Penduduk Kg Baru setuju RM1,000 tapi mahu bayaran sekaligus
KUALA LUMPUR: Rata-rata pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru yang ditemui bersetuju dengan tawaran baru kerajaan, iaitu sebanyak RM1,000 sekaki persegi untuk tanah milik mereka, tetapi mempertikaikan cara pembayarannya.
Ishak Alimun, 64, yang ditemui FMT berkata, kerajaan berjanji akan membayar 10% daripada nilai tanah terlebih dahulu, tetapi tidak dinyatakan bila baki 90% akan dibayar.
“Kalau nak tunggu projek dibangunkan dalam tiga hingga empat tahun lagi baru dapat bayaran penuh, kita tak nak,” katanya.
Menjelaskan bantahannya, Ishak berkata, bayaran pendahuluan 10 peratus itu menyukarkan dia dan adik-beradiknya mencari rumah lain selepas tanah keluarganya diambil alih kerajaan.
“Tanah ini ada lapan nama. Kalau dapat 10%, katalah RM1 juta, mungkin dapat RM100,000 lebih saja selepas bahagi lapan orang. Mana nak cari rumah dengan harga itu masa ini?” katanya.
Ishak percaya isu baki 90% dibayar kemudian tidak timbul bagi pemilik tanah yang ada rumah lain.
Beliau tiada masalah tanah keluarganya diambil jika kerajaan bersetuju membayarnya sekaligus.
“Kalau pilihan raya umum akan datang Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad kalah macam mana?” tambahnya.
Khalid mengumumkan tawaran baru pada sidang media di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kelmarin.
Ia ditawarkan dalam empat jenis, iaitu pulangan tunai, pulangan unit siap, kombinasi pulangan tunai dan unit siap, dan pulangan pemegang saham dalam syarikat tujuan khas (SPV) yang bakal ditubuhkan bagi projek pembangunan di Kampung Baru.
Di samping itu, RM150 dari setiap sekaki persegi yang dibeli akan diberikan dalam bentuk pegangan saham dalam SPV itu.
Supari Bakar, 60, berkata, penerangan pada sesi townhall sebelum ini tidak cukup jelas tentang cara pembayaran itu.
“Bukan tak nak pembangunan, tetapi perlukan penjelasan lebih,” katanya, dan menambah beliau bimbang untuk menjual tanahnya kerana tiada pilihan rumah alternatif.
Rizal Indra, 35, juga mempersoalkan cara pembayaran itu dan tertanya-tanya adakah Khalid mahu menjadi seorang menteri atau broker.
“Dekat mana lagi kami nak duduk?” katanya. “Kalau kerajaan bertukar, baki wang itu kami dapat atau tidak?”
Seorang lagi penduduk berusia 62 tahun dan mahu dikenali sebagai Hamidah berkata, bayaran pendahuluan 10% itu menjadi sedikit selepas dibahagikan dengan adik-beradik lain.
“Tak perlulah bagi tawaran macam ini,” katanya.
Salah faham
Sementara itu, sumber dari Kementerian Wilayah Persekutuan yang enggan nama didedahkan berkata, pemilik dan pewaris tanah salah faham mengenai isu pembayaran itu.
Beliau menjelaskan bayaran pendahuluan 10% dan bakinya dibayar kemudian itu adalah bagi mereka yang memilih tawaran pulangan tunai.
Beliau berkata, pembayaran berperingkat itu adalah “standard”.
“Tak ada orang bayar 100%. Standard macam penjualan biasa. Baki 90% kita bayar lepas siap tukar nama hak pemilik tanah dan proses itu makan masa juga, mungkin empat bulan, mungkin setahun,” katanya.
Jika memilih tawaran pulangan unit siap pula, mereka perlu menunggu sehingga rumah yang bakal dibangunkan itu siap, katanya lagi.
Sementara itu, Lembaga Pentadbir Petempatan Pertanian Melayu Kampung Baru (MAS) pula mahu kerajaan menjelaskan bilakah pemilih tawaran pulangan tunai akan memperoleh baki 90% itu.
“Dalam sesi ‘townhall’ sebelum ini, Khalid kata akan bayar 10% dulu, tetapi baki 90% tidak dinyatakan,” kata Setiausaha Kehormat MAS, Shamsuri Suradi.
Beliau menggesa kerajaan sekali lagi mendekati penduduk kerana masih ramai pemilik tanah dan pewaris tidak faham. - FMT
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment