua pemimpin dari Rembau mahu bertanding kedua-dua jawatan tertinggi dalam UMNO pula.
Dalam hal ini, yang patut mengalah tentulah KJ kerana beliau ketika ini tiada sebarang jawatan dalam UMNO Pusat.
Selepas Tok Mat menjadi Presiden UMNO, beliau seterusnya tentulah mahu bertanding di kerusi Parlimen Rembau pula yang sekarang diduduki oleh KJ kerana jika nasib baik UMNO dan BN menang PRU15 pada tahun 2023, idamannya selepas itu tentulah kerusi Perdana Menteri.
Bermakna selepas ini, KJ bukan saja akan tersisih dalam hireaki kepimpinan UMNO, bahkan tiada peluang lagi untuknya bertanding di kerusi Parlimen.
Mudah kata, selepas kemenangan di Rantau ini, selain ucapan tahniah harus diberikan kepada Tok Mat kerana bintangnya nampak akan terus bersinar tanpa diduga, ucapan takziah juga selayaknya diberikan awal-awal kepada Zahid Hamidi dan juga KJ.
-http://bit.ly/2I1f3rA
✍ Sumber Pautan : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://bit.ly/2IDmcOD
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment